KONFLIK POLITIK DAN PENYELESAIANNYA

advertisement
TAJUK
KONFLIK POLITIK DAN PENYELESAIANNYA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM 1
Oleh
Dr Bharuddin Che Pa2 Dan Dr Ajidar Matsyah3
Abstrak
Kertas kerja ini akan menghuraikan tentang maksud konflik dan bagaimanakah konflik boleh
berlaku. Ia meliputi perbincangan tentang definisi konflik, kenapa timbulnya konflik, jenis-jenis
serta faktor-faktor berlakunya konflik.
Sejarah konflik dalam Islam juga akan disentuh.
Perbincangan seterusnya ialah tentang maksud konflik politik. Apakah yang dimaksudkan dengan
konflik politik, bagaimanakah konflik politik boleh berlaku dan bagaimanakah kaedah
penyelesaiannya konflik politik menurut perspektif Islam. Antara kaedah penyelesaian konflik politik
yang boleh digunapakai ialah kaedah perundingan, meminta jasa baik dengan melantik orang tengah,
melalui jawatankuasa khas atau tetap, jawatan kuasa pendamai dan membentangkan isu-isu
pertikaian tersebut dalam perhimpunan antarabangsa atau serantau. Kaedah seterusnya ialah
berdamai melalui kaedah timbangtara, perundingan dan melantik orang tengah. Kaedah
bermesyuarat, referendum dan undian juga boleh digunapakai untuk mengelakkan konflik dari awal.
Keywords: Konflik, politik, penyelesaian, Islam.
I.
Pendahuluan
Manusia secara fitrahnya dijadikan oleh Allah memerlukan orang lain dalam kehidupan mereka untuk
mencapai kesempurnaan yang terbaik. Memandangkan kepakaran yang ada pada diri seseorang
manusia itu terbatas mereka tidak mampu hidup bersendirian, sebaliknya perlu hidup dalam sebuah
masyarakat atau negara. Oleh itu manusia adalah makhluk berpolitik, bermasyarakat dan bernegara.
Apabila terlibat secara langsung dalam politik, pentadbiran dan bernegara timbul pula perbezaan
pandangan sesama manusia dalam isu-isu politik dan pengurusan kehidupan. Terdapat pula pelbagai
cara yang berbeza yang dilakukan oleh manusia dalam penyelesaian masalah dan interaksi sosial
kehidupan bermasyarakat. Perbezaan pandangan yang keterlaluan akan menimbulkan konflik. Konflik
boleh berlaku disebabkan perbezaan kepercayaan, ideologi, fahaman, adat istiadat, kepentingan diri
atau kaum dan sebagainya. Konflik politik merupakan suatu permasalahn yang biasa timbul dalam
masyarakat yang boleh menyebabkan berlakunya perbedaan pendapat yang serius. Akhirnya ia
menjadi penyebab berlakunya perpecahan masyarakat, persengketaan, pergaduhan, bahkan boleh
membawa kepada pembunuhan dan berperang di antara satu sama lain. Konflik politik jika tidak
ditangani dengan baik akan membawa kepada kehancuran, sebaliknya jika dapat ditangani dengan
baik dan bijak, ia akan mendatangkan hasil yang sangat positif. Bagi menyelesaikan konflik politik,
pihak berwajib dan umat Islam perlu merujuk kepada kaedah yang terdapat dalam Islam. Sifat-sifat
permusuhan, pergaduhan dan perpecahan mestilah dielakkan.
II. Definisi Konflik
Konflik berasal dari perkataan Bahasa Inggeris ‘conflict’. Menurut Dictionary of Contemporary
English ‘conflict’ bermaksud; to be in opposition to another or each other.4 Dari sudut bahasa konflik
digunakan sebagai satu istilah dalam sains sosial untuk menunjukkan keadaan tidak setuju atau
bertentangan di antara individu atau kumpulan dalam sesebuah masyarakat. Mengikut ilmu sosiologi,
konflik adalah suatu proses sosial antara dua orang atau lebih, di mana salah satu pihak berusaha
menghancurkan pihak lain atau membuat pihak lain tidak berdaya. Manakala Kamus Dewan pula
menjelaskan, konflik adalah perselisihan atau pertentangan antara individu, idea, kepentingan dan
lain-lain.5 Sementara Philip J. Vermonte dalam bukunya Demokrasi dan Konflik di Indonesia
mendefinisikan konflik adalah pertentangan antara dua puak kerana perbezaan fahaman, prinsip dan
ideologi.6 Oleh itu konflik merupakan tabiat semula jadi yang lahir dalam diri manusia yang
disebabkan oleh perbezaan prinsip, idelogi dan juga kepentingan.
Dari pengertian di atas, konflik dapat diertikan sebagai suatu proses sosial dalam masyarakat yang
disebabkan oleh perbezaan ciri-ciri dalam keyakinan, ideologi, fahaman, adat istiadat, kepentingan
dan sebagainya. Konflik adalah perkara semula jadi yang ada pada diri manusia, jika tidak ditangani
dengan baik ia akan menghasilkan perkara negatif, tetapi apabila konflik itu ditangani dengan bijak, ia
akan mendatangkan hasil yang positif.
Latar belakang berlakunya sesuatu konflik adalah berpunca dari perbezaan ciri-ciri yang dibawa oleh
seseorang individu dalam suatu interaksi sosial. Antara perbezaan-perbezaan tersebut ialah seperti
perbezaan mengenai ciri-ciri fizikal, kepandaian, pengetahuan, adat istiadat, keyakinan dan
sebagainya. Perbezaan yang dibawa oleh individu dalam interaksi sosial boleh menyebabkan lahirnya
konflik dalam masyarakat. Jadi konflik merupakan suatu perkara yang biasa berlaku dalam
masyarakat. Bahkan tidak ada sebuah komuniti atau masyarakat yang tidak pernah mengalami konflik
antara anggotanya atau dengan kelompok lainya. Konflik tidak dapat dihapuskan kecuali ia akan
hilang bersamaan hilangnya masyarakat itu sendiri. Secara amnya, konflik boleh terjadi bermula dari
dalam diri seorang, melibatkan rakannya, masyarakat, negeri seterusnya hingga ke peringkat negara.
Konflik individu ialah konflik dalam jiwa seseorang seperti konflik kerana kekecewaan terhadap
sesuatu yang belum dicapai. Kemudian konflik dengan orang lain, seperti konflik dalam kelompok
masyarakat yang selalu terjadi. Selanjutnya konflik rakyat dengan penguasa, misalnya konflik rakyat
yang memberontak menuntut kemerdekaan wilayah dari sebuah negara seperti konflik Moro di
Filipina, Patani di Selatan Thailand, konflik Aceh, dan lain-lain. Konflik di peringkat negara juga
sering terjadi seperti konflik antara negara-negara Arab dengan negara Israel.
III. Konflik Menurut Perspektif Islam
Dalam Istilah bahasa Arab ada beberapa ungkapan yang dimaksudkan sebagai konflik, antaranya ialah
perkataan
‫ خ ال‬dan
‫إخالالف‬. Pada prinsipnya kedua-dua kalimat tersebut memiliki makna dan
pengertian yang sama iaitu konflik. Namun sebahagian ulama cuba memisahkan pengertian dan
penggunaan kedua-dua kalimat tersebut.7 Kalimat
‫ خ ال‬biasanya digunapakai pada pengertian
perbezaan pandangan atau konflik secara internal, seperti dijelaskan dalam al-Qur`an;
)88 :‫(سورة هود‬...        
Maksudnya:
dan Aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan)
apa yang Aku larang. (Surah Huud: 88).
Ayat ini menggunakan kalimat
‫ خال‬bagi menggambarkan tentang dakwah Nabi Syu‘aib a.s kepada
kaumnya yang mereka sama-sama dalam satu kelompok. Sedangkan kalimat
‫ إخالف‬digunapakai untuk
menggambarkan perbezaan pandangan atau konflik dengan kelompok yang lain secara eksternal.
Misalnya dijelaskan dalam al-Qur`an pada ayat berikut:
)73 :‫ (سورة مريم‬    
Maksudnya:
Maka berselisihlah golongan-golongan (yang ada) di antara mereka. (Surah Maryam: 37).
Secara amnya ungkapan "khilaf" dan "ikhtilaf" adalah perbezaan yang membawa maksud kepada
lahirnya konflik sama ada konflik dalaman mahupun konflik luaran. Konflik dalaman terjadi kerana
seseorang tidak mampu menyelaraskan pelbagai keinginan dalam dirinya. Sedangkan konflik luaran
terjadi disebabkan perbezaan pelbagai kepentingan antara satu dengan yang lainnya. Dan hakikat
konflik adalah sunnatullah, sebagai mana dijelaskan oleh al-Qur`an;
.)91:‫ (يونس‬       
Maksudnya;
"Manusia dahulunya hanyalah umat yang satu, kemudian mereka berselisih”
(Surah Yunus: 19).
Ini menunjukkan bahawa konflik adalah iradah Allah SWT kepada manusia yang mesti diterima
sebagai suatu kemestian. Maknanya manusia tidak mampu menghapus sama sekali konflik tersebut,
kerana prinsip hidup manusia berbagai sesuai dengan banyak ragam jenis manusia. Oleh itu, konflik
dengan sifatnya yang neutral tidak positif dan tidak pula negatif tetapi terserah kepada manusia
bagaimana mengendalikan konflik itu. Banyak peristiwa konflik yang telah terjadi di masa hidup
Rasulullah samada selepas baginda diangkat menjadi Rasul ataupun sebelumnya. Antara konflik yang
melibatkan Rasulullah sebagai orang tengah ialah kes peletakan semula Hajar al-Aswad pada
tempatnya. Baginda telah menjadi orang tengah di antara para pemimpin Qurasy. Contoh lain konflik
di masa Rasulullah ialah konflik dengan musyrikin Qurasy di Mekkah. 8 Memang banyak konflik yang
berlaku semasa hayat baginda Rasulullah s.`a.w, ini selaras dengan kedatangan baginda di tengah-
tengah masyarakat awam bertujuan untuk merobah tradisi masyarakat jahiliyah kepada mengamalkan
prinsip-prinsip agama.9
IV. Faktor-faktor Berlakunya Konflik Politik
Konflik politik selalunya dikaitkan dengan kekejaman dan kekerasan, kerana konflik politik sering
membawa kepada pertumpahan darah dan tindakan jenayah. Ada beberapa faktor utama yang menjadi
penyebab terjadinya konflik politik. Antara sebab-sebabnya adalah seperti berikut:
(a) Mengejar Cita-cita
Cita-cita adalah impian seseorang iaitu keinginan untuk mencapai sesuatu. Maksudnya keinginan
yang kuat untuk mendapatkan suatu posisi, kemasyhuran dan kekuasaan. Keinginan dan kemahuan
yang kuat untuk mencapai suatu kejayaan seperti mana yang telah dicapai oleh orang lain sangat
dianjurkan oleh agama, kerana apa yang sanggup dilakukan oleh orang lain, boleh dilakukan oleh
seseorang untuk mendapatkan sesuatu seperti yang telah diperolehi orang lain, tetapi keinginan untuk
menghilangkan kebaikan yang ada pada orang lain sangat dilarang dalam kehidupan beragama.
Cita-cita untuk menunjukkan kekuatan bersenjata adalah salah satu sebab berlakunya konflik
bersenjata atau peperangan. Contohnya bekas presiden Amerika Syarikat George W. Bush
mengisytiharkan bahawa perang melawan keganasan adalah perang untuk menghapuskan kejahatan
atau wipe out evil.10 Cita-cita George Bush ini ternyata telah tersasar jauh dari matlamat asal, sehingga
cita-cita menghapus kejahatan di dunia telah berubah menjadi konflik bersenjata yang sangat sukar
untuk diselesaikan.
Faktor cita-cita ini dipengaruhi oleh faktor kekuasaan. Perebutan kuasa menyebabkan seseorang ingin
menghapuskan lawan-lawan politiknya. Bagi penguasa yang gila kekuasaan tidak segan-segan untuk
melenyapkan lawan politiknya, yang penting cita-citanya akan tercapai.
Sebenarnya Islam masih membenarkan manusia memiliki cita-cita yang tinggi. Isyarat tersebut
terdapat pada persoalan para malaikat kepada Allah SWT ketika hendak menciptakan manusia di
muka bumi ini. Seolah-olah para malaikat sudah mengetahui bahawa manusia dengan cita-citanya
berpotensi melakukan kerosakan di muka bumi ini dengan melakukan konflik berdarah sesama
mereka, Allah SWT telah menjelaskan dalam surah al-Baqarah;
                   
)73:‫ (البقرة‬         
Maksudnya:
Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku
hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." mereka berkata:
"Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan
membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami
senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan
berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."
(Surah al-Baqarah:30).
Ayat di atas menjelaskan bahawa manusia pada hakikatnya mempunyai potensi yang besar untuk
melakukan konflik hingga membawa kepada pertumpahan darah atau peperangan sebagaimana yang
terjadi di muka bumi pada hari ini. Ayat tersebut bukan protes daripada malaikat terhadap penciptaan
manusia, tetapi sikap ingin tahu malaikat terhadap hikmah penciptaan manusia itu di muka bumi,
sebagai mana dalam beberapa riwayat yang dinukilkan dalam tafsir al-Tabari, kerana ayat tersebut
diakhiri dengan " Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui".11
(b) Faktor Ekonomi atau Perniagaan
Dalam ilmu ekonomi, perniagaan adalah suatu organisasi yang menjual barang atau jasa kepada
pengguna untuk mendapatkan keuntungan. Perniagaan berasal dari bahasa Inggris iaitu business,
diambil dari kata dasar busy yang berarti sibuk, urusan, atau usaha.12 Jadi perniagaan ialah kesibukan
mengerjakan aktiviti dan pekerjaan yang mendatangkan keuntungan. Aktiviti perniagaan adalah
aktiviti jual beli. Pelaku perniagaan atau business man dalam konteks ini adalah individu masyarakat.
Dan manfaatnya ialah meningkatkan kesejahteraan individu itu sendiri atau untuk mencari kekayaan.
Aktiviti perniagaan juga dapat diertikan sebagai pendanaan atau pemberian modal usaha. Dalam hal
ini yang menjadi pelaku perniagaan adalah lembaga, samada lembaga perorangan ataupun lembaga
swasta. Objektifnya ialah untuk meningkatkan kesejahteraan anggota dan juga lembaganya. Adapun
aktiviti perniagaan tingkat tinggi dilakukan oleh pemerintah dengan negara, tujuannya untuk
kesejahteraan rakyat. Apapun bentuk perniagaan yang dijalankan oleh para pelaku perniagaan samada
individu, lembaga, atau atas nama negara, yang menjadi pengguna setiap produknya ialah rakyat.
Agar sukar untuk dipercayai jika dikatakan faktor perniagaan menjadi salah satu penyebab terjadinya
konflik bersenjata, kerana perniagaan merupakan ladang mencari rezeki. Ternyata konflik dan perang
adalah perniagaan model baru yang sangat menguntungkan kepada negara pembekal senjata. Sangat
mengejutkan apabila Amerika yang menganggap negaranya sebagai ‘polis dunia’ ternyata terlibat
dalam perniagaan model baru ini. Faktanya Amerika ialah negara yang paling banyak terlibat konflik
bersenjata dan peperangan di dunia. Sebagai contoh negara Iraq yang memusuhi Amerika merupakan
sebuah negara yang paling banyak membeli senjata dari negara Amerika suatu masa dahulu.
Sama halnya dengan konflik Aceh selama 30 (tiga puluh) tahun bagaikan ladang perniagaan yang
sangat menguntungkan pihak-pihak tertentu13 dari segi penjualan senjata. Fakta ini menjadi bukti kuat
dengan ditemukan ada senjata Gerakan Aceh Merdeka (GAM) di Acheh misalnya ditemukan senjata
M-16 buatan PT. Pindad Bandung Indonesia, apakah yang menjual pihak TNI atau Polis atau ada
pihak lain atau didapat secara dirampas, yang jelas ada berlaku permainan perniagaan senjata selama
konflik di Acheh.14 Dengan lain perkataan konflik Acheh hingga tiga dekad lebih dijadikan sebagai
ladang perniagaan oleh orang-orang yang tidak ingin kepada kedamaian. Mengikut laporan media dan
kajian lembaga Hak Asasi Manusia, konflik Acheh sengaja dicipta dan dibiarkan subur agar mereka
dapat berniaga senjata secara berleluasa. Perniagaan seperti ini hanya mencari keuntungan dengan
mengorbankan orang lain untuk mencapai tujuannya. Malah konflik Acheh selalunya disebut oleh
orang Acheh sebagai "proyek" mereka.15
Kalau mengikut Gerila GAM, berperang dengan TNI adalah kewajiban mempertahankan kampungnya
yang diperbolehkan dalam agama. Dalam persepsi mereka perang menjadi hal penting untuk maruah
individu, maruah keluarga dan maruah bangsanya. Sementara bagi tentera Indonesia, perang
menumpas GAM adalah perang mempertahankan nasionalisme kesatuan Indonesia. Selain untuk
melaksanakan tugas di Acheh ternyata ada hal lain yang menjadi tujuan utama iaitu mencari harta
kekayaan. Ada ungkapan, kalau datang ke Acheh membawa M-16, tetapi pulang kampung membawa
16-M.16
(c). Fator Kemiskinan Dan Kesusahan hidup
Faktor kemiskinan dan ketidakadilan serta gap sosial yang terlalu lebar menjadi faktor penyebab
terjadinya konflik politik. Menurut Anthony Georgieff, bahawa lebih dari 80% konflik dan
peperangan yang terjadi di dunia ialah disebabkan faktor kemiskinan. 17 Menurutnya lagi, negara
miskin lebih besar peluang berlaku konflik dibandingkan dengan Negara kaya, dengan perbandingan 3
banding 1. Hal senada juga disampaikan bekas Setia Usaha Agung PBB Kofi Annan, selain faktor
kemiskinan adanya ketidakadilan dan gap sosio-ekonomi yang besar termasuk penyebab terjadi
konflik.18
Berlakunya korupsi, penggelapan dana negara, penyalahgunaan kuasa dan wewenang dalam sebuah
kerajaan adalah akibat kemiskinan. Begitu juga apabila berlaku perdagangan manusia human
trafficking ialah disebabkan faktor kemiskinan. Bahkan dalam konteks politik pun suatu parti politik
dapat menerima kekalahan kalau pendukung parti politik berkenaan hidup dalam dilema kemiskinan.
Misalnya ketika pemilihan gabernur Jawa Tengah Indonesia pada 22 Jun 2008, dengan jumlah
pemilih berdaftar 25.8 juta orang, tetapi sekitar 45% tidak ikut pilihan raya tersebut. 19 Alasannya
kerana rakyat tidak sempat berpolitik disebabkan kesulitan mereka mempertahankan hidup dalam
kemiskinan.20
Islam menjelaskan, masalah kemiskinan boleh menimbulkan konflik politik, bahkan boleh
mengancam akidah seseorang. Ia menjadi ancaman kepada akidah dan kehidupan seseorang.
Keterangan kemiskinan dapat mengancam akidah ialah sebagaimana hadith Nabi s.`a.w: 21
‫كاد الفقر أن يكون كفرا‬
Ertinya; Kefakiran itu hampir membawa kepada kekufuran (Hadith Riwayat Abu Nai`m).
Hadith di atas memberi isyarat bahawa kemiskinan adalah ancaman kepada agama. Nabi sendiri
berdo`a kepada Allah agar beliau dijauhkan dari dilema kemiskinan. Beliau sangat khawatir terhadap
ancaman kemiskinan terhadap umatnya. Do`a Rasulullah dapat berupa ta`lim kepada umat ini, sebagai
berikut;
‫اللهم إنى أعوذ بك من الكفر والفقر‬
Ertinya; Ya Allah Aku berlindung kepadaMu dari pada kekufuran dan kefakiran, (Hadith Riwayat:
Abu Daud).
Seorang Rasul masih berdo`a kepada Allah agar dijauhkan dari kefakiran, kerana kefakiran
mengancam iman seseorang, maka sudah sangat wajar apabila umatnya berusaha agar dijauhkan dari
sifat kemiskinan.
Oleh itu, Islam menempuh berbagai cara untuk mengurangi kemiskinan, antaranya pembahagian zakat
diutamakan kepada orang fakir dan miskin, kafarat sumpah, kafarat zihar, kafarat jimak dalam bulan
puasa dan kafarat lainya dibahagikan kepada fakir dan miskin, fidyah puasa juga dibahagikan kepada
mereka, bersedekah juga diutamakan kepada kaum miskin. Ini menunjukkan bahwa kemiskinan harus
dihapuskan dengan pelbagai cara, kerana kalau kemiskinan dibiarkan ia berpeluang menjadi konflik,
sama ada konflik sosial mahupun konflik bersenjata.
Kewujudan orang-orang kaya dan orang miskin dalam masyarakat bukan untuk menciptakan konflik.
Tetapi merupakan keadilan Allah yang memberikan sebahagian hambanya kaya raya, dan sebahagian
lagi tetap miskin.22 Orang yang kaya membantu orang miskin dengan zakatnya, sementara orang
miskin menyokong orang kaya dengan do`anya kerana do`a orang miskin dapat membuat
ketenteraman bagi orang kaya, sebagai mana dijelaskan dalam Al-Qur`an;
)30 :
(                  
Artinya: Ambillah zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan
mensucikan mereka dan berdo`alah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi)
ketenteraman jiwa bagi mereka, dan Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui (Q.S. AlTaubah:103)
d) Beberapa faktor lain
Terdapat beberapa faktor lain yang boleh menimbulkan konflik politik. Antaranya ialah faktor
pemikiran; iaitu berbeza pemikiran dalam menangani sesuatu perkara. Ia seterusnya akan
melahirkan pandangan dan pendapat yang berbeza-beza. Penentangan antara pandangan disebabkan
cara seseorang itu berfikir tentang bagaimana untuk menyelesaikan sesuatu masalah menjadi punca
kepada konflik yang berlaku. Ini dapat dilihat dalam perbezaan pandangan antara Saidina Ali dan
Mu‘awiyah dalam menyelesaikan konflik antara mereka. Selain itu; faktor Ketokohan. Ketokohan
dari sudut pribadi mereka yang bertentangan pendapat antara satu sama lain memberi kesan kepada
pengaruh untuk mengumpulkan kekuatan dari segi penyokong yang bersamanya. Dalam isu
konflikpasti akan ada tokoh yang mewakili pandangan-pandangan yang berbeza ini. Ketokohan
generasi sahabat Rasulullah s.a.w. dalam menghadapi konflik zamannya melahirkan pengaruh yang
mempunyai pengikut masing-masing. Begitu juga faktor Kumpulan; di mana kekuatan yang
terkumpul dari kumpulan yang bersaing pendapat mengukuhkan lagi konflik yang berlaku. Individuindividu dalam kumpulan yang berbeza-beza merasakan ia satu perjuangan untuk memenangkan
kumpulannya sehingga akan lahir kumpulan yang melihat masalah ini secara personal sehingga lahir
pemikiran tertentu dalam kumpulan ini yang kemudian berkembang kepada satu perjuangan. Orangorang yang bersimpati dengan Saidina Ali muncul sebagai satu kumpulan yang berkembang menjadi
satu mazhab yang mempunyai intepretasinya terhadap akidah, fiqah dan politik, begitu juga Khawarij.
Selagi ada kumpulan tetap akan ada konflik pandangan. Yang paling merugikan ialah faktor
Kejahilan; iaitu kejahilan dalam konteks konflik menggambarkan kekeliruan dan ketidakpastian
kenapa seseorang turut serta dalam kancah konflik. Faktor ini memudahkan berlakunya konflik kerana
golongan ini mudah menjadi mangsa kumpulan yang berkonflik. Asas kepada permasalahan tidak
lagi menjadi pertimbangan, kejahilan membawa kepada ketaksuban kepada isu dan bukan dilihat
dalam penilaian dan kacamata kewarasan iman dan ilmu.
V. Kaedah Penyelesaian Konflik Politik Dalam Islam
Terdapat beberapa cara penyelesaian konflik politik menurut perspektif Islam. Antaranya ialah cara
timbangtara (al-Tahkim), perundingan (al-Mufawazat), meminta jasa baik dan melantik orang tengah
(al-Musalahah), perantaraan (al-Wisatah), undian (al-Qur‘ah), referendum (al-Istifta’), bermesyuarat
(al-Syura) dan lain-lain.
i. Timbangtara (Al-Tahkim)
Tahkim atau timbangtara (arbitration) adalah suatu strategi penyelesaian konflik. Kaedah ini apabila
pihak yang bertikai tidak mampu menyelesaikan sendiri konflik yang sedang terjadi antara mereka,
dan meminta pihak ketiga sebagai orang tengah samada individu, institusi, lembaga, organisasi
ataupun negara untuk menjadi penimbangtara atau Muhakkim. Dalam konteks ini semua pihak terikat
dengan keputusan yang dibuat oleh penimbangtara. Penimbangtara dituntut supaya bersikap neutral
tidak cenderung kepada mana-mana pihak yang bertikai.
Dalam catatan sejarah, amalan tahkim pernah dilakukan oleh sahabat ketika terjadi perang Siffin (657
M/37 H) antara Ali bin Abi Talib dengan Mu`awiyah bin Abi Sufyan. Konflik pada masa itu telah
mencetuskan peperangan di kalangan orang Islam bahkan telah meninggalkan kesan negatif di
kalangan umat Islam itu sendiri.23 Bahkan ada pendapat mengatakan bahawa konflik tersebut telah
menyebabkan munculnya firqah atau puak-puak dalam Islam. Kaedah yang ditawarkan oleh sahabat
Nabi s.`a.w. Amru Bin As untuk mengakhiri konflik pihak yang bersengketa adalah salah satu metod
damai dalam Islam. Amru Bin As dalam slogannya mengatakan;24
‫الحكم للقرآن ال للسيف‬
Ertinya; Berhukum dengan Al-Qur`an bukan dengan pedang.
Maksud berhukum dengan Al-Qur`an ialah kembali pada kitab Allah, dan maksud bukan dengan
pedang ialah bukan dengan melakukan perang sesama kaum muslimin. Pada tawaran Amru bin As
ini, yang menjadi penimbangtara adalah al-Qur`an. Kerana persoalan ketika itu tidak dapat
diselesaikan sendiri oleh mereka. Sehingga mereka melihat al-Qur`an sebagai kitab yang mampu
mendamaikan mereka. Dari satu sisi tindakan Amru bin As dapat disebut juga sebagai penimbangtara,
kerana beliau bertindak sebagai orang ketiga yang membuat aturan bagi mengikat kedua belah pihak
iaitu dengan cara merujuk kepada al-Qur`an.
Walaupun penyelesaian konflik dengan kaedah Tahkim yang ditawarkan oleh Amru bin As tidak
sepenuhnya berjaya menyelesaikan konflik, kaedah tersebut telah digunakan bagi menyelesaikan
konflik dalam Islam. Gagalnya perdamaian dengan kaedah tahkim telah memberikan catatan kepada
umat Islam bahawa Islam tidak menghendaki penyelesaian dengan kekerasan. Metode yang telah
dirintis oleh Amru bin As ini menjadi rujukan ilmiah dalam Islam untuk dapat dikembangkan dalam
penyelesaian konflik secara damai di masa akan datang.
Belajar dari sejarah tahkim yang pernah dipraktekkan oleh sahabat ketika itu, maka untuk menjadi
seorang penimbangtara perlu memiliki kemahiran khusus kerana semua pihak yang bertikai tidak lagi
berbicara antara satu sama lain, tetapi berbicara dengan penimbangtaranya, oleh itu penimbangtara
perlu mempunyai framework untuk mengetahui kedudukan semua pihak. Maka ada tiga hal yang
mesti dilakukan oleh Muhakkim iaitu; a. Mendapatkan maklumat semua pihak, ia mencakup sejarah
masa lalu, agama dan nilai dan budaya, hubungan persoalan, sikap dan watak serta kemampuan
masing-masing. b. Mengetahui kedudukan, posisi, isu, akibat konflik, persepsi, keperluan dan
kemungkinan penyelesaian. c. Mengetahui proses, ia termasuk struktur, sistem, cara komunikasi,
tradisi penyelesaian di tempat konflik, pembuatan keputusan serta peranan dan saranan. 25
Selain memiliki skill yang baik, penimbangtara juga mempunyai sikap, keahlian, ketokohan dan
keilmuan yang memadai. Dalam pelbagai komuniti masyarakat, pihak yang menjadi Muhakkim ialah
orang yang mempunyai otoriti strategis dalam masyarakat misalnya seorang Ulama, tokoh adat dan
lainnya. Ini kerana Muhakkim memiliki kuasa untuk campur tangan sesuatu persoalan konflik, untuk
mengambil keputusan siapa yang benar dan siapa yang salah, seseterusnya menetapkan
penyelesaiannya.
Yang menjadi asas bagi kaedah timbangtara ialah sebagaimana firman Allah:
)93:‫ (الحجرات‬          
Maksudnya:
Orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara. sebab itu
damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan
takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat (Al-Hujurat:10).
ii. Perundingan (al-Mufawazat)
Perundingan adalah satu strategi penyelesaian konflik. Pihak yang bertikai bersetuju menyelesaikan
konflik mereka secara kompromi atau istilah lain dengan musywarah bersama. 26 Kaedah ini tidak
melibatkan pihak ketiga, kerana wakil masing-masing terlibat secara langsung dalam proses dialog.
Dengan lain istilah, strategi perundingan adalah kaedah penyelesaian konflik yang tidak melibat pihak
ketiga sebagai penengah kerana pihak bertikai sanggup menyelesaikan sendiri konflik mereka.
Mengikut kaedah ini kedua-dua belah pihak menghantar wakil masing-masing yang mempunyai skill
atau kecekapan dalam komunikasi dan mempunyai wawasan agar lebih mudah menyampaikan
kepentingan pihak sendiri dan juga mampu mendengarkan tuntutan pihak lainnya.
Selain kecekapan komunikasi, para perunding juga memerlukan prinsip terbuka, menjadi pendengar
yang baik, mampu berfikir dengan baik, mampu menganalisa kedudukan persoalan yang perlu
diselesaikan sehingga ia dapat mengambil keputusan secara bijaksana. Kemahiran untuk menjadi
perunding yang baik dapat dilatih dan dipelajari, sesiapa sahaja dapat menjadi perunding asalkan ia
mahu berlatih.
Metode al-Mufawazat atau perundingan dalam penyelesaian konflik telah dicontohi oleh Rasulullah
ketika terjadi perjanjian Hudaibiah. Perjanjian ini lahir melalui proses perundingan dengan tokoh
Qurasy. Perunding yang dilantik oleh Rasulullah ialah Othman Ibn ‘Affan r.a. Dalam hal ini,
Rasulullah mendahulukan penyelesaian sengketa ini menerusi perundingan, padahal kalau Rasulullah
s.`a.w. ingin menyerang orang Quraisy, mereka akan dapat dikalahkan. Tetapi kerana mereka bersedia
berunding maka pihak Muslimin bersedia melakukan perundingan.
Pedoman menerima perundingan daripada kelompok yang bersedia untuk berunding, terdapat dalam
al-Qur‘an sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Anfal:
.)61:‫ (األنفال‬            
Maksudnya:
Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan
bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya dialah yang Maha mendengar lagi
Maha Mengetahui (Surah al-Anfal:61).
Ayat tersebut menjelaskan kalau pihak yang bersengketa bersedia untuk melakukan rundingan damai
maka dengan segera mesti diterima perundingan tersebut. Ini menunjukkan bahawa perundingan
adalah salah satu kaedah menyelesaikan konflik dan menghentikan kekerasan. Dalam konteks
perjanjian Hudaibiyah kedua pihak yang bertikai telah menyelesaikan sendiri persoalan mereka tanpa
melibatkan pihak ketiga sebagai perantara.
iii. Meminta Jasa Baik Dengan Melantik Orang Tengah (Al-Musalahah)
Kaedah meminta jasa baik dan melantik orang tengah atau musalahah adalah suatu ketrampilan dalam
proses menyelesaikan konflik.27 Pihak yang menjadi orang tengah mestilah orang-orang yang
memiliki kemahiran dan keahlian untuk membina komunikasi dengan pihak yang bertikai. Jasa baik
ada yang diminta oleh pihak yang bertikai dan ada yang merupakan inisiatif dari orang tengah sendiri
untuk membantu menyelesaikan konflik. Untuk tampil meyelesaikan konflik, orang tengah perlu
menjalankan beberapa tahap persiapan, iaitu persiapan awal, persiapan sesudah dialog, dan persiapan
selama dalam dialog. Dengan persiapan yang matang, pihak yang bertikai akan mempercayai orang
tengah.
Apabila pihak yang bertikai tidak mempercayai orang tengah, tidak mungkin dapat dicapai
kesepakatan bersama bagi penyelesaian konflik. Misi utama dari kaedah orang tengah adalah
mewujudkan persefahaman bersama atau memorandum of understanding (MOU) antara kedua-dua
pihak. Konsep kaedah orang tengah ini terdapat dalam al-Qur`an melalui ayat berikut;
.)9 :‫ (األنفال‬         
Maksudnya:
"dan perbaikilah perhubungan di antara sesamamu; dan taatlah kepada Allah
dan rasul-Nya jika kamu adalah orang-orang yang beriman."(Surah Al-Anfal:1).
Maksud perbaikilah hubungan sesamamu adalah perintah untuk mendamaikan saudara yang sedang
dalam konflik. Perintah tersebut samada kepada individu mukmin atau organisasi. Maknanya setiap
muslim mesti mengambil peranan dalam menyelesaikan konflik. Untuk menjadi orang tengah yang
baik, ia mesti mengetahui lebih dahulu selok belok orang-orang yang terlibat. Ia mencakup perkara
agama, adat istiadat, budaya, sifat kebiasaan dan keinginan orang-orang yang terlibat. Tujuannya agar
orang tengah mampu menciptakan komunikasi yang baik dengan pihak yang terlibat agar mereka
saling menghargai, terbuka dan bersidia menerima kritikan. Ada beberapa hal penting yang mesti
dimiliki oleh orang tengah antaranya: 28
a. Bersikap neutral. Iaitu peranannya hanya menjadi orang tengah dan tidak memihak
kepada mana-mana pihak. Selain itu beliau mestilah tidak ada kepentingan dalam rundingan tersebut
melainkan membantu menyelesaikan konflik. Ini bertujuan agar para pihak yang terlibat tidak curiga
kepada mereka.
b. Menetapkan aturan dialog. Orang tengah mesti mengetahui keinginan semua pihak, dan
membuat aturan dialog yang dipersetujui bersama yang mengikat kedua belah pihak. Tujuannya agar
proses dialog tidak lari dari tujuan asalnya.
c. Menciptakan suasana damai. Orang tengah perlu menciptakan suasana damai agar para
pihak dapat saling mendengar tuntutan masing-msing. Ini berkait rapat dengan lokasi dialog, dan ini
sangat menentukan. Di samping itu, orang tengah perlu ada persediaan untuk menghadapi ketegangan
atau berlaku kekecuhan yang boleh menyebabkan gagalnya dialog. Maka kearifan dan sikap bijak
sebagai orang tengah sangat mempengaruhi proses dialog dan kejayaannya.
iv. Menggunakan Orang Perantaraan (al-Wisatah)
Perantaraan adalah proses penyelesaian konflik oleh pihak ketiga, di mana pihak yang bertikai
memberi persetujuannya kepada pihak ketiga untuk menyelesaikan pertikaian mereka. Orang ketiga
ini disebut sebagai orang perantaraan. Peranan orang perantaraan hampir sama dengan peranan orang
tengah iaitu sama-sama bertujuan untuk membantu pihak yang bersengketa keluar dari konflik
mereka, dan tidak ikut campur tangan dalam materi pihak bersengketa tetapi hanya mengarahkan
sahaja agar dialog berjalan lancar.
Islam sangat mengutamakan pendekatan perdamaian melalui perantaraan orang tengah dalam
penyelesaian konflik, meskipun istilah orang tengah dari segi sebutan berbeza dengan sebutan islah.
Tetapi perbezaan itu hanya pada lafaz sahaja maksud dan tujuannya sama. Asas perataraan orang
tengah dalam Islam antara lain terdapat pada surah al-Hujarat, sebagai berikut;
)9:‫(الحجرات‬       
ِMaksudnya:
Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang hendaklah
kamu damaikan antara keduanya! (Al-Hujurat:9).
Kejayaan kaedah perantaraan orang tengah telah dipraktikkan oleh Rasulullah s.`a.w sebelum beliau
diangkat menjadi Rasul, dan ketika beliau dikenali dengan sebutan al-Amin. Saat beliau tampil
menjadi orang perantaraan mendamaikan konflik antara kabilah di Mekkah ketika pembaikian
Ka`bah, ada empat kabilah yang paling berpengaruh di Mekkah yang ke semuanya saling merebut
peluang dan kesempatan untuk meletakkan semula Hajar al-Aswad pada tempat asalnya. Peristiwa ini
hampir membawa kepada pertumpahan darah. Kerana masing-masing ketua kabilah merasa pihaknya
lebih berhak meletakkan semula Hajar al-Aswad, dan tidak ada kabilah yang mahu mengalah. Dalam
keadaan tegang itu, salah seorang di antara mereka berkata; kalau keadaan seperti ini ia akan
menghancurkan kita semua. Akhirnya mereka bersepakat meminta siapa yang paling awal masuk ke
dalam Ka`bah esok hari dialah yang akan dilantik sebagai orang tengah atau orang perantaraan.
Keesokan hari mereka mendapati orang yang paling awal masuk ke dalam Ka`bah ialah Nabi
Muhammad s.`a.w. Semua kabilah menerima Muhammad menjadi orang tengah mereka. Kemudian
Muhammad membentang kain serbannya dan meminta setiap ketua kabilah masing untuk memegang
hujung tepi kain dan mengangkat Hajar al-Aswad, lalu Muhammad mengambilnya sendiri dan
meletakakan semula pada tempat asalnya. Dengan kaedah perantaraan orang tengah ini, dan kerana
ketokohan Muhammad sebagai orang perantaraan, konflik di antara mereka dapat diselesaikan tanpa
pertumpahan darah.
Dari peristiwa ini dapat disimpulkan beberapa prinsip iaitu; pertama proses perantaraan orang tengah
mesti lahir dari kesedaran sendiri pihak yang bertikai tanpa paksaan dari mana-mana pihak, dan secara
sedar memerlukan kepada pihak ketiga untuk membantu mereka; kedua penyelesaiannya mesti timbul
dari keikutsertaan semua pihak sehingga mereka merasai lahirnya kesepakatan yang dihasilkan; ketiga
prinsip orang perantaraan sebagai orang yang memberi sokongan kepada semua pihak yang bertikai
tanpa ada unsur kepentingan dan cenderung kepada mana-mana golongan.
Setelah memiliki prinsip-prinsip dasar di atas, seseorang orang perantaraan mesti mempunyai sikap
yang baik selama proses perantaraan orang tengah, antaranya; a. Sabar. Seorang orang perantaraan
mesti mempunyai sikap sabar dalam menghadapi pelbagai tuntutan para pihak dan tidak sekali-kali
merasa jemu apalagi merasa putus asa dengan persoalan rumit yang dihadapi, b. Terbuka. Seorang
orang perantaraan mesti menerima pandapat yang berbeda dengan pendapatnya sekaligus ia bersedia
menerima kritikan terhadap peranan dan fungsinya selama ia menjadi orang tengah, c. Fleksibel.
Untuk menjadi orang perantaraan yang berjaya, beliau mesti sanggup menjadi pendengar yang baik
dan sensitif dengan keadaan para pihak yang bertikai, d. Positif. Seorang orang perantaraan mestilah
bersifat positif, beliau tidak boleh pesimis apabila gagal dalam menyelesaikan konflik, begitu juga
tidak cepat merasa gembira apabila usahanya berjaya. e. Komitmen. Seorang orang perantaraan mesti
memiliki komitmen yang tinggi bagi menjalani proses penyelesaian konflik.
Orang tengah juga perlu kepada beberapa kemahiran khusus. Ada beberapa kemahiran khusus yang
mesti dimiliki oleh seorang orang perantaraan, antaranya; 1. Kemahiran komunikasi yang efektif, 2.
Kemahiran membangun kepercayaan para pihak, 3. Kemahiran untuk menghasilkan yang terbaik, 4.
Kemahiran mencairkan kejumudan dialog para pihak, 5. Kemahiran meleraikan perdebatan, dan 6.
Kemahiran mencari pelbagai alternatif lain jika proses dialog yang dilakukan mengalami jalan buntu.
Ini merupakan ketrampilan penting bagi orang perantaraan.29
v.
Permesyuaratan (al-Syura)
Prinsip dasar politik Islam yang diwariskan oleh agama adalah konsep syura. Ia sangat berbeda
dengan sistem demokrasi, kerana sistem demokrasi tidak sama dengan syura dan syura bukanlah
demokrasi. Namun diperakui terdapat beberapa persamaan di antara demokrasi dan syura, misalnya
menerima pandangan rakyat dalam membuat keputusan. Mengambil pendapat rakyat dalam suatu
masalah penting untuk menghindari konflik terdapat dalam demokrasi dan juga dalam sistem syura.
Banyak keterangan al-Quran dan al-Hadith tentang konsep syura dalam segala urusan umat,
antaranya;
)83:‫ (الشورى‬          
Maksudnya:
Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan
mendirikan shalat, sedang urusan mereka diputuskan dengan musyawarat antara
mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezki yang kami berikan kepada
mereka.(Surah al-Syura:38)
Muhammad Rasyid Ridha dalam Tafsirnya al-Manar ketika mentafsirkan ayat di atas menyatakan
bahawa yang dimaksud dengan”urusan” adalah urusan dunia yang dilaksanakan oleh pemerintah.
Menurutnya syura tidak berlaku pada hal-hal agama seperti akidah, ibadah, hukum halal haram dan
lain-lain hal. Andai kata perkara agama boleh dimusyawarahkan maka agama ini buatan manusia.
Tetapi agama ini wahyu Ilahi sehingga tidak seorangpun manusia dibenar menggunakan pendapatnya
sahaja samaada di zaman Nabi atau sesudahnya.30 Dalam ayat lain Allah berfirman:
. )959:‫ (آل عمران‬             
Maksudnya:
Dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila
kamu telah membulatkan tekad, Maka bertawakkallah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.(Surah Ali Imran:159).
Perintah musywarah dalam segala perkara pada ayat di atas merupakan perintah wajib. Pengertian
"segala perkara" termasuk masalah konflik, samada konflik individu, konflik keluarga mahupun
konflik politik. Untuk menghindari konflik tersebut diwajibkan bermusywarah. Tujuan musywarah
adalah untuk menghindari kekerasan. Bahkan setelah musywarah Allah masih memerintahkan untuk
bertawakkal, maknanya kalau ternyata hasil musywarah belum dapat menghindari konflik, masih perlu
usaha untuk mencari jalan keluar dengan damai, tidak mengambil jalan pintas dengan kekerasan.
vi. Undian (al-Qur`ah)
Qur`ah berasal dari akar kata bahasa Arab qa, ra, `aa, yang bermaksud mengundi. Kaedah
ini sudah pernah wujud dan terkenal dalam sejarah suatu ketika dahulu. Syeikh `Atiyah Saqr dalam
kitabnya Ahsanul Kalam fi Fatawa wal Ahkam, menyebutkan bahawa kaedah Qur`ah dibolehkan oleh
syai`at Islam. Berikut adalah antara praktek-praktek Qur`ah atau undian yang pernah dijalankan:31
a. Kisah Siti Maryam. Untuk menentukan siapa yang akan memelihara Maryam dan
mengasuhnya maka diadakanlah Qur`ah atau pengundian di kalangan penduduk waktu itu. Tujuannya
adalah untuk menghindari konflik antara penduduk yang berminat untuk menjadi pengasuh Maryam,
kerana semua penduduk berkeinginan untuk mengasuhnya. Apabila ditunjuk langsung seorang
pengasuh tentu akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk, maka digunapakailah
kaedah Qur`ah, sebagaimana diceritakan oleh Allah SWT kepada Muhammad s.`a.w. dalam surah
`Ali Imran ayat 44 iaitu;
                   
.)44 :‫ (آل عمران‬
Maksudnya:
Yang demikian itu adalah sebagian dari berita-berita ghaib yang kami wahyukan
kepada kamu (Ya Muhammad); padahal kamu tidak hadir beserta mereka, ketika
mereka melemparkan anak-anak panah mereka (untuk mengundi) siapa di antara
mereka yang akan memelihara Maryam. dan kamu tidak hadir di sisi mereka ketika
mereka bersengketa.(Surah Ali Imran: 44)
b. Kisah Nabi Yunus a.s. Ketika kapal Nabi Yunus sampai di tengah laut, terjadilah keadaan
darurat yang memaksa diadakan undian untuk menentukan siapa yang harus dilempar ke laut demi
keselematan orang banyak. Lalu Nabi Yunus a.s ikut mengundi, namun beliau kalah dalam undian dan
terpaksa dilemparkan ke laut. Seandainya pihak Nakhoda kapal memilih seseorang penumpang yang
mesti dibuang ke laut, tentu akan melahirkan konflik, kerana semua orang tidak mahu dirinya
dilempar ke laut. Untuk menghindari konflik di antara para penumpang kapal maka diadakanlah
Qur`ah. Firman Allah SWT;
.)941-949 :‫ (الصفات‬    .    
Maksudnya:
Kemudian ia ikut berundi lalu dia termasuk orang-orang yang kalah dalam
undian.Maka ia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela.(Surah al-Saffat: 141142).
c. Kisah Nabi Muhammad s.`a.w. dengan isterinya. Apabila Nabi s.`a.w. ingin keluar untuk
musafir, lalu beliau mengadakan undian kepada isteri-isterinya. Siapa yang keluar dalam undian
dialah yang ikut bersama Rasulullah s.`a.w. Tujuan Qur`ah di sini untuk menghindari kecemburuan
isteri Rasulullah yang lain. Kerana kecemburan dapat melahirkan konflik di antara mereka. Maka
beliau mengadakan Qur`ah agar dapat memuaskan hati mereka semua.
d. Kisah Sa‘ad ibn Abi Waqash. Beliau menjalankan undian antara Muazzin pada hari alQadisiah. Menjadi Muazzin ketika itu adalah pekerjaan yang sangat mulia. Oleh itu, semua orang akan
berlumba menjadi Muazzin. Untuk menghindari berlakunya konflik maka diadakan Qur`ah, siapa
namanya yang keluar undian dialah yang menjadi Muazzin.
Sementara Ibnu Qayyim dalam kitabnya Bada`i al-Fawa`id menegaskan bahawa undian yang
berlaku antara dua orang yang berebut untuk mendapatkan hadiah bagi seseorang yang membeli suatu
barang hukumnya halal dan tidak haram. Dalam kitab tersebut dijelaskan bahwa kaedah undian sudah
ada dalam syari`at Islam bagi sesiapa yang menginginkan keadilan.32
Konsep Qur`ah yang dilakukan Rasulullah s.`aw kepada isteri-isterinya saat beliau ingin
keluar musafir yang semua mereka ingin ikut bersamanya menjadi asas hukum bahawa Qur`ah salah
satu konsep untuk menghindari konflik secara damai. Adapun motif dilakukan undian ialah bagi
menghindari ketidakpuasan hati mereka kepada Nabi yang besar kemungkinan akan menjadi konflik
di kemudian hari.
vii. Referendum (al-Istifta’)
Menurut Kamus Dewan Referendum adalah pungutan suara rakyat berhubung dengan sesuatu dasar
politik.33 Sementara dalam Kamus Besar Utusan Malaysia bermaksud pungutan suara rakyat. Adapun
pengertian Referendum dalam istilah bahasa Arab adalah ‫ االسفففاء الشعب‬yang diambil daripada asal kata
‫ يسفففى إسفففاء‬,‫ إسفففى‬yang bermaksud referendum atau jawapan rakyat terhadap sesuatu masalah
penting.34
Pengertian Referendum dalam istilah Barat membawa maksud voting suara rakyat dalam menentukan
sesuatu keputusan politik dalam sesebuah negara. Referendum merupakan sebuah instrument untuk
menentukan polisi ketika membuat sesuatu keputusan. Dapat dibuat kesimpulan bahawa pengertian
referendum ini adalah pengambilan suara rakyat untuk menentukan suatu polisi secara damai.
Dr. Ismail al-Badawi dalam bukunya Ikhtisasat al-Sultah al-Tanfiziyyah fi al-Daulah alIslamiyyah wa al-Nuzum al-Dusturiyah al-Mua`sarah menyebutkan secara khusus bahawa referendum
rakyat berlaku terhadap masalah penting dalam sistem perlembagaan modern. Menurutnya,
referendum dalam hal-hal penting adalah suatu sistem demokrasi atau separuh demokrasi. Konsepnya
adalah membentang suatu masalah kepada rakyat samada rakyat bersetuju atau tidak.35Beliau
membahagi referendum rakyat kepada tiga jenis iaitu:
a. Referendum Undang-undang (‫)إسفففاء تشريعى‬
b. Referendum Perlembagaan (‫) إسفففاء دسفورى‬
c. Referendum Politik (‫)إسفففاء سياسى‬
Pengertian konsep referendum undang-undang misalnya, adalah untuk membuat pengesahan samada
sesebuah undang-undang itu diterima atau ditolak oleh rakyat. Sedangkan model referendum
perlembagaan adalah merombak sebuah perlembagaan untuk dipersetujui atau tidak. Adapun
referendum politik adalah meminta persetujuan rakyat untuk menentukan polisi sesebuah pertubuhan
politik yang baru.36 Adapun Muhammad Asad dalam bukunya The Principles of State and
Government in Islam menjelaskan bahawa sistem syura dalam Islam merupakan bentuk referendum. 37
Ini menunjukkan metod referendum dapat dijadikan sebagai salah satu metod bagi menghindari dan
penyelesaian konflik mengikut pandangan Islam.
VI. Kesimpulan
Konflik politik merupakan perkara biasa yang sering berlaku dalam masyarakat dan di mana-mana
negara sekalipun. Konflik dan perbezaan pendapat tidak dapat dielak selagi manusia diberi kebebasan
berfikir dan menentukan halatuju masing-masing. Perbezaan cara hidup, kepercayaan, agama, ideologi
politik, adat istiadat, kepentingan diri atau kaum dan sebagainya menjadi punca utama berlakunya
konflik antara satu sama lain. Selain itu terdapat lagi faktor lain seperti, cita-cita politik, berebut untuk
menjadi pemimpin, kelemahan ekonomi, kemiskinan dan kesusahan hidup, taksub kepada golongan
atau kumpulan tertentu dan tidak dapat menerima pandangan orang lain. Sekiranya dibiarkan, konflik
politik sedemikian boleh menyebabkan berlakunya perbedaan pendapat yang serius, yang
menyebabkan berlaku perpecahan dalam masyarakat, pergaduhan kaum, akan membawa kepada
pembunuhan dan peperangan di antara satu sama lain. Bagi menyelesaikan masalah konflik politik
terdapat beberapa kaedah yang dianjurkan oleh Islam. Antaranya ialah mengamalkan kaedah
timbangtara (al-tahkim), perundingan (al-mufawazat), meminta jasa baik dan melantik orang tengah
(al-musalahah), perantaraan (al-wisatah), undian (al-qur‘ah), referendum (al-istifta’), bermesyuarat
(al-syura) dan lain-lain. Untuk menyelesaikan pelbagai konflik, pihak berwajib perlu mencontohi
amalan para sahabat dengan mengamalkan sifat-sifat yang terpuji dan menjauhi sifat-sifat negatif yang
boleh membawa kepada kemusnahan.
Nota Hujung
1
Kertas Kerja Konferensi Antarabangsa Islam Borneo VI, anjuran Pusat Penyelidikan &
Perkembangan Islam Borneo, Universiti Teknologi MARA Sarawak pada 18 dan 19 September 2013
di Riverside Majestic Hotel, Kuching, Sarawak.
2
Pensyarah Kanan, Jabatan Siasah Syar‘iyyah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala
Lumpur. E Mail: [email protected]
3
Pensyarah Fakultas Syari'ah Institut Agama Islam Negeri Ar-Raniry, Banda Acheh, Acheh
Indonesia. E mail: [email protected]
4
Longman (1981), Dictionary of Contemporary English, England: Longman Group Ltd., p. 228.
5
Dewan Bahasa Dan Pustaka (2002), Kamus Dewan, Kuala Lumpur: Dewan Pustaka dan Bahasa, h.
699.
6
Philip. J. Vermonte (1999), Demokrasi dan Konflik di Indonesia, (terj). New York: Unpublished, h.
15.
7
Ajidar Matsyah (2010), "Fiqh Ikhtilaf" dalam Daurah Syari`at Islam Untuk Masyarakat Gampong
Se-Kecamatan Titeu Kab. Pidie. Pidie: Dewan Dakwah Indonesia (DDI), 13 Ogos 2010.
8
Ismail Helmi, Dr (1997), Muhammad Qaidu al-Umam. Mesir: Al-Haiah al-Ammah al-Misriyah Li
al-Kitab, h. 119.
9
Safiuddin al-Mabar al-Kafuri (t.t.), Al-Rahik al-Makhtum. Kaherah: Maktabah Nur al-Islami. T.P, h.
286-287
10
Romi Satria wahono (2002), dalam “Konflik Dunia, Perang dan Gap Sosial. Makalah Seminar di
Jakarta.
11
Abi Jakfar Muhammad B. Jarir al-Tabari (t.t.) Tafsir al-Tabari Jamik al-Bayan `An Takwil alQur`an, Jil. I. Mahmud Syakir (ed), Cet. II. Maktabah Ibnu Taimiah, h. 454-460.
12
John M. Echols et al (1997), Kamus Inggris Indonesia. Jakarta: P.T. Gramedia, h. 90.
13
Darmien Kingsbury et al (2004), " Military Bussines In Acheh and East Timor: A Comperative
Study" (Kertas Seminar Conference on the Hostorical Background on the Acheh Problem, di Asia
Research Institute National University of Singapore, 28-29 Mae 2004), h. 20.
14
Tempo Interaktif, 25 Nov 2002 "TNI Terlibat Perniagaan di Acheh".
15
ICG (2001), Acheh: Kenapa Kekuatan Militer Tidak Membawa Perdamaian Kekal. Jakarta/Brussel:
ICG Asia Report, h. 11.
16
Otto Syamsuddin Ishak (2006), Sagoe Musaik Acheh. Jakarta: Penerbit Achehkita kerjasama dengan
Acheh Judicial Monitoring Institute, h. 32.
17
Anthony Georgieff (2000), World: Swedish Refort Emphasizes Role of Poverty in War. Radiao Free
Eorupe, Radiao Liberty.
18
Barbara Crosette (1998), Kofi Annan`s Astonishing Facts. New York: The New York Times.
19
http://www.kapanlagi.com, Selasa, 24 Jun 2008.
20
http://www.suaramerdeka.com, Jum`at, 08 September 2007.
21
Yusuf al-Qardawi, Dr. (2003), Musykilah al-Fakri wa Kaifa `Alajaha al-Islam. Kaherah: Maktabah
Wahbah, h. 13.
22
Muhammad al-Ghazali (2005), Al-Islam wa al-Auda`h al-Iqtisadiyyah. Mesir: Maktabah Nahdah,
hal, 17.
23
Ralph H. Salmi et al (1998), Islam and Conflict Resolution: Theories and Practices. Lanham:
University Press of America, Inc, h. 27.
24
Rasyad Hasan Khalil (t.t), Al-Sami fi Tarikh al-Tasyri` al-Islami. Kaherah: Universiti alAzhar, hh. 47-48.
25
Dr. Hasna Husen ed (2005), Kurikulum Pendidikan Damai: Perspektif Ulama Acheh 2005. Banda
Acheh: Majlis Permusyawaratan Ulama (MPU) bekerjasama dengan Nonviolence Internasional, h.
251.
26
Ibid., h. 253.
27
Ibid, h. 257.
28
Ibid.
29
Ibid.
30
Muhammad Rasyid Ridha (t.t) Tafsir al-Manar. Jil. 4. h. 164.
31
Syiekh `Atiyyah Saqr (2001), Ahsanul Kalam fi Fatawa wal Ahkam Jil. 2. Kaherah: Dar al-Ghad al`Arabi, h. 163-166.
32
Ibnu Qayyim (t.t) Bada`i al-Fawaid. Kaherah: T.p. h. 86.
33
Dewan Bahasa Dan Pustaka (2002), Kamus Dewan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, h.
1116.
34
Al-Banhasi (1986), Al-Munjid. Bayrut: Dar al-Syuruq, h. 569.
Ismail al-Badawi (1968), Ikhtisasat al-Sultah al-Tanfiziyyah fi al-Daulah al-Islamiyyah wa alNuzum al-Dusturiyah al-Mua`sarah. Kaherah: T.P, h. 235-236.
36
Ibid.
37
Muhammad Asad (1981) The Principles of State and Governmentt in Islam. Kuala Lumpur: Islamic
Book Trust, h. 54.
35
Download