Profesi Petani Rahmat Bagi Alam Semesta Berkata Imam An-Nawawi rahimahullah: Profesi yang paling baik adalah pekerjaan yang dilakukan dengan tangannya. Sesungguhnya pertanian adalah profesi terbaik karena mencakup (3 hal) merupakan (1) pekerjaan yang dilakukan dengan tangan, (2) dalam pertanian terdapat tawakkal dan (3) Pertanian memberikan manfaat yang umum bagi manusia, binatang dan burung. Tiada seorang Muslim pun yang bertani atau berladang lalu hasil pertaniannya dimakan oleh burung atau manusia ataupun binatang melainkan bagi dirinya daripada tanaman itu pahala sedekah” (Hadis riwayat Al-Bukhari) Sektor pertanian merupakan salah satu aspek penggunaan dan pemanfaatan tanah yang sangat esensial untuk di kembangkan dan digalakkan sejak awal zaman. “Kami menjadikan (di atas muka bumi ini tempat yang sesuai untuk dibuat) ladangladang kurma dan anggur. Kami pancarkan banyak mata air (di situ). Tujuannya supaya mereka boleh mendapat rezeki daripada hasil tanaman tersebut dan tanam-tanaman lain yang mereka usahakan. Adakah mereka berasa tidak perlu bersyukur?” (Yasin : 34-35). Dalam Islam, kegiatan pertanian merupakan salah satu dari pada pekerjaan yang mulia dan amat digalakkan. Kepentingannya tidak dapat diragukan lagi apabila hasil industri ini turut menyumbang kepada hasil makanan negara selain merupakan sumber pendapatan petani. Banyaknya ayat al-Quran yang menyebutkan mengenai hasil tanaman dan buahbuahan yang pelbagai menunjukkan betapa pentingnya bidang pertanian pada pandangan Islam. Antaranya Allah berfirman dalam surah Al An'aam ayat 99 yang bermaksud : “Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah-buan) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tandatanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.” Dari aspek akidah kegiatan pertanian dapat mendekatkan diri seseorang kepada Allah. Tanda kebesaran Allah dapat dilihat dengan jelas dalam proses kejadian tumbuhtumbuhan atau tanaman. Apabila seseorang itu melakukan usaha pertanian, ia akan membuatkan seseorang itu lebih memahami hakikat sebenarnya tentang konsep tawakal dan beriman kepada kekuasaan-Nya. Yang memberikan hasil tetap datangnya dari Allah SWT. Hukum Kegiatan Pertanian Dalam Islam, jika pertanian merupakan satu-satunya bidang yang seseorang boleh lakukan untuk mencari nafkah bagi diri dan keluarganya, maka hukum bertani itu adalah fardu ‘ain baginya. Sementara itu, adalah menjadi fardu kifayah pula kepada sesiapa yang mampu melakukannya demi kepentingan awam untuk mengeluarkan bekalan makanan yang cukup bagi semua. Menurut Dr. Zainal Azam Abd. Rahman seorang cendikiawan Islam dalam tulisan beliau dalam akhbar Berita Harian bertarikh 6 Januari 2005, kegiatan pertanian menjadi fardu kifayah kerana manfaatnya lebih besar daripada manfaat peribadi. Kebanyakan fuqaha' Islam berpendapat bahawa pertanian adalah lebih afdal atau utama pada pandangan Islam dan suatu gagasan berbanding lain-lain jenis perniagaan dan perancangan projek-projek “Mega-Mega” kerana manfaat pertanian lebih meluas dan menjangkau kehidupan rayat justeru kepentingannya tidak dapat dinafikan sebagai bidang yang membekalkan makanan kepada umat. Sebagaimana firman Allah dalam surah Abasa ayat 27 – 32 yang bermaksud : “Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian (27) Dan buah anggur serta sayursayuran (28) Dan zaitun serta pohon-pohon kurma (29) Dan taman-taman yang menghijau subur (30) Dan berbagai-bagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput. (31) Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternakan kamu (32).” Tentulah menjadi masalah yang besar sekiranya sebuah negara itu banyak bergantung kepada sumber luar negeri untuk mendapatkan bahan makanan. Ini kerena dibimbangi dengan adanya peperangan, bencana alam di negara lain yang menyebabkan perbekalan makanan sukar didapati. Pandangan itu tepat, jika ditinjau dari keadaan yang berlaku hari ini disebagian negara dimana batasan-batasan ekonomi, peparangan dan kemusnahan disebabkan oleh bencana alam menyebabkan kekurangan makan dan kelaparan. Hadis Nabi Muhammad saw yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bermaksud: "Andainya kiamat tiba dan pada tangan seseorang daripada kamu ada sebatang anak kurma, maka hendaklah dia tanpa berlengah-lengah lagi menanamkannya." (Hadis riwayat Imam Ahmad). Demikianlah pentingnya kegiatan pertanian hingga pada akhir zaman pun, bidang ini tidak boleh diabaikan kerana ia adalah sumber terpenting bagi kehidupan manusia sebagai penyumbang perbekalan makanan.