Wali Sembilan Gambar Wali Sembilan (Wali Songo di dalam Bahasa Jawa) Nama-nama mereka menurut kedudukan mereka di dalam gambar di atas ialah: (di barisan belakang dari kiri) (1) Sunan Gresik Maulana Malik Ibrahim (2) Sunan Ampel Raden Rahmat (3) Sunan Bonang Raden Makhdum Ibrahim (4) Sunan Kalijaga Raden Mas Said (5) Sunan Giri Raden Paku (dan di barisan hadapan dari kiri) (6) Sunan Drajad Raden Qasim (7) Sunan Kudus Raden Ja'far Sadiq (8) Sunan Muria Raden Umar Said (9) Sunan Gunungjati asy-Syarif Hidayatullah. Wali Songo adalah sekumpulan pendakwah yang telah banyak memperkembangkan ajaran-ajaran Islam di Pulau Jawa lebih kurang lima hingga enam ratus tahun dahulu. Walau bagaimanapun, mereka bukanlah para pendakwah Islam yang terawal, kerana agama Islam telah pun masuk ke Pulau Jawa semasa zaman pemerintahan Bani Umayyah lagi. Cuma agama Islam tidak tersebar luas di masa itu, sebagaimana yang telah dapat dilakukan kemudian oleh kumpulan Wali Songo ini. Nama-nama seperti Sunan Giri itu pula bukanlah nama yang sebenar, tetapi hanyalah nama gelaran. Seperti di dalam sejarah Melaka, apabila dikatakan bahawa Sultan Melaka telah mangkat, ditabal pula putera kepada raja yang mangkat itu sebagai Sultan Melaka yang baru. Maka “Sultan Melaka” itu adalah nama kedudukan atau nama pangkat, yang diberikan kepada orang yang memerintah negeri Melaka di waktu itu. Maka begitulah juga dengan nama Sunan Giri itu. Selepas Sunan Giri yang pertama (Raden Paku, yang telah dikenali juga dengan nama panggilan Prabu Satmata) meninggal dunia, dia telah diganti oleh puteranya yakni Sunan Dalem, yang juga bergelar Sunan Giri, yakni Sunan Giri II. Dan apabila Sunan Giri II ini pula meninggal dunia, dia telah diganti oleh Sunan Giri III, dan ini telah berlanjutan beberapa generasi seterusnya. Sebenarnya, tidaklah kesemua sembilan orang wali Allah ini yang pernah hidup sezaman. Wali Songo itu adalah nama satu dewan (atau sidang) pendakwah yang dianggotai oleh sembilan orang pendakwah, pada sesuatu periode. Apabila salah seorang daripada ahli-ahli dewan itu meninggal dunia, dia akan diganti pula oleh seorang ahli yang baru. Sebagai contoh, Sunan Gresik (Maulana Malik Ibrahim) adalah seorang anggota Wali Songo periode awal, dan dia tidak pernah bertemu muka secara fizikal dengan Sunan Muria (Raden Umar Said), yang merupakan seorang anggota Wali Songo periode ketiga. Dari itu, jumlah ahli-ahli yang pernah menjadi anggota sidang Wali Songo itu sebenarnya, lebih daripada sembilan orang. Cuma yang paling dikenali oleh orang ramai di Pulau Jawa pada hari ini adalah sembilan orang wali Allah yang telah disebutkan nama mereka itu. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi laman web Walisongo (di dalam Bahasa Indonesia).