Baha Zain JUHARI SAID Dari Alam Peribahasa ke Goresan Mata Pisau Juhari Said sedang membina keunikannya—sedar atau sebaliknya—gaya kehidupan harian dan karyanya memiliki sentuhan ilham, idea, dan gaya yang tersendiri. Keunikan tak bisa datang dari sekadar gaya yang berbeza daripada orang lain. Apatah lagi untuk bertahan lama. Ia harus mendasar pada pendirian, sikap individu, dan akal yang menghujah serta kegigihan berpegang teguh kepada pilihannya—tak kira apa kata orang. Dia adalah antara satu dua seniman grafis yang tetap teguh setia pada seni cetakan yang mempunyai pelbagai kesulitan—dari teknik proses menciptanya hinggalah kepada khalayaknya (ramai peminat serta pengumpul lukisan moden suka pada karya yang besarbesar dan berwarna-warni untuk digantung sebagai hiasan dinding). Kedegilannya untuk terus berkarya dengan menggores permukaan kayu dengan mata pisau, penggores atau peralatan lainnya, dan kemudian mencetaknya selama berhari-hari untuk sekeping karya sangatlah mengkagumkan. Kerja seni yang semacam ini menuntut kesabaran yang luar biasa, dan “kegilaan” seni yang berpaksikan kesenimanan yang teguh. Pada zaman orang terbawa-bawa dengan ajakan untuk menjadi global dan universal (dengan demikian dianggap kontemporari dan moden), Juhari Said memilih untuk melonjakkan akar tradisi setempat (seolah-olah melawan asakan global itu). Berbeza daripada Rusli, tokoh pelukis Indonesia, Juhari tidak bertolak daripada objek di sekitarnya, tetapi daripada idea, akal, dan persepsi. Rusli walaupun bertolak daripada objek seperti pasu bunga, perahu, perempuan, pelabuhan, dan bangunan tetapi menjelmakan gambaran yang separuh objek dan remang-remang pada latar ruang yang lapang. Rusli akhirnya memberikan inti pati daripada kehidupan yang berada di hadapannya. Juhari Said lebih memerhatikan gejolak kehidupan manusia dalam jaringan sosialnya—tradisi, adat resam, kejujuran, kemuafakatan, kepura-puraan, impian serta kekerdilannya. Jadi, dia tidak mengurung dirinya bulat-bulat di dalam studio, tetapi melihat keluar ke tengah-tengah gerak laku anggota masyarakat. Pengalaman itu diolah dan ditafsir untuk dikerah ke atas karya melalui lambang-lambang. Pada tahap ini dia memilih pendekatan yang berbeza daripada teman-teman seniman lain apabila dia kembali kepada peribahasa Melayu untuk menggambarkan lambang dan memberi judul pada lukisannya. Katak Hendak Jadi Lembu menjuduli sebuah karyanya. Ini adalah sebuah perumpamaannya yang barangkali bermaksud seekor katak kecil ingin menjadi lembu besar yang bertenaga dan diperlukan oleh manusia—sama ada sebagai pekerja atau makanan. Katak kalau terus jadi katak akan hanya bisa melompat-lompat di petak-petak lembah dan akhirnya akan menjadi mangsa ular sahaja. Dalam suatu hal cita-cita atau impian besar katak ini (seperti Mat Jenin) memang baik kerana ia membebaskan si pemimpi daripada kenyataan-kenyataan yang membelenggunya. Tetapi setiap impian atau visi harus juga realistik dengan kemungkinan-kemungkinan yang ada di hadapan. Impian yang tidak wajar dan berlebihan sekiranya diteruskan hanya akan berakhir dengan kejelekan. Maka itu, Juhari melukiskan gambar yang bukan katak dan bukan juga lembu yang tulen—sebuah gambar yang kelihatan hodoh. Kembali kepada Estetika Persuratan Melayu Mulai tahun 90-an, Juhari Said semakin berjinak dengan mutiara kata bahasa dan kesusasteraan Melayu tradisi yang berakar di bumi Nusantara ini. Dia seakan-akan memunggah semula atau reclaim khazanah genius bangsanya yang telah dibayangi oleh unsur-unsur seni dan persuratan Barat melalui pendidikan di institusi tempatan serta penyiaran media yang ada. Maka itu, Juhari Said dari tahun ke tahun bekerja di atas permukaan kayu dengan mata pisaunya lalu memberikan judul-judul berikut pada sejumlah cetakannya: Lain Padang Lain Belalang, Lain Lubuk Lain Ikannya (1997) Gunting Dalam Lipatan (1998) Pecah Buyung Labu Pun Ada (1998) Bagai Gergaji Mata Dua (1998) Ikan Di Laut Asam Di Darat, Dalam Belanga Bertemu Jua (1998) Berunding Dengan Tunggul (1998) Kayu Bongkok Kura-Kura Pun Boleh Memanjat (1998) Cakar Ayam Cakar Manusia (1998) Congkak Congak (1998) Bagai Aur Dengan Tebing (2003) Tidak semua judul ini dikutip daripada peribahasa Melayu kerana ada peribahasa atau kenyataan-kenyataan yang menyindir seperti Cakar Ayam Cakar Manusia dan Congkak Congak adalah ciptaannya sendiri. ‘Cakar Ayam’ dalam maknanya yang lazim difahami adalah sejenis kuih atau tulisan yang buruk. Dalam pengertian yang lebih luas ‘Cakar Ayam Cakar Manusia’ itu barangkali bermakna perangai orang yang negatif atau lebih positif dari ayam. Demikian pula dengan ‘Congkak Congak’ yang pada gambar cetakan itu menunjukkan lubang permainan congkak yang tidak sama, (satu baris ada enam, dan baris yang lain ada tujuh), lambang sarcasm, ejekan atau celaan terhadap penipuan dan ketidakjujuran yang semakin berleluasa dalam masyarakatnya. Sebenarnya, Juhari bebas membentuk bahasa mudah bagi judul lukisannya. Tetapi dia kembali belajar pada ungkapan bahasa, dan peribahasa Melayu yang sudah beribu tahun diturunkan daripada generasi ke generasi. Peribahasa, kiasan, ibarat dan ungkapan-ungkapan yang indah serta jitu dalam bahasa Melayu merupakan suatu kosmos yang memendam pandangan dunia, nilai-nilai dan kebijaksanaan masyarakat Melayu hasil daripada saringan kisah zaman yang telah dilalui. Seperti peradaban-peradaban bangsa lain di dunia, bangsa Melayu itu merumahkan peradabannya dalam bahasanya, dan melalui kekayaan bahasa Melayu itulah juga ia memperkembangkan kehidupan akal budi serta identitinya. Bahasa dan persuratan Melayu menjadi unsur yang terpenting untuk membina Islamnya, ilmunya, jati dirinya, dan masa depannya sama seperti bangsa-bangsa lain. Dari persuratan, (peribahasa dan pantun Melayu), kita dapat membongkar daya cipta dan genius yang mengakar di bumi ini. Betapa cerdik, sensitif, dan kreatifnya seniman-seniman kita menanggapi pengalaman dunia dan mengungkapkannya untuk dihayati oleh manusia lain melalui lambang, metafora dan seni bahasa yang imaginatif, asli serta kaya makna. Seniman dan Alam Semula Jadi Sulit untuk memahami kalau ada seniman yang tidak menyintai alam semula jadi— pohon, bunga, buah, dahan, daun, gunung, air, sungai, gerimis, burung, dan haiwan. Juhari Said seperti ramai seniman lain sangat akrab dengan alam—di situ dia menimba idea, mencipta dan malahan memanfaatkan bahagian-bahagian daripada alam itu untuk kelangsungan hidupnya. Dunia Melayu tak mungkin terpisah daripada alam semula jadi. Ia adalah sebahagian daripada keseluruhan kosmosnya—alam langit, alam bumi, alam ragawi, alam rohani, dan alam akalnya—yang berpaksikan kepada kepercayaan terhadap Tuhan yang mencipta segala-galanya. Kreativiti seniman Melayu itu mahu tidak mahu memancarkan bukan sahaja apresiasi dan ketakjuban terhadap alam, tetapi menggendong bersamanya kesedaran terhadap masyarakat, akhlak dan etika yang mewujudkan keharmonian hidup berkomuniti. Justeru itu, estetika persuratan Melayu itu selalu melihat kepada alam untuk mencipta lambang dan metafora bagi menggambarkan kenyataankenyataan sosial dan kemanusiaan yang universal. Juhari Said menyambung terus tradisi kesenian Melayu tersebut bukan sahaja dari segi penggunaan peribahasa tetapi juga semangat peribahasa itu sendiri yang selalu merujuk kepada fenomena alam apabila menyentuh tanggungjawab sosial. Dari segi yang lain dia melakukan inovasi terhadap tradisi dengan mengangkat peribahasa ke dalam suatu medium seni rupa yang kontemporari di tengah-tengah kehidupan seniman seni rupa yang minoriti di negara kita. Selain daripada peribahasa, pantun Melayu adalah satu lagi ciptaan besar kesenian asli Melayu yang setanding dengan puisi dunia yang lain. Seperti juga peribahasa ia mengungkapkan jiwa raga, nilai-nilai sosial-budaya, pride dan prejudice, kecemerlangan fikiran serta akal budi bangsa Melayu. Dalam bentuknya yang padat, berimbangan suku kata antara baris-baris, dan berirama serta berima di tengah atau di hujung baris, pantun menyampaikan maksudnya setelah membayangkannya melalui citra alam yang indah- indah. Sensibiliti estetik Juhari Said menangkap kekayaan rahsia pantun ini untuk mengungkapkan kenyataan artistiknya: Seni Bonda seni tradisi Bagai kembang harum di taman Kalau nilai bangsa terus dilacuri Masihkah kita mengaku seniman. Seni itu runtunan jiwa Ledakan seniman curahan rasa Kemana agaknya haluan kita Sejak dulu menggamit binasa. (Grafika, 1996, hal. 18) Kiranya pantun di atas (yang dikarang oleh Juhari) memadailah merumuskan kepada khalayaknya tentang pendirian keseniannya. Kerja keseniannya bukan sekadar digesa-gesa oleh perasaan tetapi ada segi fikirannya, malahan terdapat yang cukup cereberal. Studio kerja dan rumah kediamannya sendiri berada di desa pedalaman yang terpencil—sering diziarahi oleh ular, babi hutan, monyet, biawak, dan tentu sekali burung—yang diberinya alamat ‘Akal di Ulu’. Biasanya yang diam di hulu-hulu itu rakyat yang konvensional, tradisional, pertanian, dan pedesaan. Tetapi sebagai pelukis kreatif dan terdidik secara profesional kehadirannya di dusun terpencil di Hulu Langat agak tidak masuk akal dan anakronistik. Semangatnya yang selalu mencari-cari pengalaman segar, membuka sempadan baru, dan berani menghadapi risiko membawanya ke tempat kediaman terpencil yang romantik dan aneh. Inilah sifat jiwa orang mandiri yang gelisah—menginginkan kebebasan untuk bereksperimen dan mengucapkan kewujudannya. Maka itu dia memilih untuk menjadi seniman.