Perutusan Paus sempena Musim Lent 2015: "Teguhkan hati kamu" “Musim Lent adalah waktu pembaharuan bagi seluruh Gereja, bagi setiap jemaat dan setiap orang percaya. Lebih dari segalanya, ia adalah ‘waktu rahmat’. KasihNya tidak mengizinkanNya untuk bersikap tidak ambil peduli tentang apa yang berlaku kepada kita. Biasanya, apabila kita sihat dan selesa, kita lupa tentang orang lain (sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Allah, Bapa kita): kita tidak mengambil berat tentang masalah mereka, penderitaan mereka dan ketidakadilan yang mereka alami. Hati kita menjadi dingin. Sesungguhnya salah satu cabaran paling segera yang saya ingin kemukakan dalam Perutusan ini adalah globalisasi sikap tidak ambil peduli. Allah ambil peduli tentang dunia kita; Dia begitu menyayanginya sehinggakan Allah memberikan PuteraNya demi keselamatan kita. Dalam Inkarnasi, dalam kehidupan, kewafatan dan kebangkitan Putera Allah, pagar antara Allah dan manusia, antara syurga dan bumi, dibuka buat selama-lamanya bagi semua. Gereja umpama tangan yang menahan pagar ini agar sentiasa terbuka, berkat pewartaan Firman Allah oleh Gereja, perayaan sakramen-sakramen serta kesaksian Gereja kepada kepercayaan kita yang hidup menerusi kasih. Namun dunia cenderung menyisihkan diri dan menutup pintu yang digunakan oleh Allah untuk datang ke dalam dunia dan untuk dunia datang kepadaNya. Justeru tangan ini, iaitu Gereja, tidak boleh terkejut jika ia ditolak, dihimpit dan dilukai. Oleh itu umat Allah memerlukan pembaharuan dalaman ini, agar kita tidak menjadi orang yang bersikap tidak ambil peduli dan menyisihkan diri. Untuk melanjutkan pembaharuan ini, saya ingin mencadangkan tiga petikan dari AlKitab untuk renungan kita. 1. ‘Jika satu anggota menderita, semua sama-sama menderita’ – Gereja Umat Kristian adalah mereka yang membenarkan Allah untuk menyelubungi mereka dengan kebaikan dan belaskasihan. Ini jelas kelihatan dalam liturgi Khamis Suci, dengan upacara mencuci kaki. Petrus tidak mahu Yesus mencuci kaki beliau tetapi beliau akhirnya menyedari bahawa Yesus tidak mahu menjadi sekadar contoh bagi cara kita untuk mencuci kaki satu sama lain. Hanya mereka yang terlebih dahulu membenarkan Yesus untuk mencuci kaki mereka dapat kemudian memberikan khidmat ini kepada orang lain. Hanya mereka sahaja yang ada ‘sebahagian’ denganNya dan oleh yang demikian dapat melayani orang lain. Lent adalah waktu yang baik untuk membenarkan Kristus melayani kita supaya kita pula dapat menjadi lebih sepertiNya. Ini berlaku setiap kali kita mendengar Firman Allah dan menerima sakramen-sakramen, terutamanya Ekaristi. Di sana kita menjadi apa yang kita TEGUHKAN HATI KAMU 1 terima: Tubuh Kristus. Jika satu bahagian menderita, semua bahagian menderita bersamanya; jika satu bahagian disanjung, semua bahagian sama-sama merasai kegembiraannya. 2. ‘Di manakah saudara kamu?’ – Paroki dan Jemaat Adakah struktur eklesia ini membolehkan kita untuk mengalami keadaan di mana kita adalah sebahagian daripada satu tubuh? Tubuh yang mengiktiraf dan mengambil berat tentang anggota-anggotanya yang paling lemah, paling daif dan paling tidak signifikan? Atau adakah kita mencari pelindungan dalam kasih sejagat yang akan memeluk seluruh dunia tetapi gagal melihat Lazarus yang duduk di sebalik pintu kita yang tertutup? Untuk menerima apa yang Allah berikan kepada kita dan membuahkan hasil yang melimpah daripadanya, kita perlu pergi lebih jauh lagi dari sempadan Gereja yang kelihatan dalam dua cara. Cara pertama, dengan menyatukan diri kita sendiri dalam doa dengan Gereja di syurga. Orang-orang kudus atau santo-santa sudah dengan gembira merenungkan hakikat bahawa, menerusi kewafatan dan kebangkitan Yesus, mereka sudah menang buat selama-lamanya ke atas sikap tidak ambil peduli, kekerasan hati serta kebencian. Sehingga kemenangan kasih ini menembusi seluruh dunia, santo-santa akan terus-menerus mengiringi kita dalam penziarahan kita. Cara kedua, setiap jemaat Kristian dipanggil untuk keluar dari lingkungan diri dan melibatkan diri dalam kehidupan masyarakat yang dianggotai mereka, terutamanya dengan golongan miskin dan mereka yang menjauhkan diri. Maka itu di setiap kawasan kejiranan kita, kita mesti melihat saudara atau saudari yang diselamatkan oleh Kristus menerusi kewafatan dan kebangkitanNya. Apa yang kita sendiri telah terima, kita telah terima untuk mereka juga. 3. ‘Teguhkan hati kamu!’ – Individu Kristian Sebagai individu juga, kita digoda oleh sikap tidak ambil peduli. Dibanjiri dengan laporan berita dan gambar penderitaan manusia yang meresahkan, kita sering merasakan bahawa kita sama sekali tidak berdaya untuk memberikan bantuan. Apakah yang kita dapat lakukan untuk mengelak diri daripada terperangkap di dalam pusaran rasa sedih dan rasa tidak berdaya ini? Pertama, kita dapat berdoa dalam kesatuan dengan Gereja di bumi dan di syurga. Janganlah kita memandang rendah kuasa suara begitu banyak yang bersatu dalam doa! Tujuan inisiatif ‘24 Jam untuk Tuhan’, yang saya harap akan dilaksanakan pada 13-14 Mac di seluruh Gereja, juga pada peringkat keuskupan, adalah untuk menjadi tanda bagi keperluan untuk doa ini. Kedua, kita dapat membantu dengan amal kebajikan, dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang dekat mahupun jauh menerusi banyak organisasi kebajikan Gereja. 2 TEGUHKAN HATI KAMU Ketiga, penderitaan orang lain adalah satu seruan untuk berubah, kerana keperluan mereka mengingatkan saya tentang ketidakpastian dalam kehidupan saya sendiri dan kebergantungan saya kepada Allah dan saudara-saudari saya. Kita juga dapat melawan godaan fikiran jahat bahawa kita dapat menyelamatkan dunia dan diri sendiri dengan usaha kita sendiri. Saya ingin mempelawa semua orang untuk hidup pada Musim Lent ini sebagai satu peluang untuk melibatkan diri dalam apa yang disebut oleh Benedict XVI sebagai pembentukan hati. Hati yang berbelaskasihan bukan bermakna hati yang lemah. Sesiapa yang ingin berbelaskasihan mesti memiliki hati yang kuat dan teguh, tertutup kepada penggoda tetapi terbuka kepada Allah. Maka itu pada Musim Lent ini, saudara-saudari, marilah semua kita memohon kepada Tuhan: ‘Fac cor nostrum secundum cor tuum’: Jadikanlah hati kami seperti hatiMu (Litani Hati Kudus Yesus). Dengan cara ini, kita akan menerima hati yang teguh dan berbelaskasihan, prihatin dan bermurah hati, hati yang tidak tertutup, tidak bersikap tidak ambil peduli atau menjadi mangsa kepada globalisasi sikap tidak ambil peduli. Ia adalah harapan dan doa saya agar Musim Lent ini ternyata membuahkan hasil rohani bagi setiap orang percaya dan setiap jemaat eklesia. Saya meminta semua anda untuk berdoa bagi saya. Semoga Tuhan memberkati anda dan Bonda Kita memelihara anda.” TEGUHKAN HATI KAMU 3