asas penciptaan alam semesta agama hindu dan agama buddha

advertisement
ASAS PENCIPTAAN ALAM SEMESTA AGAMA HINDU DAN AGAMA BUDDHA:
KAJIAN PERBANDINGAN
Norakmal Azraf Bin Awaluddin
Jabatan Usuluddin dan Falsafah
Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia
[email protected]
Indriaty Binti Ismail
Jabatan Usuluddin dan Falsafah
Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia
[email protected]
Abstrak
Tulisan ini membincangkan mengenai asas penciptaan dalam agama Hindu dan agama Buddha. Secara
umumnya asas penciptaan alam semesta yang dipercayai oleh agama Hindu berlandaskan kepada
konsep ketuhanan sehinggakan Tuhan menyerapi setiap unsur alam semesta dan alam semesta adalah
Tuhan (panteisme) dan kepercayaan kekuasaan kepada Tuhan yang lain (henoteisme). agama Buddha
meletakkan asas penciptaan kepada konsep sebab dan akibat (patticasamupadda) sehingga menafikan
kuasa ketuhanan dalam penciptaan alam semesta (ateisme). Objektif pertama tulisan ini adalah untuk
menyingkap secara teliti asas penciptaan alam semesta agama Hindu dan agama Buddha. Objektif kedua
adalah untuk membandingkan asas penciptaan yang dikemukakan oleh kedua-dua agama ini. Bagi
menjawab segala objektif ini, penulis menggunakan metodologi pengkajian perpustakaan secara
menyeluruh dengan menggunakan sumber autoriti dan sumber sekunder agama-agama yang
dinyatakan.
Kata Kunci: Asas Penciptaan, Brahma, Maya dan Sebab akibat (patticasamupadda)
1. Pendahuluan
Menurut Brian (2008) doktrin atau teori penciptaan alam semesta mempunyai persamaan antara
agama-agama seperti Islam, Kristian dan Yahudi. Sementara agama-agama lain seperti Hindu dan
Buddha wujud jurang perbezaan yang menjadi hak eksklusif agama-agama ini mengikut sudut pandang
dan kepercayaan mengenai konsep ketuhanan itu sendiri. Justeru, terdapatnya formula penciptaan yang
berasaskan konsep creation ex nihilo, nihilo dan sebagainya yang bergantung pada asas kepercayaan
utama sesebuah agama iaitu ketuhanan. Justeru, tulisan ini menyingkap berkaitan dengan asas
penciptaan alam semesta dalam agama Hindu dan Buddha untuk melihat konsep asas dan perbezaan
yang terkandung dalam kedua-dua agama ini.
2. Asas Penciptaan Agama Hindu
Asas penciptaan berpaksikan ketuhanan yang bertindak sebagai Pencipta alam semesta. Terdapat tiga
asas ketuhanan iaitu Tuhan Pencipta (Brahma), Tuhan Penjaga (Vishnu) dan Tuhan Pemusnah (Shiva)
yang diberi nama (Trimurti). Sesuatu yang menjadi perbezaan dalam konsep ketuhanan agama Hindu
Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013,
Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net
1369
adalah Trimurti dilimpahkan (emanate) oleh Tuhan yang Agung, Kekal dan sifatnya tidak aktif (saguna)
iaitu Brahman. Menurut Durga (2004) Tuhan dijadikan oleh Tuhan yang lebih Agung. Menjadi kekeliruan
masyarakat di luar agama Hindu bahawa agama Hindu mempercayai kepada kepelbagaian dalam
ketuhanannya (politeisme) sehingga menjangkau jumlahnya 3 juta Tuhan. Namun, secara pemahaman
sebenar yang dianuti oleh agama Hindu itu sendiri hanya ada satu kekuasaan yang mutlak dan ia adalah
Brahman dan setiap daripada kewujudan sama ada Tuhan, dewa-dewa dan makhluk adalah berpunca
daripada Brahman. Penulisan ini, hanya menumpukan kepada Tuhan Brahma kerana penganut agama
Hindu dan pengkaji-pengkaji agama Hindu menganggapnya sebagai Tuhan Pencipta.
2.1 Brahma
Menurut kitab Rig Veda, Brahma membawa maksud pemujaan, ritual penyembahan, pengetahuan yang
suci dan formula ajaib. Seterusnya dalam kitab Upanishad, Brahma ditulis dengan perkataan Brahmavat
iaitu yang memiliki formula ajaib dan brahma-varcasa iaitu pemilik yang berkuasa memiliki pengetahuan
yang mulia. Perkataan Brahma ini juga sangat signifikan dengan kuasa yang terdapat di dalamnya
pujaan, doa, formula suci dan juga pengetahuan suci. Apa sekalipun maksud yang terdapat dalam karyakarya agama Hindu, ia cenderung untuk menjurus kepada pemberian sifat Brahma sebagai asas alam
semesta iaitu kuasa yang menciptakan dan menjaga alam semesta (Hume, 1968: 15).
Asas penciptaan mempunyai dua paksi teori iaitu paksi penciptaan Tuhan sebagai Pencipta dan
paksi penciptaan alam semesta yang diciptakan oleh Brahma. Paksi pertama adalah penciptaan Brahma
oleh Tuhan Brahman. Penciptaan Brahma lebih bersifat mitos, lagenda, versi yang pelbagai dan tiada
keselarian mengenai proses penciptaan-Nya. Kebanyakannya menceritakan Brahman mengalami
kesunyian kerana sekelilingnya diselubungi kosong (asat). Justeru Brahman telah melimpahkan prinsip
kreatif (Ishavara) atau Brahma daripada kosmik telur (egg cosmic). Digambarkan dalam telur tersebut,
Brahma berkeadaan duduk (bermeditasi) selama 1 tahun ketuhanan (bersamaan 3110.4 bilion tahun
manusia). Bermulanya penciptaan Brahma, maka bermula juga segala aktiviti penciptaan alam semesta,
Dia adalah Sebab Efisien kepada semua penghasilan segala kewujudan di alam semesta (Nrusingh, 1991:
272-274). Dalam kitab Bhagavatam:
Siapa yang mengatakan Hari (Vishnu), Hara (Shiva) dan Brahma iaitu si Penjaga, si Pemusnah
dan si Pencipta kepada seluruh alam semesta tidak mengetahui apa-apa? Ketiga-tiga ini
diciptakan oleh Tuhan Brahman: mereka bekerja mengikut apa yang telah
dipertanggungjawabkan (buku 3, bab 5, 4: 131).
Paksi pertama dalam teori kejadian alam semesta adalah penceritaan mengenai penciptaan
Tuhan yang menjadikan teori kejadian alam agama ini bersifat mitos dan memberi rentetan kisah dan
pengaruh kepada paksi kedua iaitu paksi penciptaan alam semesta yang diciptakan oleh Brahma yang
bersifat logik, falsafah dan mitos. Pada awalnya kesemua kewujudan alam semesta dilahirkan sebagai
Purusha iaitu prinsip kosmik yang bersifat jiwa, halus dan tiada bentuk fizikal (idea). Seterusnya Brahma
sekali lagi bermeditasi di dalam telur kosmik selama beberapa tahun ketuhanan, lalu telah
membahagikan telur ini kepada dua bahagian iaitu kerajaan langit dan kerajaan bumi yang mana telah
diciptakan langit dunia sebagai pemisah kedua-dua kerajaan ini. Proses kejadian Tuhan adalah asas teori
kejadian alam agama Hindu yang seterusnya telah menciptakan penciptaan awal alam semesta
mengikut kehendak Brahma (Shivendra 2008). Dalam kitab Brihad-Aranyaka Upanishad (1.4.6):
Kemudian Dia (Brahma) menggosok dan daripada mulutnya terjadi percikan api (yoni) dan
gosokan di tangannya tadi menjadikan api (agni). Lalu apa-apa yang bersifat kelembapan suhu,
Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013,
Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net
1370
dia menjadikan air mani dan itu adalah Soma iaitu makanan dan pemakan makanan. Oleh yang
demikian, Brahma adalah pencipta yang berkuasa dengan menciptakan dewa-dewa,
pembantunya. Sesungguhnya Dia mengetahui apa yang perlu diciptakan dalam tugasnya sebagai
Pencipta alam semesta (Anandatirtha, 1916: 70)
Seterusnya, dalam kitab yang sama (3.7.3), menyifatkan Brahma bukan sahaja Tuhan yang
menjadikan tetapi Dia juga entiti yang dianggap Pengawal Dalaman (Inner Controller) atau Jiva. Sifat ini
adalah sinonim kepada sifat Brahma yang akan menyerapi setiap elemen alam semesta apabila segalagalanya sudah lengkap diciptakan. Brahma adalah Pengawal Dalaman setiap makhluk di alam semesta,
iaitu:
Dia yang menetap di dalam tanah ini, dia bukan berasal dari unsur tanah, siapa yang tidak
mengenal dia, siapa yang mengawal dan mengatur tingkah laku yang berada dalam unsur tanah
ini. Ia adalah Jiwa kamu, Pengawal Dalaman dan Dia adalah kekal abadi (Anandatirtha, 1916:
115)
Kepercayaan Brahma sebagai Tuhan Pencipta alam semesta, menggambarkan agama Hindu
adalah agama teistik. Brahma memiliki sifat dan zat ketuhanan yang sempurna dan berkeupayaan untuk
menyerapi elemen dan unsur alam semesta seperti pokok, manusia dan lain-lain makhluk untuk
menjaga dan menjalankan alam semesta ini yang bertindak sebagai Pengawal Dalaman atau Jiva. Justeru
itu kefahaman panteisme merupakan sebahagian dari sifat dan zat Brahma. Sebagaimana Brahman telah
memindahkan kerahmatan dan kuasa penciptaan kepada Brahma, begitu juga Brahma menyerahkan
tanggungjawab untuk menjalankan dan menggerakkan penciptaan alam semesta kepada satu kuasa
ketuhanan yang lain dan sebahagian daripada zat Brahma itu sendiri iaitu Maya.
2.2 Maya
Peranan Maya dalam asas teori ini kerana anggapan agama Hindu terhadap Brahma hanya sebagai
Pencetus alam semesta yang memiliki kehendak. Analoginya seorang pembuat periuk tanah. Peranan
Brahma hanya sebagai minda dan kehendak tukang pembuat yang mahu menghasilkan periuk tanah,
manakala peranan Maya adalah sebagai si pembuat belanga tersebut yang melalui kudrat empat
keratnya menggelek tanah sehingga menjadi periuk tanah. Dalam Kitab Bhagavad Gita menceritakan
Maya sebagai:
Untuk semua ini adalah kuasa kreatif, Aku yang menghasilkan semua juzuk alam semesta,
ketuhanan dan ia sesuatu yang sukar untuk dijangkau sama sekali. Sesiapa yang patut
mempercayai Aku seorang, seharusnya diletakkan kepada kuasa aku yang luar biasa (Maya)
(Zaehner, 1969: 14).
Maya merupakan kuasa penggerak alam semesta yang wujud dalam bentuk halus (subtle form),
tidak berbentuk (formless) tetapi mutlak. Maya memiliki persamaan dengan Brahma iaitu abadi dan
tidak berbentuk, namun Maya dikategorikan sebagai entiti yang tiada kehidupan (lifeless). Maya hanya
sekadar kuasa dan tenaga yang bertindak untuk menggerakkan penciptaan alam semesta, tiada jasad
dan tiada makan. Brahma mempunyai kehendak dan pemikiran yang mahu menjadikan alam semesta.
Maya adalah tenaga yang menjadikan dan merealisasikan proses kejadian alam semesta. Ia tidak
tertakluk kepada proses penciptaan sahaja, bahkan meliputi aktiviti penjagaan dan kemusnahan alam
semesta. Setiap makhluk sama ada yang mempunyai kehendak atau tidak, akan tertakluk kepada
batasan ruang dan masa. Jiwa (roh) sifatnya abadi walaupun jasad menjadi rosak. Kehidupan adalah
Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013,
Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net
1371
hasil daripada perasaan mengenai kewujudan ‘saya’ (Tuhan). Kehidupan akan memberikan perasaan
mengenai ‘saya’ (Tuhan), perasaan ini tiada wujud dalam Maya dan disebabkan itu Maya dianggap
lifeless (Swami Prakashanand, 2001: 445).
Peranan Maya mula wujud sejurus selepas Brahma berkehendak untuk menjadikan. Permulaan
penciptaan alam semesta digelar sebagai penciptaan atau emanasi (srsti) dan kemuncak kepada alam
semesta adalah kehancuran (pralaya). Penciptaan dan kehancuran alam semesta adalah hasil tuntutan
tugas bagi Maya. Walaupun kekuasaannya boleh disalah ertikan sebagai Tuhan, tetapi Maya tidak
dianggap sebagai Tuhan kerana ia sekadar sebahagian sifat dan zat Brahma serta Maya hanya sekadar
tenaga yang menggerakkan alam semesta. Walaupun proses menggerakkan alam semesta ini terletak di
bawah kekuasaan Maya namun segala perjalanan dan pergerakan alam semesta masih tertakluk kepada
kehendak Brahma dan Maya tidak boleh membuat sesuatu luar dari kehendak Brahma. Sebagaimana
yang telah dijelaskan, sesuatu yang tiada minda dan kehidupan seperti Maya adalah entiti yang tidak
mungkin dan tidak boleh untuk merosakkan sistem ini (Nrusingh, 1991: 281).
Maya tidak akan wujud tanpa kualiti di dalamnya. Kualiti atau sifat yang dimaksudkan adalah
sattva, raja dan tama yang digelar sebagai rantaian Guna (Zaehner, 1969: 15). Agama Hindu
mempercayai tiada makhluk atau kewujudan yang akan dapat terkeluar daripada interaksi hubungan
sattva, tama dan raja. Hubungan ketiga-tiga kualiti ini seperti positif (sattva), negatif (tama) dan neutral
(raja), lelaki, perempuan dan khunsa, hidup, mati dan kelahiran semula. Ketiga- tiga kualiti ini tersemat
dan seimbang di dalam Maya dan menyeimbangkan hubungan yang berlaku dalam alam semesta
(Swami Prakashanand, 2001: 148). Dalam Kitab Bhagavatam menyatakan berkenaan peranan guna,
iaitu:
Narada!, kamu lihat ketiga-tiga kualiti ini tiada akan bergerak secara sendirian dan tiada yang
mampu membebaskan diri dari ketiga-tiga kualiti ini. Mereka akan kekal berdua (sattva dan
tama) atau bertiga. Sattva tidak akan pernah wujud tanpa raja; raja tidak akan wujud tanpa
tama; dan kedua-dua kualiti tidak akan wujud tanpa tama. Begitu juga tama tidak akan wujud
tanpa sattva dan raja. Ketiga-tiga kualiti ini akan kekal bertindak secara bersama-sama (buku
tiga, bab 8, 42-44: 149)
3. Asas Penciptaan Agama Buddha
Memahami asas penciptaan agama Buddha, perlu terlebih dahulu memahami pandangan umum
(worldview) agama Buddha mengenai alam semesta. Ini akan memberi gambaran mengenai persoalan
mengapa tiada campur tangan ketuhanan yang diserlahkan dalam teori kejadian alam semesta agama
Buddha? (Lynch, 2010: 1). Sebagaimana yang tercatat dalam kitab Dhammapada alam dunia dianggap
sebagai lokavaggo. Keterangan adalah seperti berikut:
Mari, lihat dunia ini ibarat kereta kuda diraja yang dicat cantik dan indah,
Hanya orang yang bodoh sahaja yang akan tenggelam dengan itu tetapi,
bagi yang bijak tiada apa-apa sumbangan dari kereta kuda itu (dunia).
(Radhakrishnan, 1968: 118)
Agama Buddha menegaskan manusia yang leka dengan nikmat dunia adalah manusia yang
paling bodoh kerana tenggelam dengan nikmat dan urusan pengkajian dunia. Justeru, prinsip agama
Buddha memandang alam semesta adalah sesuatu yang biasa, sekadar tempat tinggal dan sekadar
kereta kuda, telah menjadikan agama Buddha tidak gemar untuk menyingkap perbincangan mengenai
Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013,
Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net
1372
teori kejadian alam. Bagi agama ini, untuk apa mengkaji sesuatu yang tidak membawa faedah kepada
manusia? Crutcher (2000) melihat agama Buddha mempunyai sistem pengkajian alam semesta dalam
sudut pandangan yang berlainan. Baginya, agama Buddha telah mencapai satu tahap pengetahuan di
mana alam semesta dilihat terlalu luas dan tidak meninggalkan apa-apa untuk dikaji, lalu mengambil
pendekatan tidak perlu mengkaji alam semesta. Justeru itu, matlamat agama Buddha lebih menumpu
kepada melakukan reformasi kuasa yang menggerakkan alam semesta. Dimaksudkan dengan
mereformasi kuasa yang menggerakkan alam semesta adalah Prinsip Utama yang dipegang agama
Buddha tidak meletakkan Tuhan sebagai kuasa penggerak tetapi sebab dan akibat.
3.1 Sebab Dan Akibat (Patticasamupadda)
Mahathera (1971) konsep sebab dan akibat (patticasamupadda) agama Buddha telah menjadikan versi
penciptaan alam semesta agama Buddha adalah versi yang unik. Bagi agama Buddha, tiada permulaan
kepada penciptaan alam semesta, tiada doktrin yang disebut sebagai Sebab Utama atau Tuhan yang
bertindak memberikan kekuasaan-Nya untuk menghasilkan penciptaan alam semesta. Setiap objek dan
fenomena yang berlaku adalah hasil daripada kesan hubungan objek dan fenomena lain (simbiosis
antara objek). Sebagai contoh, sebatang pokok tumbuh dengan adanya tanah, air dan udara yang mana
kesemua ini adalah rantaian luar yang membantu proses pertumbuhan pokok tersebut. Proses
perangkaian yang berlaku dalam penciptaan alam semesta ini akan sentiasa wujud dan kekal.
Sebab dan akibat (patticasamupadda) adalah sebuah magnum opus kepada agama Buddha.
Justeru, konsep ini adalah asas yang menjadi pegangan kepada agama Buddha dalam menjelaskan asas
teori kejadian alam semesta. Di samping itu, konsep sebab dan akibat (patticasamupadda) turut
dibincangkan dalam ruang lingkup dharma dan ia sesuai dengan imej agama Buddha yang gemar untuk
mengaitkan semua doktrin kepercayaannya dengan dharma. Secara asas formula sebab dan akibat
(patticasamupadda) adalah:
Apabila ini wujud, wujud juga yang lain kerana ia berasal daripada yang pertama dan
menumbuhkan yang lain. Apabila ini tidak wujud, tiada juga wujud yang lain kerana berhentinya
ia, berhenti juga yang lain (Ames, 2003: 287).
Konsep sebab dan akibat (patticasamupadda) adalah prinsip melahirkan sesuatu yang lain.
Dengan adanya sebab pertama, melahirkan akibat yang pertama, tanpa sebab yang pertama tidak
mungkin akibat yang pertama muncul. Di samping, prinsip ini menggambarkan semua fenomena yang
berlaku di alam semesta saling bergantungan (karanahetu), telah ditetapkan bahawa sesuatu fenomena
tidak akan boleh bergerak apatah lagi untuk muncul secara keseorangan (singularity) tanpa ada
ketetapan lain yang menyokong ia muncul. Fenomena hanya berlaku kerana adanya kombinasi
ketetapan yang menyokong kepada kemunculan sesuatu fenomena tersebut. Juga sebaliknya, jika
kombinasi ketetapan ini sudah tidak lagi mampu bertahan, akan menghentikan fenomena tersebut.
Patticasamupadda adalah cara yang logik untuk memahami alam semesta kerana selari dengan
kehendak sains yang mana fenomena yang berlaku adalah hasil hubungan yang konsisten antara semua
unsur alam semesta (Dhammanada, 2002: 158).
Selain pengaruh luar yang memainkan peranan dalam sebab dan akibat, pengaruh idea atau
dalaman juga memainkan peranan dalam proses sebab dan akibat. Ini dijelaskan oleh Takakusu (1947)
sebagai dharma-dhatu iaitu merujuk kepada alam prinsip atau elemen kepada elemen (dalam falsafah
Plato disebut sebagai alam idea). Dharma-dhatu merupakan kemuncak kepada semua teori sebab dan
akibat kerana agama Buddha tidak sama sebagaimana sains Barat yang hanya meletakkan sebab berasal
Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013,
Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net
1373
dari tindakan fizikal sahaja. Agama Buddha mempercayai sebab dan tindakan juga berasal daripada
simpanan idea, tidak hanya berasal dari tindakan sesuatu yang bersifat fizikal. Bermakna agama Buddha
meyakini bahawa unsur dalaman juga mempengaruhi konsep sebab dan akibat. Dharma-dhatu menjadi
penyebab kepada semua kewujudan fenomena alam semesta atau boleh juga dikatakan sebagai
penyebab kepada segala pengaruh tindakan yang dilakukan oleh makhluk dan kewujudan.
Berdasarkan kepada beberapa pendapat di atas, menunjukkan konsep sebab dan akibat
(patticasamupadda) terjelma melalui kualiti luaran dan juga kualiti dalaman sesuatu fenomena. Kualiti
luaran adalah tanah liat, kayu, roda, tali, air dan pekerja yang mana kesemua kualiti luaran ini akan
bekerjasama untuk menghasilkan sebuah belanga. Manakala kualiti dalaman digelar sebagai idea sebab
dan akibat iaitu kebodohan, kehendak, tujuan kepada sebab dan akibat tersebut dan pendorong kepada
sesuatu penciptaan mahu dijadikan. Kualiti dalaman adalah faktor pendorong kepada faktor luaran
untuk menjadikan sesuatu fenomena. Ibarat kualiti dalaman ini adalah pemikiran kepada tukang
pembuat belanga yang memikirkan cara bagaimana menghasilkan belanga (Smith, 1969: 287).
Sebagaimana yang telah penulis tekankan di awal penulisan ini, agama Buddha akan
mengaitkannya dengan etika manusia yang menjadi asas kepada proses sebab dan akibat berlaku. Jika
pengaruh luar dikaitkan dengan fizikal luaran alam semesta yang bekerjasama menggerakkan alam
semesta, pengaruh dalaman atau dharma-dhatu adalah pengaruh sikap dan etika makhluk yang sudah
menjadi buruk dan kebodohan yang menjadi asas berlakunya sebab dan akibat. Oleh sebab itu,
kepentingan konsep sebab dan akibat (patticasamupadda) dikaitkan dengan dharma yang berkaitan
dengan etika dan moral. sebagaimana yang dikatakan oleh Sakyamuni:
Wahai sami, sesiapa yang memahami konsep patticasamupadda akan memahami dhamma,
orang yang memahami dhamma akan dapat memahami patticasamupadda (Gnanarama, 2000:
94).
Petikan di atas yang saling menyamakan konsep patticasamupadda dan dharma kerana keduaduanya adalah doktrin penting. Sebagai contoh konsep Empat Kebenaran Mulia adalah berkaitan
dengan penderitaan, sebab penderitaan, menghentikan penderitaan dan jalan yang membawa kepada
kebebasan dari penderitaan. Manakala penderitaan, kesengsaraan dan sebagainya adalah pengaruh
dalaman yang memainkan peranan dalam proses sebab dan akibat (patticasamupadda) (Gnanarama
2000: 94). Hubungan antara dharma, sebab dan akibat (patticasamupadda) seperti air dan empangan.
Air yang melalui empangan mempunyai potensi untuk menghasilkan tenaga elektrik, proses pengaliran
air telah menghilangkan potensinya sebagai air kepada agen penyalur aliran elektrik. Begitujuga dengan
kewujudan dharma yang mempunyai pelbagai potensi bergantung kepada keadaan (Akira 1990: 179).
Menjelaskan sebab dan akibat (patticasamupadda), Akira (1990: 179-181) telah membuat enam
klasifikasi potensi sebab dan akibat, iaitu:
i.
ii.
Karanahetu adalah penyebab yang menjadi sebab kewujudan yang lain iaitu merujuk kepada
sebab yang penting. Dengan kata lain, semua dharma membantu dalam menghasilkan dharma
yang lain.
Sahabhuhetu atau penyebab serentak adalah dharma yang berkhidmat secara serentak menjadi
sebab dan akibat, bergantungan dan bergabung antara satu dengan yang lain. Seperti tanah, air,
api dan angin secara serentaknya muncul dalam molekul dan menghasilkan tenaga atau
fenomena.
Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013,
Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net
1374
iii.
iv.
v.
vi.
Sabhagahetu atau penyebab yang sama. Biji benih padi hanya akan menghasilkan tunas padi
dan tidak mungkin menghasilkan tunas durian.
Samprayuktakahetu atau penyebab yang seiring (concomitant cuase) adalah deskriptif
hubungan yang seiring antara minda (citta) dan fakulti mental (caitasika) atau otak. Katogeri ini
dilihat sebagai fasiliti dan pengguna fasiliti mesti sama untuk menghasilkan natijah yang
harmoni. Kereta tugasnya adalah membawa pemandu, tetapi pemandu mahu menggunakan
kereta untuk mengadun kek. Maka wujud kesan yang bercelaru dan tidak-seimbang.
Sarvatragahetu iaitu alam semesta tidak semestinya bersifat harmoni dan seimbang, kuasa
kekacauan juga boleh menjana sebab dan akibat, tetapi dalam bentuk keburukan. Sebagai
contoh fenomena bencana alam semesta, agama Buddha melihat sebab kejadian bencana
adalah kerana adanya kekotoran moral manusia yang menghasilkan akibat buruk iaitu
kemusnahan (samsara).
Vipakahetu atau penyebab penghasilan yang merujuk kepada sebab dan akibat adalah dua jenis
yang berlainan. Sebagai contoh penyebab yang baik menghasilkan kesan yang baik. Penyebab
yang buruk mendatangkan kesengsaraan. Sebab yang baik atau sebab yang buruk akan
menghasilkan hukuman atau penghasilan (vipakaphala) bergantung kepada baik atau buruknya
sebab. Dalam konteks ini, keseronokan atau penderitaan adalah penghasilan yang timbul
apabila perbuatan dilakukan (vipakahetu).
Jelas Mahathera (1971), keseronokan, penderitaan atau samsara tidak sahaja merujuk kepada
moral manusia tetapi juga adalah sistem kitaran atau agen penciptaan yang sentiasa berputar dalam
alam semesta. Demikian itu, alam semesta bersifat dinamik dan proses penciptaan alam semesta tiada
pengakhiran, berubah, kuasa yang bersifat bergantungan antara satu sama lain, faktor yang tidak abadi,
statik, tidak luput, pembentukan sendiri atau kehendak sendiri. Sistem yang merencana kelangsungan
alam semesta adalah samsara yang mana sifatnya kekal abadi. Penekanan agama Buddha kepada
pemahaman konsep samsara adalah sangat penting, yang mana kegagalan memahaminya akan terjatuh
kepada kesengsaraan dan keseronokan duniawi dan tidak akan dapat melarikan diri dari kitaran karma
(Thich Nhat Hahn, 1999: 5). Bagi agama Buddha punca kesengsaraan adalah kebodohan yang melanda
manusia itu sendiri. Kejahilan ini diwarisi dari kehidupan sebelum ini (Noss, 2008: 178).
Terikatnya seluruh entiti alam semesta dengan samsara dan karma, menjadikan konsep sebab
dan akibat (patticasamupadda) mempunyai signifikan sebagai asas penciptaan alam semesta dan asas
doktrin kelahiran semula yang membelengu kewujudan makhluk tanpa jalan keluar kerana ikatan ini
tidak boleh terurai melainkan dengan pencapaian tahap kerohanian yang tinggi (nirvana).
Kesinambungan kelahiran semula yang tiada pengakhiran disebabkan samsara yang sentiasa wujud dan
tidak berakhir sehingga memberi kesan pada kitaran yang wujud dalam proses proses sebab dan akibat
(patticasamupadda) (Williams & Tribe, 2000: 64). Agama Buddha memiliki teori asas penciptaan yang
unik kerana peranan penciptaan difahami dalam konteks sebab dan akibat (patticasamupadda). Setelah
ditelusuri dengan detil, kepercayaan kepada peranan sebab dan akibat ini berasaskan kepada
kepercayaan samsara yang menjadi tunjang dan agen kepada proses penciptaan alam semesta yang
mana mempengaruhi konsep sebab dan akibat (patticasamupadda).
4. Analisis Perbandingan
Hasil pengkajian penulis mendapati terdapat beberapa perbezaan antara asas penciptaan antara agama
Hindu dan Buddha. Perbezaan pertama yang dilihat paling ketara dalam asas penciptaan alam semesta
adalah konsep ketuhanan. Agama Hindu meletakkan Brahma adalah Tuhan Pencipta. Walaupun agama
Hindu memiliki kefahaman mengenai sebab dan akibat, evolusi dan emansi dalam proses penciptaan
Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013,
Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net
1375
tetapi segala aturan dan pentadbirannya tertakluk kepada kekuasaan serta kehendak Brahma (Wilson,
1972: 9). Di dalam kitab Svestasvatara Upanishad (6. 16) menggambarkan asas kepada proses sebab dan
akibat masih ditunjangi Brahma iaitu:
Tuhan adalah penyebab kepada lingkaran kelahiran dan kematian, penyebab kepada
pembebasan, penyebab kepada kehidupan sementara dan keterbatasan hidup kita (Basu, 1916:
113).
Berbezanya konsep ketuhanan agama Hindu dengan agama-agama teistik lain adalah
kepercayaan Tuhan yang Maha Mutlak (Brahman) dengan Tuhan yang Mutlak (Brahma) dan yang
memperanankan dalam proses penciptaan adalah Brahma dan Maya bukan Brahman. Agama ini masih
meletakkan ketuhanan adalah asas penciptaan alam semesta. Pengelasan politeisme, monoteisme,
panteisme ke dalam agama Hindu adalah biasa. Matthew (2007) meletakkan kelas lain kepada agama
Hindu iaitu henoteisme yang mana fahaman kepercayaan kepada satu Tuhan tetapi mengakui
kekuasaan Tuhan lain. Bagi penulis kelas henoteisme ini lebih sesuai berbanding istilah-istilah yang lain
bagi agama Hindu merujuk konsep ketuhanan.
Berbeza dengan agama Buddha yang berlandaskan idea dan logik serta mengangkat ‘Tuhan
Pencipta’ adalah sebab dan akibat (patticasamupadda). Jika ditinjau mengenai konsep ketuhanan agama
Buddha, ia sememangnya tidak jelas dan tidak tetap. konsep ketuhanan agama Buddha hanya
menyanggah dan menafikan ketuhanan. Buddha menjelaskan kefahaman mengenai Tuhan yang
dipercayai oleh agama Hindu sebagai kecelaruan. Konsep ketuhanan hanya buah fikiran manusia itu
sendiri. Sebagai contoh, Tuhan dikatakan sebagai yang pertama lahir hasil dari memikirkan mengenai
dirinya sendiri seperti “Aku adalah Brahma, Maha Berkuasa dan kewujudan adalah hasil dari-Ku.
Konsepnya adalah “apabila aku memikirkan, maka jadilah ia dan hasil dari mental aspirasi Ku, semua
kewujudan itu wujud”. Seterusnya dalam pandangan makhluk, memikirkan perkara yang sama iaitu “itu
adalah Brahma, Maha Berkuasa dan kita semua dijadikan oleh Dia. Kerana kita melihat dia adalah yang
pertama dan kita dijadikan selepas-Nya (Rhys, 1978: 9-10). Ia hanya buah fikiran sahaja.
Kepercayaan kepada Tuhan adalah fatalisme berfikir dan ia wajar ditolak. Jika semua fenomena
disebabkan Tuhan, maka ia tidak sepatutnya diarahkan kepada Tuhan kerana apakah perkara buruk
yang berlaku di dunia ini seperti bunuh diri, perompak dan mencuri juga datangnya tindakan buruk ini
dari Tuhan? Justeru, ini yang digelar sebagai salah faham mengenai tindakan Tuhan terhadap
penciptaannya. Jika Tuhan adalah penyebab segala yang berlaku di dunia ini, apakah peranan manusia
berusaha? (Thera, 1978: 21).
Jika wujud Tuhan yang berkuasa memberi permintaan setiap dari manusia,
Setiap dari kewujudan itu ada kerahmatan, kecelakaan, perbuatan baik dan buruk,
Maka Tuhan diwarnai dengan dosa, Manusia melakukan tetapi mengerjakan apa yang
diperintahkan (Thera, 1978: 23).
Berdasarkan kepada kepercayaan agama Buddha yang menafikan ketuhanan dalam asas
penciptaan alam semesta dan menggantikannya dengan sebab dan akibat (patticasmupadda), tidak
keterlaluan meletakkan agama ini sebagai agama ateisme atau kelompok agama yang menafikan
ketuhanan atau entiti yang bersifat dengan sifat ketuhanan. Walaupun Helmuth (1970) menyatakan
agama Buddha mempunyai konsep ketuhanan yang berbeza dengan agama-agama lain dan perbezaan
ini tidak bermakna agama Buddha tidak mempunyai konsep ketuhanan dalam doktrin utama meraka. Ini
kerana, agama Buddha cuma tidak terlalu fokus membicarakan mengenai sesuatu realiti yang tidak
Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013,
Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net
1376
boleh dilihat (Tuhan), jiwa, kehidupan selepas mati atau asal-usul alam semesta. Bagi penulis, dalam
konteks asas teori kejadian alam semesta, agama Buddha adalah agama ateisme yang menafikan
keberadaan Tuhan dalam proses penciptaan dan menggantikannya dengan konsep sebab dan akibat
(patticasamupadda).
Buddha selaku pengasas juga kelihatan meragui dan tidak berminat untuk membincangkan dan
apatah lagi mahu mempercayai adanya Tuhan dalam proses penciptaan ini. Anggapan bahawa Tuhan
hanya mengganggu keberadaan manusia untuk kekal bahagia dan mencapai pencerahan. Bagi Story
(1972) agama Buddha meletakkan ketuhanan itu sendiri sebahagian dari konsep sebab dan akibat yang
tertakluk kepada karma dan samsara. Justeru, jelas kepada penulis apabila agama Buddha meletakkan
Tuhan menyamai makhluk dan termasuk dalam sebab dan akibat (patticasamupadda) yang mana jika
begitu Tuhan turut merasai penderitaan dan kesengsaraan (samsara).
Perbezaan kedua, agama Hindu mempercayai agen kepada penciptaan alam semesta adalah
Maya yang mempunyai kualiti Guna. Brahma hanya bertindak memikirkan dan berkehendak penciptaan
alam semesta dan Maya adalah agen penciptaan tersebut. Maya tidak dianggap Tuhan tetapi memiliki
zat dan sifat ketuhanan iaitu kekal dan abadi. Membezakannya adalah Maya tiada kehidupan dan ia
hanya sekadar tenaga. Justeru itu, jika diteliti, agama Hindu tidak meletakkan campur tangan lain sama
ada manusia, pokok, tanah atau lain-lain dalam penciptaan alam semesta melainkan dengan kehendak
Brahma dan Maya sahaja. Walaupun agama Hindu meletakkan konsep evolusi, emanasi dan sebab dan
akibat dalam proses penciptaan dan penjagaan alam semesta, kehendak Brahma dan perilaku Maya
adalah Sebab Utama yang mendasari proses-proses tersebut.
Namun berbeza bagi agama Buddha, agen kepada penciptaan adalah samsara, iaitu segala
perilaku yang terjadi menyebabkan berlakunya penciptaan alam semesta. Segala perilaku perbuatan,
pemikiran dan perbualan yang menyebabkan berlakunya perkara negatif dianggap sebagai samsara.
Hasilnya samsara memainkan peranan sebagai agen kepada penciptaan berlandaskan kepada sebab dan
akibat (patticasamupadda). Untuk menjelaskan mengenai samsara sebagai agen, agama Buddha telah
merangka Dua Belas Rangkaian Sebab dan Akibat atau twelve link, iaitu:
i.
ii.
iii.
iv.
v.
vi.
vii.
viii.
ix.
x.
xi.
xii.
Kebodohan (avijja)
Pembentukan kerelaan (sankhara)
Kesedaran (vinnana)
Minda dan badan (namarupa)
Enam pancaindera (salayatana)
Hubungan deria (phassa)
Perasaan (vedana)
Ketagihan (tanha)
Kehendak (upadana)
Pembentukan (bhava)
Kelahiran (jati)
Usia tua dan mati (jaramarana) (Mahasi 1982: 10).
Dua Belas Rangkaian sebab dan akibat ini adalah bentuk penderitaan (samsara) yang sentiasa
berlaku dalam kehidupan manusia dan entiti muka bumi yang mana menjadi agen kepada penciptaan
alam semesta. Agen yang dimaksudkan di sini adalah sebab penciptaan berlaku dan agama Buddha
mempercayai ia berasas dari samsara. Sejak awal lagi, penulis menyebut teori penciptaan agama
Buddha tidak akan terkeluar dari ruang lingkup perbincangan mengenai moral. Sememangnya ini adalah
Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013,
Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net
1377
‘topi’ bagi agama Buddha iaitu dharma. Berlandaskan kepada Dua Belas Rangkaian Sebab dan Akibat ini
menunjukkan peranan manusia sepenuhnya sebagai punca dan asas kepada penciptaan alam semesta.
Selagi mana manusia melakukan dosa, etika buruk dan kekejaman akan melahirkan samsara yang akan
menjadi agen kepada sebab dan akibat (patticasamupadda) berfungsi menciptakan alam semesta.
5. Kesimpulan
Agama Hindu tidak boleh dikatakan sebagai agama yang sama dengan agama Buddha. Walaupun
perbezaan ini hanya satu aspek iaitu asas penciptaan tetapi impak kepada perbezaannya menjadikan
agama Hindu sebuah agama ketuhanan yang berpegang kepada fahaman henoteisme dan agama
Buddha adalah agama ateis yang memegang nilai etika adalah asas kepada semua jawapan masalah dan
teori agama ini. Walaupun ada persamaan seperti penggunaan terma karma, samsara, pencerahan dan
sebagainya, perlu diingatkan ia hanya sama dari segi terma umum penggunaannya tetapi pelaksanaan
dan peribadatan dalam agama-agama ini tidak sama dan ia tertakluk kepada kepercayaan konsep asas
penciptaan ini iaitu konsep ketuhanan.
Selain itu, dalam agama Hindu peranan Tuhan adalah utama kerana Dia adalah pencipta dan
semuanya adalah tertakluk kepada Tuhan. Manusia tidak langsung memainkan peranan dalam
penciptaan alam semesta. Berlainan dengan agama Buddha yang meletakkan manusia memainkan
peranan utama dalam penciptaan alam semesta kerana manusia sentiasa melakukan kerosakan,
mengalami penderitaan dan akhirnya menerbitkan samsara. Sebagaimana yang telah dijelaskan,
samsara adalah agen penciptaan dan tiada samsara tiada penciptaan. Oleh itu, manusia sememangnya
peranan utama dalam proses penciptaan ini. ini sesuai dengan imej dan kelas kedua-dua agama iaitu
henoteisme dan ateisme.
6. Rujukan
Akira. Hirkawa. (1990). A History of Indian Buddhism from Sakyamuni to Early Mahayana. Terj. Paul
Groner. Delhi: Motilal Banarsidass Publishers Private Limited.
Ames, William L. (2003). Emptiness and Quantum Theory. In B. Alan Wallace (Eds). Buddhism & Science.
(pp. 287). New York: Columbia University Press.
Anandatirtha. (1916). Sris Chandra Vasu (terj). The Brihadranyaka Upanishad. Allahabad: The Panini
Office, Bhuvaneswari.
Basu, B.D. (1916). The Svetasvatara Upanishad. Siddhesvar Varma Shastri (terj). Allahabad: The Panini
Office, Bhuvaneswari.
Brian, Pitts, J. (2008). Why the Big Bang Singularity Does Not Help the Kalam Cosmological Argument for
Theism. British Society for the Philosophy of Science. 59. 675-708.
Crutcher, Richard R. (2000). Loka: The Buddha’s Formulation of the Universe. Ancient Tradition:
Spirituality and Science in the Light of Vipassana Meditation. September 3-4. Amerika Syarikat:
Vipassana Meditation Center, Dhamma Dhara.
Dhammanada, K. Sri. (2002). What Buddhist Believe Expanded 4th Edition. Kuala Lumpur: Buddhist
Missionary Society Malaysia.
Durga Das Basu. (2004). The Essence of Hinduism 2nd Edition. Delhi: Asoke K. Ghosh.
Gnanarama, Pategama. (2000). Essentials of Buddhism. Singapura: Pategama Gnanarama.
Helmuth Von Glasenapp. (1970). Buddhism-A Non-Thesitic Religion With a Selection from Buddhist
Scriptures. Imgard Schloegl (terj). London: Munich: Szczesny Verlag KG.
Hume, Robert Ernest (terj). (1968). The Thirteen Principal Upanishad Translated From The Sanskrit.
London: Oxford University Press.
Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013,
Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net
1378
Lynch, James David. (2010). An Argument Agains The Buddhist Concept of Dependent Orgination
Through William Lane Craig ‘s Kalam Cosmological Argument. Liberty Baptist Theological
Seminary.
Mahasi Sayadaw. (1982). A Discourse on Patticasamuppada. U Aye Maung (terj). Burma: U Min Swe.
Mahathera, Nyanaponika (Eds). (1971). Pathways of Buddhist Thought Essays From The Wheel. London:
George Allen & Unwin Ltd.
Matthews Warren. (2007). World Religions 6th Edition. United States of America: Wadsworth Cencage
Learning.
Noss, David S. (2008). A History of the World Religions. Pearson: Prentice Hall.
Nrusingh Charan Panda. (1991). Maya in Physics. Delhi: Motilal Banarsidass Publishers Private Limited.
Radhakrishnan S. (1968). The Dhammapada with Introductory Essays Pali Text. Madras: Oxford
University Press.
Rhys, Davids (terj). (1978). Digha-Nikaya No. 1: Brahmajala-Sutta. In Thera Nyanaponika (Eds). Selected
Buddhist Texts From the Pali Canon. Vol 1 (pp. 9-10). Ceylon: Buddhist Publication Society.
Story, Francis. (1972). Gods and the Universe in Buddhist Perspective: Essays on Buddhist Cosmology and
Related Subjects. Sri Lanka: Buddhist Publication Society.
Shivendra Kumar Sinha. (2008). Basics of Hinduism Especially Written for the Young Generation in a
Simplified and Objective Manner. New Delhi: Unicorn Books.
Smith, Huston. (1969). A Buddhist Bible. Tokyo: Massachusetts Institute of Technology.
Swami Prakashanand Saraswati. (2001). The True History and The Religion of India A Concise
Encyclopedia of Authentic Hinduism. Delhi: Motilal Banarsidass Publishers Private Limited.
Swami Vijnanananda (terj). (1974). The Sri Mad Devi Bhagavatam. Allhabad: Sudindra Nath Vasu.
Takakusu, Junjiro. (1947). The Essentials of Buddhist Philosophy. Delhi: Motilal Banarsidass Publishers
Private Limited.
Thera Nyanaponika. (1978). Angultara-Nikaya, Tika-nipitaka No.62. In Thera Nyanaponika (Eds). Selected
Buddhist Texts From the Pali Canon. Vol 1 (21-23). Ceylon: Buddhist Publication Society.
Thich Nhat Hahn. (1999). Heart of the Buddha's Teaching Transforming Suffering into Peace, Joy &
Liberation: The Four Noble Truths, The Noble Eightfold Path, and Other Basic Buddhist Teachings.
New York: Broadway Books.
Wilson, H.H. (terj). (1972). The Vihsnu Purana A System of Hindu Mythology and Tradition. Calcutta:
Punthi Pustak.
Williams, Paul & Tribe, Anthony. (2000). Buddhist Thought A Complete Introduction to the Indian
Tradition. London: Routledge.
Zaehner, R.C (terj). (1969). The Bhagavad-Gita. London: Oxford University Press.
Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013,
Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net
1379
Download