PERANAN KELUARGA DALAM MENANGANI GEJALA SOSIA

advertisement
PERANAN KELUARGA DALAM
MENANGANI GEJALA SOSIA
Pada alaf globalisasi dan modenisasi ini, gejala sosial sentiasa
menghiasi lembaran akhbar. Gejala sosial yang semakin meruncing
telah menggusarkan masyarakat. Fenomena ini diibaratkan duri
dalam daging dalam sosial kita. Kenapa pembangunan mentaliti
rakyat kita tidak selaras dengan pembangunan fizikal kita sehingga
penyakit sosial sentiasa menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas
hujan? Tampaknya, masalah gengsterisme, vandalisme, samseng
jalanan, pembuangan bayi, remaja lari dari rumah sering berkait
rapat dengan kebejatan institusi keluarga. Walhal, peranan keluarga
amat signifikan untuk mengekang sindrom sosial terutamanya
masalah remaja.
Salah satu peranan institusi keluarga adalah ibu bapa perlu memberikan didikan
agama dan moral kepada anak mereka sejak kecil kerana melentur buluh biarlah
dari rebungnya. Didikan agama dan moral bagaikan perisai yang berupaya
menghalang segala godaan maksiat . Senario ini dapat membantu anak-anak
mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala sosial. Sebagai contoh, bapa
boleh mengajar anak-anak mereka sendiri atau menghantar mereka ke sekolah
agama. Ketua keluarga perlu membimbing anggota keluarga untuk menjalankan
solat sembahyang dan mengaji kitab-kitab. Sehubungan dengan itu, anak-anak
dapat membezakan antara kaca dengan permata kerana mempunyai jati diri yang
kukuh sebagai pedoman hidupnya.
Selain itu, ibu bapa juga bertanggungjawab untuk mengawasi pergerakan anakanak. Ibu bapa perlulah mengawasi tingkah laku anak mereka sama ada di sekolah
mahu pun di luar kawasan sekolah. Hal ini terjadi demikian kerana banyak pengaruh luaran seperti
pengaruh rakan sebaya akan menghasut jiwa remaja yang bertelinga nipis dan pantang dicabar. Jika rakan
sebaya mereka tidak berperibadi mulia, remaja yang setahun jagung dan darah setampuk pinang pasti akan
mengikut jejak langkah rakan mereka, seperti melepak, berlumba haram dan sebagainya. Lantarannya,
pergaulan anak tidak boleh dipandang enteng oleh ibu bapa. Dengan kata lain , ibu bapa perlu mewujudkan
keluarga yang bahagia demi membentuk personaliti anak-anak yang mulia sehingga berjaya.
Tidak dapat disangkal lagi bahawa ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua perlu menjadi contoh dan
teladan yang baik kepada anak-anak. Suri teladan ibu bapa mampu membentuk sahsiah anak-anak.
Tambahan pula, sikap anak-anak yang suka meniru apa-apa sahaja yang dilihatnya. Bak kata peribahasa,
“bagaimana acuan begitulah kuihnya”. Ibu bapa perlu menjauhi kegiatan yang negatif seperti merokok,
minum alkohol, mengakses laman web lucah dan lain-lain lagi. Bapa borek anak rintik merupakan
peribahasa yang perlu dihayati oleh ibu bapa. Sikap ibu bapa yang ego, individualistik, materialistik, dan
bongkak akan mencanai generasi muda yang berakhlak biadab dan berbudaya sumbang.
Dalam pada itu, kasih sayang yang sempurna dan kamil amat diperlukan oleh anak-anak. Ekoran daripada
itu , ibu bapa wajar memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak. Kejadian ini berlaku
kerana anak-anak yang kurang mendapat kasih sayang akan mudah terpengaruh oleh gejala sosial. Ibu bapa
perlu sentiasa melayani anak mereka bagai menatang minyak yang penuh. Sebagai contoh, ibu bapa
sewajarnya membelai dan mengucapkan kata-kata sayang kepada anak-anak mereka. Sementelahan, ibu bapa
perlu memberikan pujian yang ikhlas ketika anak mereka mencapai sesuatu kejayaan atau melakukan perkara
yang betul. Dengan itu, anak-anak akan berasa gembira dan seronok berada di rumah bersama-sama keluarga
mereka. Mereka pun sanggup meluahkan isi hati ketika mengalami kemusykilan kerana ibu bapa mereka
bersedia mendengar rintihan jiwa mereka. Ternyata keluarga yang harmoni berdominan untuk membanteras
kegiatan negatif.
Di samping itu , setiap ahli keluarga juga perlu sentiasa
berkongsi masalah. Ibu bapa harus sentiasa bertanyakan
masalah anak-anak. Seterusnya, ibu bapa perlu membantu
anak-anak menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebagai
contoh, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membantu
masalah pelajaran anak-anak. Sebaliknya anak-anak perlu
memahami tanggungjawab dan bebanan ibu bapa mereka.
Anak-anak perlu sentiasa membantu ibu bapa membuat
kerja rumah tangga untuk meringankan tekanan mereka.
Dengan itu, setiap anggota keluarga akan berasa diri
mereka diberikan perhatian oleh ahli keluarga yang lain.
Aktiviti keluarga seperti gotong-royong dan hari keluarga patut diadakan dari semasa ke semasa supaya
mengeratkan silaturahim sekeluarga.
Secara tunasnya, segala langkah di atas tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada
semua ahli keluarga seperti ibu bapa, abang dan kakak. Slogan “Keluargaku, syurgaku”, dan “Semakin hari
semakin sayang” patut dihayati oleh seisi komuniti kita supaya melahirkan masyarakat madani dan sakinat.
Download