PENGELUARAN AWAM DAN SWASTA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM Abdul Razak bin Dan Mohd Ali bin Mohd Nor Hairunnizam bin Wahid PENGENALAN Walaupun terdapat banyak perbezaan pendapat tentang kepentingan sesuatu faktor pengeluaran, Islam dilihat lebih menumpukan kepada aspek pengurusan (keusahawanan) berbanding ketigatiga faktor pengeluaran yang lain. Ini adalah kerana aspek pengurusan adalah amat penting dalam menentukan objektif pengeluaran berlandaskan prinsip-prinsip syariah serta menguruskan faktor manusia dan bukan manusia. PENGELUARAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM Pengeluaran secara umumnya boleh dibahagikan kepada dua aspek iaitu aspek positif dan aspek normatif. Aspek positif memberi tumpuan kepada apa akan terjadi dan ia dapat diselesaikan dengan bukti manakala aspek normatif ataupun nilai bermaksud bagaimanakah seharusnya pengeluaran dibuat dengan mengambil kira faktor seperti psikologi, kebudayaan, agama dan lainlain lagi dan tidak dapat diselesaikan dengan bukti. Pengeluaran dalam Islam adalah lebih menekankan aspek normatif. Secara umumya ia didefinisikan sebagai penciptaan barangan ataupun perkhidmatan yang memberikan utiliti mengikut keutamaan berdasarkan syara’ . Ia bukan semata-mata untuk menambah atau memenuhi permintaan sesuatu barangan bahkan lebih kepada membentuk akhlak bagi kejayaan di dunia dan di akhirat (falah). Daripada perbincangan di atas, secara umumnya terdapat beberapa implikasi daripada objektif yang dapat disimpulkan. Pertamanya, pembuatan barangan dan pembuatan yang tidak 1 mengambil kira faktor akhlak akan diketepikan sama sekali. Ini bermaksud apa-apa jenis aktiviti pengeluran seperti pelacuran dan perjudian diharamkan oleh al-Quran dan Sunnah. Ini juga bermaksud tiada sumber ataupun faktor pengeluaran yang akan diperuntukan bagi tujuan tersebut samada pada masa kini dan masa hadapan. Implikasi kedua yang timbul adalah segala aktiviti pembuatan barangan dan perkhidmatan yang mengutamakan kebajikan ummah sahaja akan dilaksanakan seperti penyediaan barangan awam dan barangan mesti (dharuriyyat) berbanding penyediaan barang-barang keperluan (hajiyyat) dan barangan mewah (tahsiniyyat). Ini bertujuan untuk menyempurnakan objektif syariah iaitu bagi menjaga agama, nyawa, keturunan, pemikiran dan harta. Aspek ketiga adalah kewujudan sumber yang terhad tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berikhtiar bagi mendapatkan penyelesaian kepada masalah tersebut. Ini bermaksud Islam menggalakkan umatnya mencari sebanyak mungkin ilmu-ilmu yang berkaitan penghasilan sesuatu keluaran yang baru. dan menentang sifat malas dalam berusaha. Di samping itu juga kepentingan pengeluaran.dalam Islam adalah bertujuan menyahut seruan Allah s.w.t untuk berusaha dan bekerja. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud” Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehinggalah kaum itu mengubah nasib mereka sendiri”. Ini juga bersesuaian dengan satu hadith dari Rasullullah s.a.w yang bermaksud “Tangan yang berada di atas adalah lebih mulia berbanding tangan yang berada di bawah. Kepentingan untuk berusaha dan bekerja adalah supaya manusia boleh berdikari untuk aktiviti semasa dan ketika beribadah. Ia juga bertujuan untuk mengelakan daripada didenda kerana membiarkan harta tidak digunakan dan mengelakkan sifat malas. Contohnya sekiranya tanah yang tidak diusahakan akan dikenakan cukai tanah (kharaj) manakala harta yang tidak digunakan dikenakan bayaran zakat. Tambahan lagi Islam amat menitik beratkan peripentingnya penyediaan barangan keperluan manusia mengikut jenis barangan dan kepentingan masyarakat. Contohnya sekiranya sesuatu tempat itu mempunyai ramai penduduk yang miskin, maka penyediaan barang-barang mesti dan barangan awam adalah perlu diutamakan berbanding pengeluaran barangan yang membazir dan mewah. Konsep pengeluaran Islam juga bertujuan menampung keperluan mengikut tanggungan. Ini bermaksud segala tangunggan untuk diri 2 sendiri, keluarga dan masa hadapan termasuk juga untuk di jalan Allah (fisabilillah) dan untuk keperluan pembangunan negara dan seluruh manusia amnya. Manakala matlamat pengeluaran menurut Islam adalah menegakkan keadilan antara manusia dengan tuhan dan manusia sesama manusia serta mengekalkan keseimbangan di antara manusia dengan makhluk-makhluk Allah yang lain seperti segala haiwan dan tumbuhan.Ia juga mengambil kira kebajikan dalam membuat keputusan samada untuk kepentingan orang Islam ataupun orang bukan Islam termasuklah menjaga kebajikan orang-orang miskin, fakir, anak yatim dan wanita. Antara matlamat lain dalam pengeluaran adalah mendapatkan keuntungan yang berpatutan oleh pengeluar (keuntungan tanggungjawab) Dalam Islam, sumber pembiayaan adalah tidak mengamalkan amalan riba’. Ini bermakna masalah sumber modal boleh di atasi dengan konsep bekerjasama. Ini jelas dibuktikan daripada bentuk-bentuk sumber pembiayaan dalam Islam seperti Mudarabah, Musyarakah, Bai Bissaman Ajil. Ijarah dan sebagainya. Aspek pengeluaran tidak dapat dipisahkan dengan konsep awam dan swasta. Peranan sektor awam1 adalah penting kerana wujudnya kelemahan dalam sistem ekonomi yang ada dimana barangan awam seperti kesihatan, sekolah, pencen dan juga masalah pencemaran yang timbul akibat kegagalan sistem ekonomi pasaran bebas. Faktor pengeluaran dalam Islam menekankan aspek pengurusan (keusahawanan) dan pandangan ini amat berbeza dengan pendapat ahli ekonomi konvensional. Contohnya menurut ahli ekonomi fisiokrat dan feudalism, tanah adalah merupakan faktor pengeluaran yang paling utama berbanding faktor-faktor pengeluaran yang lain. Akan tetapi pendapat ini berbeza dengan idea ahli ekonomi kapitalis yang memberi penekanan kepada faktor pengeluaran modal. Namun selepas berlakunya zaman kemelesetan ekonomi dunia 1930-an, aspek faktor pengeluaran modal pula menjadi kurang penting akibat kelemahan sistem kewangan pada ketika itu. Kesempatan ini 3 telah diambil oleh Karl Mark untuk megkritik kelemahan sistem ekonomi kapitalis dan mengemukakan idea sosialis yang lebih menekankan peranan buruh sebagai faktor pengeluaran yang paling dominan dalam ekonomi. PERBANDINGAN SEKTOR AWAM DAN SWASTA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM Kebanyakan ahli ekonomi Islam menerima persyarikatan dan penswastaan sebagai modus operandi. Ini adalah kerana peranan individu dan bagaimana untuk memenuhi peranan tersebut dengan efektif memerlukan peranan sektor awam yang terhad. Semakin kecil peranan sektor awam, maka ia dapat menolong memenuhi peranan individu-individu dalam ekonomi. Oleh itu aktiviti-aktiviti yang produktif sepatutnya didokong oleh pihak swasta. Ini disokong oleh Kurshid Ahmad, dimana beliau berpendapat sebarang pembangunan yang lebih atau terlalu memberi tumpuan kepada sektor awam akan menyebabkan kemunduran sesebuah negara itu. Fokus utama dalam Islam adalah manusia (insan). Islam menyuruh penganutnya bekerja keras untuk keharmonian dan kejayaan manusia itu sendiri. Peranan manusia juga amat penting kerana ia bukan sahaja menentukan kejayaannya di dunia malah juga di akhirat. Peranan utama manusia ialah bagaimana ia dapat menggunakan segala ciptaan yang ada bagi memenuhi maksud penciptaannya sendiri. Ini dikuatkan oleh pendapat Maudoodi, mengatakan bukanlah peranan utama seseorang individu itu untuk berkhidmat kepada masyarakat sebaliknya masyarakat tersebut yang sepatutnya memberi khidmat kepada seseorang individu. Daripada perbincangan di atas, kesimpulan yang dapat dibuat mengenai peranan individu adalah: 1. Manusia adalah khalifah Allah di atas muka bumi. 2. Manusia diberi kebebasan untuk memilih samada yang baik ataupun yang buruk 3. Manusia memikul beban tanggungjawab dan akauntibiliti di atas semua perlakuannya dan kesan daripada tindakannya. 1 Sektor awam juga dirujuk kepada sektor kerajaan 4 4. Kazaliman yang dibuat oleh seseorang ke atas dirinya sendiri hanya boleh dimaafkan oleh tuhan tetapi kezaliman yang dibuat oleh orang lain. Hanya orang yang dizalimi sahaja yang boleh memaafkannya. Sekiranya panduan seperti di atas diikuti, ini akan membawa individu tersebut kepada gelagat dalam ekonomi seperti berikut: 1. Ia akan dapat menentukan baik dan buruk dan rasional dalam menentukan kerugian dan keuntungan. Sebagai seorang yang bermoral, ia tidak akan mengambil kesempatan dan mengeksploitasi terhadap orang lain. 2. Bagi menyempurnakan peranannya dengan produktif dan effisyen, ia memerlukan sumber ekonomi daripada salah satu seperti berikut: Pendapatan, perniagaan dan perwarisan. 3. Ia akan menjadi lebih bermoral dan rasional kerana menyakini akan akauntibiliti setiap amalannya. Penat lelah dalam situasi ekonom yang beretika seperti ini akan menyebabkan ia meraih pulangan yang maksimum walaupun usahanya sedikit. Pulangan itu bukan sahaja terhad kepada dirinya bahkan kepada masyarakat keseluruhannya. Jika dalam sesebuah masyarakat itu berperanan seperti atas, maka kesannya akan membawa kepada; 1. Masyarakat akan bergantung kepada kebolehan, skil kemahiran dan sumber semulajadi bagi memenuhi tanggungjawabnya kepada tuhan, dirinya, keluarga, masyarakat dan negara. 2. Kerajaan akan bertindak sebagai pelindung kepada masyarakat tersebut dan sebagai membantu dan menyelamat syarikat swasta sekiranya berlaku sebarang masalah kepada syarikat tersebut. 3. Kerajaan akan memastikan pemilikan swasta hanya berasaskan nilai. 4. Pencapaian dan penyempuraan dalam setiap amalan termasuklah yang berkaitan dalam aktiviti ekonomi adalah dianggap sebahagian daripada iman. 5. Prinsip, tanggungjawab dan akauntibiliti yang ada pada dirinya akan menghasilkan tugasan iaitu bebas mencari pekerjaan dan menawarkan perkhidmatan. Ia juga bebas dalam menentukan harga di samping undang-undang yang ditentukan oleh kerajaan Islam. 5 PERANAN SEKTOR AWAM DAN SWASTA Walaupun sektor swasta bebas melakukan aktivitinya dalam ekonomi, namun ini tidak menafikan peranan sektor awam. Bagi maksud persamaan dan keadilan, Islam memberikan penglibatan kepada sektor awam apabila sektor swasta gagal memenuhi tujuannya. Ramai ahli ekonomi Islam terdahulu seperti Nizam al-Mulk (1017-1093 AD), Ibn Hazm (994-1064 AD), Al-Ghazali (1058-1111 AD) dan Al-Shatibi (1329 AD) berpendapat peranan kerajaan amat penting dalam sesebuah negara terutamanya negara. Ibn Taimiyyah (1263-1328 AD) dalam Abdul Azim Islahi (1988) pula berpendapat peranan sesebuah kerajaan dalam negara adalah suatu amanah dari Allah dan perlu menjalankan tanggungjawabnya berasaskan prinsip syariah. Menurutnya lagi tanggngjawab utama kerajaan adalah membasmi kemiskinan dan memastikan keperluan manusia dipenuhi menurut kehendak agama. Beliau juga menekankan pentingnya pengagihan semula pendapatan antara golongan miskin dan kaya bagi memastikan taraf hidup rakyat yang adil dan saksama. Di samping itu juga, kerajaan juga berperanan dalam memastikan kebajikan masyarakat bertambah baik terutamanya daripada segi kewangan. Dalam usaha membasmi kemiskinan, Ibn Taimiyaah menyarankan agar sistem kewangan berasaskan riba’ perlu diharamkan, memastikan peranan aktif institusi zakat dan kerajaan juga perlu menyediaan geran (“ataya), pemberian secara sukarela (sadaqat an-nafilah) kepada rakyat untuk memberi galakan bekerja dan menjalankan perniagaan. Secara umumnya walaupun Ibn Taimiyyah adalah seorang ahli sufi dan bukan ahli ekonomi, beliau menyokong peripentingnya peranan kerajaan atau awam dalam sesebuah ekonomi. Manakala ramai ahli ekonomi Islam semasa turut bersetuju peranan sektor awam atau kerajaan amat penting dalam ekonomi. Menurut Mannan (1984), kerajaan perlu melibatkan diri secara serius dalam ekonomi. Ini adalah bertujuan untuk memastikan kebajikan masyarakat dipenuhi terutamanya dalam pengagihan sumber dan keperluan asasi. Beliau telah menggariskan peranan kerajaan dalam pengeluaran iaitu; 6 1. memastikan kerjasama dan persaingan yang sihat antara firma. 2. menekankan konsep mudharabah dan musyarakah antara pemodal dan pengusaha dengan menggantikan kadar bunga 3. menjalankan dasar yang sesuai dalam menstabilkan ekonomi samada menggunakan dasar fiskal dan juga dasar kewangan. 4. memastikan dasar upah yang saksama bagi buruh 5. menggalakan kerjasama antara negara-negara Islam 6. mengawasi kativiti-aktiviti ekonomi 7. menyediakan keperluan asas kepada rakyat Siddiqi (1978) juga bersependapat dengan Mannan dimana kerajaan perlu campurtangan dalam ekonomi akibat ketidakadilan dalam sesuatu sistem pasaran. Beliau berpendapat penyediaan barangan keperluan asasi yang meliputi barangan awam dan sosial oleh kerajaan sebagai fardu kifayah dan telah disarankan dalam al-Quran dan Hadith. Beliau juga menekankan peranan institusi Hisbah yang berperanan memastikan sesuatu ekonomi berjalan dengan lancar dan teratur. Secara kesimpulannya menurut Siddiqi, kerajaan memainkan peranan yang aktif dalam aspek berikut; 1. jika pasaran gagal berfungi dengan berkesan dan adil 2. kerajaan perlu menyediakan keperluan asas 3. menyediakan barangan awam dan swasta 4. menjaga dan mematau aktiviti ekonomi 5. perlaksanaan institusi hisbah dalam ekonomi. Manakala Naqvi (1984) pula berpendapat peranan kerajaan amat penting tetapi melebihi apa yang dinyatakan oleh Siddiqi dan Mannan. Kerajaan menurut Naqvi perlu campurtangan dan terlibat secara langsung dalam ekonomi tanpa melihat samada sesuatu pasaran itu gagal atau tidak. Menurutnya kerajaan juga campurtangan dalam aspek pengeluaran terutamanya kerana; 1. memastikan keadilan antara upah dan untung kepada buruh dan pengusaha 7 2. Kerajaan patut menggalakan dan seterusnya mengawasi persaingan yang sihat antara firmafirma dalam ekonomi. Oleh itu struktur pasaran yang bersifat monopoli dan oligopoli tidak dibenarkan dalam pasaran. 3. nisbah peruntukan perbelanjaan barangan awam kepada Keluaran Negara Kasar (KNK) seperti hospital, sekolah dan sebagainya hendaklah lebih besar berbanding barangan swasta. Ini dapat dilaksanakan melalui proses politik. 4. pengeluaran barangan swasta yang dibenarkan oleh sesuatu firma adalah bertumpu kepada barangan asasi dan bukan barangan mewah atau membazir. Kahf. M (1978) juga bersetuju pentingnya peranan kerajaan dalam ekonomi. Kerjaan berperanan sebagai perancang, pengawal, pengeluar dan juga sebagai pengguna. Peranan kerajaan adalah bertumpu kepada; 1. pengagihan semula zakat, warisan dan barangan pengguna 2. menyediakan keperluan asas kepada rakyat berdasarkan pembangunan negara yang sedia ada 3. mengeluarkan kemudahan awam. 4. mengawal dan menyelia pasaran dalam ekonomi. Manakala Imtiaz Uddin (1996) juga sependapat dengan pemikiran ahli ekonomi Islam berkenaan peripentingnya peranan kerajaan dalam ekonomi. Beliau pula telah memberikan beberapa alasan mengapa sektor swasta tidak mahu melibatkan diri dalam sesuatu projek atau aktiviti iaitu, 1. Kewujudan suasana persaingan ekonomi yang tidak kompetatif disebabkan oleh wujudnya sesebuah industri yang mempunyai skil ekonomi yang besar 2. Kos pengangkutan yang besar dimana ia akan mebawa kepada monopoli mengikut kedudukan geografi. 3. Pulangan bertambah mengikut skil dalam sesetengah industri berat. 4. Keperluan untuk barangan awam tulen seperti pertahanan dan kawalan sumber semulajadi. 5. Wujudnya eksternaliti positif dan negatif yang kedua-duanya tidak dapat dikurangkan melalui insentif atau cukai. 8 6. Wujudnya kos daripada bencana alam yang tidak ditanggung oleh pihak insuran tetapi terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan seperti kejadian banjir, gempa bumi dan sebagainya. 7. Wujudnya sesetengah projek awam yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak swasta disebabkan oleh kos yang tinggi dan tiada keuntungan yang didapati daripada projek tersebut seperti pembinaan jambatan yang berkos tinggi. 8. Perlaksanaan polisi fiskal dan kewangan adalah dibawah tanggungjawab kerajaan untuk memastikan perlaksanaan yang lebih effektif dan adil kepada masyarakat. 9. Kerajaan perlu menyediakan barangan awam seperti penyediaan peluang pendidikan, pusatpusat kesihatan, taman rekreasi dan sebagainya yang tidak diseidakan oleh pihak swasta kerana faktor keuntungan. 10. Mewujudkan dan melaksanakan undang-undang untuk memastikan syarikat swasta dapat menjalankan aktiviti mereka secara effisyen. 11. Mewujudkan banyak peluang pekerjaan bagi memastikan tahap kemiskinan dan ketakadilan dalam agihan pendapatan dapat dikurangkan. Berdasarkan perbincangan di atas dapatlah dirumuskan bahawa peranan kerajaan amat penting dalam sesebuah ekonomi. Segala tanggungjawab dan peranan kerajaan yang telah dibincangkan perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin kerana ia adalah suatu amanah. Kerajaan perlu mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat sekiranya sektor swasta tidak dapat memenuhi pengeluarannya seperti barangan awam dan sosial, menjalankan dasar fiskal, membasmi kemiskinan dan sebagainya. Ini juga bermaksud pihak swasta perlu mengeluarkan semua barangan dan perkhidmatan selain daripada apa yang telah disempadankan sebagai tanggungjawab kerajaan atau awam. PENUTUP Peranan sektor awam adalah sebagai pelengkap kepada ekonomi sesebuah negara. Peranan sektor awam adalah dalam aktiviti-aktiviti ekonomi tertentu yang tidak dapat dilaksanakan oleh pihak swasta. Dalam erti kata lain, pengeluaran oleh sektor awam menurut Islam adalah bertumpu 9 kepada sektor yang tiada penglibatan sektor swasta disebabkan oleh ketidakupayaan sektor tersebut mengeluarkan barangan tertentu, sektor yang tidak mendatangkan keuntungan kepada pengusaha di awal proses pengeluaran sesuatu keluaran, sektor yang terlibat dalam soal keselamatan, pertahanan negara dan akhir sekali sektor yang mempunyai ekonomi mengikut skill dari segi keluaran dan perkhidmatan yang memonopoli pasaran sesuatu ekonomi. Selain daripada sektor-sektor di atas, maka menurut Islam, pihak swasta perlu dan dibolehkan terlibat secara langsung dalam ekonomi. Akan tetapi peranan sektor swasta adalah tertakluk kepada syariah yang digariskan oleh ajaran Islam. Kombinasi dan kerjasama antara kedua-dua sektor ini akan menjana pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. RUJUKAN Imtiaz Uddin Ahmad. 1996. The Role of Private and Public Sectors in Economic Development In An Islamic Perspective, Proceeding of the Fifth International Islamic Economics Seminar 1993, edited by Ehsan Ahmad, The International Institute of Islamic Thought, Herndon, VA. USA. Mannan M.A, Ekonomi Islam:Teori dan Praktis. Terjemahan. Kuala Lumpur: A.S. Noordeen. Surtahman Kastin Hasan, 1993. Ekonomi Islam: Dasar dan Amalan. Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka. Salomon, S. 1989. Ekonomi Islam, Pengenalan Sistem dan Kemungkinan. Kuala Lumpur: Academe Art and Printing Sevices Sdn. Bhd. 10