Uploaded by Paduka Abeja

Ekologi Sekolah dan Iklim Bilik Darjah

advertisement
Ekologi Sekolah dan Iklim Bilik Darjah
Menurut Kamarudin Husin (2004), konsep bilik darjah sebenarnya telah wujud sekian lama.
Namun demikian, konsep tersebut berubah-ubah mengikut perkembangan pendidikan dari
semasa ke semasa. Pada zaman dahulu, pembelajaran dilaksanakan di bawah pokok dengan
bilangan pelajar yang kecil sekitar lima hingga enam orang sahaja dan ini boleh dianggap
sebagai satu bilik darjah. Di sekolah memerlukan ekosistem yang boleh meransang murid untuk
belajar dan guru untuk mengajar. Adalah menjadi tanggungjawab Pengetua atau Guru Besar
(PGB) untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selamat untuk
melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.
Persekitaran Pembelajaran Yang Kondusif
Iklim bilik darjah didefinisikan sebagai persekitaran pembelajaran murid dalam bilik darjah di
sekolah (Adelman & Taylor, dalam penerbitan). Secara khususnya, iklim bilik darjah dapat
didefinisikan sebagai persekitaran fizikal, sosial, intelektual dan emosi yang mendukung pola
pembelajaran murid (Ambrose, Bridges, DiPietro & Lovett, 2010). Ia ditentukan oleh interaksi
antara guru dan murid, interaksi antara murid dengan murid, peralatan pembelajaran adan
bahan pembelajaran (Ambrose, Bridges, DiPietro & Lovett, 2010).
Dalam bilik darjah yang memperlihatkan murid merentasi etnik, persekitaran bilik darjah
tersebut perlu berupaya untuk menyediakan ruang interaksi yang dapat mendorong
pembentukan hubungan etnik yang efektif. Hubungan etnik yang efektif di sini adalah merujuk
kepada ciri-ciri kesemulajadian dan kekuatan hubungan dalam kalangan murid merentasi etnik
di persekitaran bilik darjah. Ia juga mengambil kira keupayaan murid untuk menyokong antara
satu sama lain dan bekerjasama dalam persekitaran tersebut. Sehubungan itu, pengurusan bilik
darjah oleh guru sekolah merupakan salah satu komponen yang mampu memberi kesan
kepada pembentukan hubungan etnik dalam kalangan murid. Dalam konteks pola pengajaran
dan pembelajaran dalam bilik darjah, walaupun guru berusaha untuk membentuk hubungan
kerjasama antara murid namun persaingan antara murid terbentuk untuk mencapai sesuatu
matlamat atau keperluan pembelajaran (Blaney, 1977). Oleh itu, iklim bilik darjah perlu sesuai
untuk membolehkan murid membentuk persahabatan merentasi etnik yang efektif di
persekitaran bilik darjah.
1
Definisi Persekitaran Pembelajaran Yang Kondusif
Kamus Dewan Edisi Baru (1989): persekitaran merujuk kepada keadaan di sekeliling (sesuatu)
atau keadaan yang menjadi seperti latar belakang (seseorang atau sesuatu). Robert M. Gagne
(1970) di dalam buku Mok Soon Sang (2008): pembelajaran bermaksud perubahan tingkah laku
atau kebolehan seseorang yang dapat dikekalkan, tidak termasuk perubahan yang disebabkan
oleh proses pertumbuhan. Menurut Noriati A. Rashid et. al (2009): kondusif membawa maksud
sesuai. Tuntasnya, persekitaran pembelajaran yang kondusif ialah tempat murid dapat
melibatkan diri, mengambil bahagian dan menumpukan perhatian dalam pembelajaran.
Persekitaran ini mempunyai keupayaan untuk merangsang minat dan semangat murid untuk
terus belajar.
1. Persekitaran Fizikal
Suasana fizikal bilik darjah yang kondusif adalah penting untuki meningkatkan
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Menurut Marland (1975), suasana
fizikal bilik darjah mungkin merupakan ‘kawan’ atau ‘musuh’ dalam proses P&P. Persekitaran
fizikal di dalam bilik darjah merangkumi aspek-aspek seperti susunan dan reka bentuk fizikal di
dalam bilik darjah, sumber bahan pembelajaran, ruang atau sudut pembelajaran, ruang pada
dinding, pencahayaan, pengudaraan dan perabot serta kebersihan. Persekitaran fizikal
kawasan sekolah turut mempengaruhi keberkesanan P&P secara tidak langsung. Aspek ini
merangkumi bentuk bangunan, pokok dan bungaan serta kemudahan seperti tempat bermain
dan perpustakaan. Bangunan sekolah yang indah, kawasan sekolah yang bersih dan ditanam
dengan pelbagai jenis pokok memberikan keselesaan dan ketenangan kepada murid.
2. Persekitaran Psikososial
Psikososial merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan
persekitaran sosialnya. Persekitaran psikososial yang sihat di dalam bilik darjah mempunyai
ciri-ciri seperti suasana selesa dan mesra, bebas daripada ancaman dan bahaya fizikal,
suasana yang merangsang pembelajaran, menggalakkan pembelajaran koperatif dan memberi
peluang yang sama untuk semua murid. Faktor yang memberi kesan kepada persekitaran
psikososial yang sihat ialah pendekatan pengajaran, gaya kepimpinan guru, bentuk komunikasi
dan corak interaksi yang guru wujudkan di dalam bilik darjah.
2
3. Peraturan Dan Disiplin Bilik Darjah
Peraturan merupakan pernyataan yang menentukan perkara-perkara yang boleh dan
tidak boleh dilakukan oleh murid. Contoh peraturan yang biasa ditemui ialah setiap murid
perlulah mempunyai rasa hormat, mesra dan bersifat membantu rakan-rakan mereka, murid
perlu menyiapkan tugasan diberikan serta murid dilarang makan atau minum di dalam kelas
ketika guru mengajar di dalam kelas. Mengikut Model Pengurusan Kounin, asas kepada
keberkesanan pengurusan disiplin bilik darjah bergantung kepada pengawasan dan penyeliaan
yang teliti guru terhadap bilik darjah. Faktor utama dalam mengurus tingkah laku di dalam bilik
darjah menurut Kounin adalah berkaitan dengan kebolehan guru untuk mengawasi semua
perkara yang berlaku di dalam bilik darjah.
4. Rutin Bilik Darjah
Rutin ialah prosedur atau langkah-langkah yang mesti diikuti oleh murid dalam aktiviti
spesifik mereka. Rutin bertujuan melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran. Contoh
amalan rutin ialah guru mengambil kehadiran setiap hari, cara mengedar dan menyimpan
bahan pengajaran, membentuk kumpulan dalam kelas, menghantar buku latihan atau kerja
rumah dan lain-lain. Setiap rutin yang dibentuk hendaklah sentiasa dipantau dan diberi
peneguhan sehingga prosedur-prosedur ini menjadi satu budaya dalam kalangan murid dan
seterusnya menjadi suatu budaya di sekolah tersebut.
Mewujudkan Iklim Bilik Darjah Yang Kondusif
Sistem sosial merupakan sesuatu sistem interaksi dan aktiviti manusia dalam masyarakat.
Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan dalam bilik darjah bergantung kepada
interaksi dan aktiviti di antara guru dengan pelajar-pelajarnya. Sehubungan ini, bilik darjah
merupakan satu sistem sosial yang mana interaksi berlaku melalui aktiviti-aktiviti yang
dirancangkan dan berlandaskan sesuatu strategi pengajaran dan pembelajaran. Ciri-ciri iklim
bilik darjah yang kondusif ialah mengandungi empat ciri utama iaitu hubungan yang saling
hormat-menghormati di antara guru dengan pelajar-pelajarnya, kesukarelaan pelajar-pelajar
menerima aspirasi dan peraturan bilik darjah yang diaturkan oleh pihak pentadbiran sekolah,
perasaan kekitaan yang timbul di antara pelajar-pelajar dengan guru-guru sebagai sebuah
3
keluarga yang mesra dan bahagia dan kewujudan satu keadaan yang setiap pelajar melibatkan
diri dalam kegiatan keilmuan dalam setiap kesempatan, termasuk usaha menggunakan bahasa
dengan betul dan sesuai.
Iklim bilik darjah yang baik adalah iklim bilik darjah yang terbuka dan akan
menggalakkan pelajar bebas berinteraksi di antara pelajar dengan pelajar; pelajar dengan guru,
serta bebas melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti dalam bilik darjah. Guru pula gembira bekerja
dalam keadaan yang mesra dan sempurna. Iklim bilik darjah yang terbuka seperti ini
merupakan iklim bilik darjah yang kondusif, dan iklim positif ini akan dapat membantu sekolah
mencapai aspirasinya, seperti membentuk pelajar dengan sikap dedikasi, berinisiatif, rela
bekerjasama, ramah dan mesra, spontan dan kreatif, serta lebih tinggi motivasinya.
Ringkasnya, iklim bilik darjah yang dikatakan kondusif adalah sebuah bilik darjah yang
dikelolakan dengan baik, yang elok dipandang dan yang teratur susunannya. Keadaan ini akan
memberi kesan cita rasa, semangat, kesejahteraan, dan bahagia kepada pelajar-pelajar yang
menggunakannya untuk menjalankan aktiviti pembelajaran mereka. Iklim bilik darjah yang
kondusif ini akan meningkatkan keberkesanan aktiviti pengajaran-pembelajaran.
RUJUKAN
Amir Hassan Dawi (2006). Penteorian Sosiologi dan Pendidikan. Tanjung Malim : Quantum
Books.
James Ang Jit Eng. (2011). Pengurusan Disiplin Murid (Edisi Kedua). Batu Caves : PTS
Professional Publishing Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang (2008). Murid dan Alam Belajar. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
4
Download