Kerja dan Tanggungjawab (Obligasi) dalam Kontrak Mat Noor Mat Zain Manusia sememangnya mengerahkan sepenuh tenaga dan dayanya bagi mendapatkan punca kehidupan seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan seumpamanya sama ada perkara keperluan asas atau sampingan. Usaha untuk mendapatkan harta sangat dituntut dalam Islam. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menyuruh umat Islam supaya bekerja untuk mendapatkan sesuatu harta. Antaranya ayat yang menyatakan kedudukan tersebut adalah firman Allah SWT (al-Qur’an, al-Jumu‘ah, 10): ﭨﭩﭪﭫﭬﭭ ﭮﭯﭰﭱﭲﭳﭴ ﭵﭶ Maksudnya: Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masingmasing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). Sabda Rasulullah SAW (al-Bukhari 1989, 2: 836): Maksudnya: Jika seseorang membawa seutas tali, kemudian dia mencari kayu, kemudian dia ke pasar dan menjualnya, lalu dia mendapatkan hasilnya dan membelanjakan untuk dirinya, itu adalah lebih baik daripada dia meminta-minta daripada orang lain, yang akan memberi kepadanya atau tidak. Nabi SAW juga menjawab pertanyaan mengenai amalan yang lebih afdal dengan mengatakan (al-Bayhaqi 1994/1414H, 5: 263): Maksudnya: (Amalan yang paling baik) ialah kerja seseorang lelaki dengan usahanya sendiri dan semua jenis jual beli yang bebas daripada sebarang kepincangan. Walaupun kerja sendiri itu lebih afdal tetapi ia juga melibatkan pihak lain kerana manusia tidak mampu bersendirian, perlu kepada orang lain untuk mendapatkan apa yang tidak ada padanya. Oleh itu, hampir keseluruhan kehidupan manusia adalah tertumpu kepada kegiatan mereka sama ada secara persendirian atau melibatkan pihak 16 Isu Syariah & Undang-undang Siri 20 kedua. Kegiatan mereka ini dikenali sebagai kegiatan ekonomi. Islam sebagai agama kamil yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan, oleh itu selain mengatur hubungan manusia dengan Penciptanya, ia juga mengatur hubungan manusia sesama mereka dan hubungan mereka dengan makhluk selainnya. Perhubungan manusia sesama manusia yang kebanyakannya melibatkan kegiatan kehidupan seharian mereka yang membabitkan transaksi di antara mereka juga telah diatur oleh Islam. Ia dikenali sebagai fiqh muamalah. Kegiatan muamalah dalam Islam pada kebiasaannya melibatkan dua pihak atau lebih. Asas perhubungan di antara pihak-pihak terbabit adalah berasaskan suatu ikatan yang dikenali sebagai kontrak. Setelah pembentukan sesuatu kontrak tertentu dilakukan, bermakna pihak-pihak terlibat telah bersetuju untuk membentuk hubungan yang mengikat yang kemudiannya juga akan membuahkan hasil dan implikasi asas yang sejajar dengan tuntutan kontrak itu. Tuntutan kontrak ialah hukum-hukum asasi yang telah ditetapkan oleh syarak bagi setiap kontrak, sama ada secara langsung melalui nas atau ijtihad para mujtahid, dengan tujuan mengimbangi hak-hak di antara pihakpihak berkontrak (Wahbah al-Zuhayli 1989). Selain daripada itu, kontrak juga akan disusuli dengan sesuatu implikasi tertentu. Implikasi kontrak sama ada hukum khusus atau obligasi tertentu yang seiring dengan tuntutan kontrak dari segi konsepnya adalah ditentukan oleh syarak. Obligasi yang terbentuk daripada kontrak itu sama ada menuntut supaya melakukan sesuatu atau menahan diri daripada melakukan sesuatu. Ia terangkum dalam beberapa perkara yang utama iaitu perpindahan pemilikan sesuatu benda atau manfaat, pembentukan sesuatu perbuatan tertentu sama ada kerja atau penyempurnaan tugas, tanggungan sesuatu hutang dan penjagaan. Kerja adalah suatu implikasi yang berbentuk tanggugjawab dan hak rentetan daripada terbentuknya sesuatu kontrak. Kerja juga dikenali sebagai tindak tanduk atau tindakan yang merupakan hukum asal sesuatu kontrak yang telah ditentukan oleh syarak dan ia juga boleh berbentuk implikasi sampingan kepada sesuatu kontrak yang sama ada ditetapkan oleh syarak atau ditentukan oleh pihak-pihak terbabit melalui syarat yang dimasukkan ke dalam kontrak. Fokus perbincangan dalam tulisan ini adalah berkaitan dengan kerja atau sebarang tindak tanduk berbentuk kerja, yang timbul melalui pembentukan kontrak. Konsep Kerja Dalam al-Mu‘jam al-Wasit (T.Th.), kerja juga dikenali dengan perkhidmatan dan perbuatan atau tindakan dengan sesuatu niat. Ibn Manzur (T.Th.) pula menyatakan bahawa kerja dalam Islam merangkumi tindakan anggota dan juga hati. Sebahagian ulama bahasa mengatakan ia adalah mengadakan sesuatu perkara sama ada melalui Kerja dan Tanggungjawab (Obligasi) dalam Kontrak 17 pengucapan kata atau perbuatan, sama ada dengan anggota atau hati. Menurut Nafrawi (1994/1415H), kerja dari segi istilah juga tidak terkeluar daripada penggunaan dari segi bahasa tersebut. Namun demikian, menurut ‘Abd al-Baqi dalam kitabnya, ‘Ilm alIjtima‘ al-Islami (1984), kerja adalah sesuatu aktiviti berproduktif yang dilakukan oleh seseorang dalam sesuatu jawatan, profesyen atau pertukangan. Dengan ini, terdapat dua unsur kerja iaitu aktiviti dan produktiviti. Sebahagian ulama mendefiniskan kerja sebagai satu kumpulan kewajipan dan tanggungan yang mesti dilakukan setelah memenuhi syarat-syarat tertentu pada pelakunya, sejajar dengan jenis dan kepentingan, yang dibenarkan bagi merealisasikan matlamat ia dibentuk (al-Qabbani 1982H: 91). Definisi ini adalah hasil kesepaduan definisi kerja asas yang dinamakan usaha manusia secara bersendirian dengan kerja yang dicetuskan oleh seseorang melalui kontrak yang dilakukan dengan pihak lain. Kerja yang berasaskan tanggungjawab dan tanggungan ini adalah yang menjadi asas perbincangan mengenai kerja dalam kontrak kerja, iaitu sebagai implikasi kepada pembentukan kontrak. Kerja dalam apa bentuk dan sumbernya adalah sangat dituntut dalam Islam. Ia dikira suatu peribadatan. Firman Allah SWT (alTawbah, 106): ﯟ ﯠ ﯡ ﯢ ﯣ ﯤ ﯥﯦ Maksudnya: Katakanlah wahai Muhammad: “Hendaklah kamu bekerja, kerana Allah, Rasul dan orang mukmin akan melihat kerja kamu itu.” Oleh itu, ia mesti dilakukan dengan penuh iltizam dengan mematuhi segala tuntutan dan peraturan syarak mengenainya. Oleh itu, kerja terikat dengan hukum syarak yang lima, iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan mubah. Ia berubah bergantung kepada situasi dan keadaan serta subjek kerja yang dilakukan dalam pelbagai bidang muamalah. Dengan ini, kerja yang berbentuk ketaatan akan diberi pahala dan yang berbentuk kemaksiatan akan dibalas dengan dosa kecuali yang termasuk dalam perkara yang dimaafkan oleh Allah SWT. Kerja yang dibincangkan adalah kerja yang berkaitan dengan muamalah, iaitu kerja yang dicetuskan oleh kontrak. Kerja yang dicetuskan oleh kontrak muamalah itu ada yang matlamatnya asas atau implikasi asas adalah kerja seperti kontrak kerja (al-ijarah). Ada sebahagian kontrak yang menimbulkan kerja tertentu walaupun asal kontrak itu adalah untuk tujuan lain seperti perkongsian. Namun demikian tidak semua transaksi muamalah berasaskan kerja kerana ada kontrak yang tidak menimbulkan apa-apa kerja seperti kontrak ibra’ dan seumpamanya. Kerja yang diakibatkan oleh kontrak itu adalah berbentuk tindakan atau perbuatan tertentu (tasarruf). Kerja ini juga dikenali sebagai 18 Isu Syariah & Undang-undang Siri 20 tanggungjawab atau obligasi (iltizam) yang perlu dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan atau hak pihak lain. Namun demikian, tidak semua tindak tanduk itu mengakibatkan kerja berasaskan kontrak dan tidak semua obligasi itu berbentuk kerja. Oleh itu, kedudukan kerja dalam kontrak perlu dilihat dan dikupas dengan terperinci untuk memberi gambaran yang jelas dari segi konsep asal dan bentuk kerja yang dicetuskan oleh kontrak itu. Sebelum perkara tersebut dihuraikan, perlu juga dihuraikan istilah-istilah yang mempunyai perkaitan dengan subjek, iaitu kerja. Peranan Kontrak dalam Membentuk Kerja Kontrak adalah salah satu tindak tanduk manusia seharian dan berperanan sebagai pemangkin dalam urusan dan transaksi sesama manusia. Dalam mentakrifkan kontrak atau kontrak dari segi istilah, ulama mempunyai dua pandangan. Takrif pertama lebih bersifat umum sementara takrif kedua lebih bersifat khusus. Definisi kontrak secara umum adalah, “setiap yang diazamkan oleh seseorang untuk melakukan sesuatu sama ada ia memadai dengan kehendak seseorang individu atau melibatkan pihak lain yang sama keinginan dengannya bagi mengadakannya” (Yusuf Musa 1958). Dengan ini, kontrak merangkumi semua bentuk tindakan yang boleh mendatangkan obligasi, sama ada yang lahir daripada kehendak dua pihak, ataupun yang lahir dari sebelah pihak. Sementara kontrak secara khusus pula bermaksud “Suatu persetujuan di antara dua pihak ke atas sesuatu perkara tertentu yang melahirkan kesan kuatkuasa undang-undang ke atas pihak-pihak yang terlibat” (Sobri Salamon 1992). Dengan ini, kontrak mestilah terbentuk daripada persepakatan kehendak dua pihak, dengan ini tindakan atau kehendak sebelah pihak tidak boleh dinamakan kontrak. Sebaliknya ulama menamakannya ijabat, iqa‘at atau ikhrajat (al-Dusuqi, t.th.). Namun begitu, sehingga sekarang istilah kontrak dengan kedua-dua makna tersebut masih lagi terdapat perselisihan pendapat dan keduaduanya digunakan secara meluas oleh ulama semasa. Sesuatu kontrak, apabila sudah lengkap unsur-unsur dan segala syarat-syaratnya maka pembentukan juga sempurna. Kontrak yang sempurna akan disusuli dengan sesuatu natijah atau hasil tertentu. Ia merupakan matlamat asasi diadakan kontrak sama ada berbentuk sesuatu hukum. Natijah yang dihasilkan itu secara umumnya dikenali dengan implikasi kontrak dan ia dinamakan oleh fuqaha’ sebagai hukum dan hak-hak kontrak. Implikasi itu apabila dilaksanakan oleh pihak-pihak yang terlibat akan menjadikan kontrak itu berakhir. Perundangan Islam membezakan di antara hukum dan hak-hak (‘Ali al-Khafif 1996), di mana hukum1 adalah kesan asal dan matlamat utama sesuatu kontrak itu dilakukan oleh pihak-pihak terbabit (alSanhuri 1954; al-Zuhayli 1989). Ia juga dinamakan dengan kesan-kesan khusus, iaitu hukum-hukum dan hasil-hasil berupa hak-hak tertentu Kerja dan Tanggungjawab (Obligasi) dalam Kontrak 19 yang disusuli oleh setiap kontrak mengikut subjeknya (al-Zarqa’ 19671968). Ia juga dikenali sebagai kesan asal bagi kontrak atau matlamat asasi yang dimaksudkan dengan kontrak (al-Zuhayli 1989). Dalam sesuatu kontrak, subjeknya sama ada sesuatu benda atau sesuatu manfaat. Ia juga sama ada membentuk hutang piutang atau terjadi pada sesuatu pekerjaan tertentu. Berdasarkan keadaan ini, implikasi kontrak bolehlah disimpulkan kepada beberapa bentuk natijah utama seperti berikut; iaitu sama ada perpindahan pemilikan dengan ada balasan, atau pemindahan manfaat dengan ada balasan, atau disusuli oleh hutang pada tanggungan seseorang, atau mewajibkan sesuatu perbuatan (kerja) tertentu (al-Sanhuri 1954). Setiap kontrak mu‘awadah mempunyai kesan yang tersendiri berdasarkan ketentuan hukum syarak dan kedudukannya dapat dilihat ketika membahaskan setiap kontrak secara khusus (‘Ali Qura‘ah t.th.; al-Zarqa’ 1967-1968). Semua kontrak yang sahih mesti membentuk sesuatu obligasi, sama ada terhadap salah satu pihak berkontrak atau beberapa obligasi di antara pihak-pihak berkontrak. Iltizam yang dibentuk itu adalah suatu kesan khusus bagi setiap jenis kontrak mengikut subjek dan syaratsyarat yang diperuntukkan oleh pihak-pihak terlibat. Dalam kontrak tertentu, ia menimbulkan obligasi tertentu ke atas salah satu pihak berkontrak, seperti dalam perjanjian untuk memberi hadiah. Sementara hak-hak kontrak pula ialah obligasi dan tuntutan yang mengiringi sesuatu kontrak bagi menyempurnakannya dan membolehkan pihak-pihak berkontrak mendapat faedah daripadanya sebaik mungkin (Shalabi 1983). Ia juga dinamakan sebagai implikasi sampingan sesuatu kontrak. Obligasi yang dimaksudkan itu ialah keadaan seseorang itu dibebankan dengan melakukan sesuatu2 atau menahan daripada melakukan sesuatu3 bagi kemaslahatan pihak lain (al-Zuhayli 1989; al-Zarqa’ 1967-1968; Qal‘ahji & Qunaybi 1985). Setelah selesai pembentukan kontrak, pihak-pihak yang berkontrak selain daripada sabit hukum asas kontrak, mereka juga bertanggungjawab melaksanakan semua isi kandungan kontrak sama ada yang dipersyaratkan atau tuntutan asal. Juga sama ada perpindahan pemilikan dengan ada balasan, atau pemindahan manfaat dengan ada balasan, atau disusuli oleh hutang pada tanggungan seseorang, atau mewajibkan sesuatu perbuatan (kerja) tertentu (al-Sanhuri 1954). Obligasi yang ditimbulkan oleh kontrak berbeza dengan hukum asal sesuatu kontrak.4 Obligasi adalah kedudukan seseorang dibebankan dengan sesuatu perbuatan atau tegahan daripada melakukan sesuatu perbuatan. Contoh keadaan pertama, penyerahan barang jualan dan penjelasan harga, manakala contoh keadaan kedua adalah seperti tidak melakukan kesalahan terhadap jiwa atau harta orang lain, dan tidak menggunakan barang simpanan. Faktor yang menimbulkan obligasi adalah sama ada syarak, seperti pemberian nafkah kepada kaum kerabat, atau sumbernya adalah 20 Isu Syariah & Undang-undang Siri 20 kontrak seperti tanggungjawab menunaikan sewa dan harga. Antara faktornya juga adalah sesuatu perbuatan yang memudaratkan seperti ganti rugi terhadap barang yang dihilangkan. Sedang hukum asal kontrak tercapai dan berlaku dengan penentuan syarak sebaik sahaja berlaku pembentukan kontrak secara sahih. Ia tidak perlu kepada pelaksanaan. Contohnya, sebaik sahaja terbentuknya kontrak jual beli secara sahih, maka pemilikan barangan atau hak milik berpindah kepada pembeli. Sementara obligasi perlu kepada pelaksanaan kerana ia adalah bebanan yang ditanggung seseorang individu bagi kemaslahatan hak orang lain. Meskipun hak pemilikan telah bertukar dengan hanya terbentuk kontrak jual beli, tetapi implikasi itu perlu kepada pelaksanaan obligasi oleh penjual, iaitu melakukan penyerahan barang jualan kepada pembeli. Penyerahan inilah dinamakan obligasi atau tanggungjawab kontrak. Ibn ‘Abidin (1966) semasa menghuraikan hukum jual beli menyatakan bahawa, hukumnya (jual beli) sabit pemilikan kedua-dua balasan, di mana salah satu pihak memperoleh balasan daripada pihak satu lagi dan begitu juga pihak satu lagi. Ini dinamakan “hukum asal kontrak jual beli”. Dan “hukum sampingan”nya ialah kewajipan penyerahan barang jualan dan harga jualan ....” Obligasi dan tanggungan yang dicetuskan oleh sesuatu kontrak ada dua jenis (al-Zarqa’ 1967-1968): 1. Obligasi yang wujud sejajar dengan kewujudan sesuatu kontrak dan melaziminya. Obligasi ini telah disusun oleh syarak sebagai implikasi kepada kontrak, kadang-kadang berbeza di antara satu kontrak dengan kontrak yang lain seperti tanggungan menyerah barang jualan, membayar ganti rugi disebabkan kerosakan dan penunaian harga barang oleh pembeli dalam kontrak jual beli. Semua implikasi sedemikian dinamakan tuntutan kontrak (muqtada al-‘aqd), akan wujud walaupun tidak disebut semasa pembentukan akad. 2. Obligasi dan tanggungan yang dipersyaratkan oleh pihak-pihak berkontrak itu sendiri seperti penggunaan barang yang dijual dalam satu tempoh tertentu selepas penjualan, menghantar barang jualan ke rumah pembeli, membayar upah awal dan sebagainya.5 Berdasarkan kedudukan tersebut, nyata bahawa kerja adalah suatu tanggungjawab dan obligasi yang berbentuk tindakan dan perbuatan tertentu. Ia wujud akibat daripada pembentukan sesuatu kontrak. Ini kerana antara hukum asas sesuatu kontrak adalah membentuk sesuatu kerja atau perbuatan tertentu. Begitu juga dengan implikasi sampingan sesuatu kontrak yang antaranya adalah mensabitkan tanggungjawab dan kewajipan melakukan sesuatu tindakan dan kerja tertentu. Kerja yang merupakan hukum asal kontrak sabit berasaskan kehendak syarak tetapi kerja yang sabit sebagai implikasi kontrak pula berasaskan sama ada Kerja dan Tanggungjawab (Obligasi) dalam Kontrak 21 tuntutan syarak atau kehendak pihak-pihak berkontrak melalui syarat yang dimasukkan dengan persetujuan mereka. Dengan ini, jelas bahawa kontrak adalah faktor yang mewujudkan kerja tertentu. Namun demikian, tidak dinafikan bahawa bukan semua kerja itu sabit melalui kontrak. Kerja yang juga dikenali sebagai usaha seseorang individu menghasilkan sesuatu dengan tenaga empat kerat itu adalah kerja yang tiada kaitan dengan kontrak selagi dia tidak melakukannya melalui kontrak dengan pihak lain. Begitu juga dengan kerja dan tanggungjawab yang muncul akibat sesuatu tindakan yang dilakukan oleh seseorang individu dan kemudiannya menyebabkan dia bertanggungjawab menjalankan sesuatu perbuatan atau tindakan tertentu, maka ia juga bukan faktor yang mewujudkan kerja berasaskan kontrak. Dengan ini, boleh disimpulkan, kontrak adalah salah satu faktor yang mewujudkan kerja, bukan satu-satunya faktor. Perkaitan Kerja dengan al-Tasarruf, al-Iltizam dan Hak Perbincangan mengenai perbezaan antara tindakan, obligasi dan kontrak ini dikemukakan kerana perkataan kontrak digunakan dengan kedua-dua maksud, umum dan khusus. Sudah tentu skop perbincangan dan ciri-cirinya sangat berbeza di antara kedua-duanya. Sekiranya kita gunakan dalam bentuk umum, kita terpaksa memasukkan tasarruf dari satu pihak seperti talak dan sebagainya, sebaliknya jika kita gunakan dalam bentuk yang khusus, kita hanya memfokuskan perbincangan tasarruf yang berbentuk mengikat di antara dua belah pihak berdasarkan kehendak-kehendak mereka yang dilafazkan. Ia juga penting dalam memahami konsep yang digunakan oleh sesetengah ulama dalam penggunaan istilah kontrak dalam pembahasan mengenai semua jenis tasarruf seperti talak, memerdekakan hamba, sumpah dan sebagainya tanpa ada penjelasan terlebih dahulu mengenainya. Dengan mengetahui batas-batas tindakan yang merangkumi kontrak, obligasi dan sebagainya ini memudahkan kita memahami kehendak sebenar sesuatu kandungan. Menurut Abu Zuhrah (1976), “al-tasarruf” ialah “setiap perilaku yang terbentuk daripada perkataan seseorang dan ditetapkan oleh syarak sesuatu hukum syarie di masa akan datang”, tetapi definisi beliau telah dikritik bahawa ia tidak lengkap kerana tidak merangkumi “tasarruf” yang berbentuk perbuatan. Oleh itu, sebahagian ulama mendefinisikan, al-tasarruf atau (tindak tanduk/tindakan) sebagai apa-apa yang lahir daripada seseorang yang mumayyiz (yang tahu baik buruk sesuatu perkara) dengan kehendaknya sendiri dan ditentukan dengan sesuatu natijah (penguatkuasaan) oleh syarak. Dengan ini, ia berbeza dengan kontrak dalam satu aspek dan sama dengannya dalam aspek yang lain pula. Ini kerana kontrak atau akad merupakan sesuatu yang mendatangkan obligasi dan ditentukan kewujudannya oleh persepakatan kehendak yang lahir daripada naluri 22 Isu Syariah & Undang-undang Siri 20 manusia, diluahkan melalui ungkapan perkataan. Ungkapan perkataan ini adalah salah satu tindakan manusia. Dalam mengetahui kedudukan dan hubungan akad ini dengan tindak tanduk serta perilaku manusia, perlu juga dilihat kedudukan tindak tanduk atau tasarruf. Tindak tanduk manusia terbahagi kepada dua iaitu (al-Zarqa’, Mustafa Ahmad 1967-1968); Pertama, tindakan secara perbuatan; iaitu sesuatu yang berdasarkan amalan yang bukan berbentuk lisan seperti mendapatkan sesuatu yang harus milik (mubah), rampasan, menghilangkan sesuatu perkara, penyerahan, mendapatkan sesuatu dan seumpamanya. Kedua, tindakan secara percakapan pula terbahagi kepada dua iaitu; kontrak dan bukan kontrak. Tindakan secara percakapan berbentuk kontrak ialah sesuatu yang terbentuk daripada dua ungkapan perkataan daripada dua belah pihak yang bersangkutpaut antara satu sama lain seperti jual beli, perkahwinan dan seumpamanya. Tindakan melalui percakapan tidak berbentuk kontrak pula terdiri daripada dua jenis, iaitu: 1. Jenis yang mengandungi kehendak membentuk sesuatu hak dan keazaman bersungguh-sungguh daripada seseorang dengan tujuan membentuk sesuatu hak atau menghentikannya atau menggugurkannya seperti wakaf, talak, memerdekakan hamba, pelupusan sesuatu tanggungjawab dan pelepasan daripada hak shuf‘ah. Ada juga ulama yang menamakan jenis ini sebagai kontrak kerana ia mengandungi keazaman untuk membentuk atau pun mengugurkan sesuatu hak, maka ia adalah kontrak sebelah pihak, sama seperti kontrak dwi pihak jika dinilai kewujudan kehendak untuk membentuk sesuatu hak. 2. Jenis keduanya pula ialah yang tidak mengandungi kehendak untuk membentuk sesuatu hak atau menggugurkannya tetapi ia berupa perkataan daripada pihak-pihak lain yang boleh menimbulkan kesan berbentuk hak, seperti pendakwaan, pengakuan, penginkaran dan sumpahan. Semuanya ia merupakan perkhabaran yang membolehkan wujudnya sesuatu penguatkuasaan dan hukum. Jenis ini adalah tindakan berbentuk percakapan sahaja, tidak ada sedikit pun yang berupa kontrak (Badran 1973; Zaydan 1986). Dengan melihat kepada pembahagian tindakan (tasarruf) manusia itu, nyatalah kepada kita bahawa tindakan berbentuk perbuatan tidak sedikit pun mempunyai persamaan dengan kontrak. Dan tasarruf berbentuk percakapan berupa kontrak adalah sama dengan kontrak lantaran kedua-duanya wujud persepakatan dua kehendak. Tasarruf berbentuk percakapan yang bukan kontrak kadang-kadang dinamakan kontrak oleh sesetengah ulama yang mengkategorikan tindakan (tasarruf) itu adalah kontrak, kerana mereka mentakrifkan kontrak itu ialah setiap apa yang dikontrakkan oleh seseorang serta diazamkannya sekalipun ia daripada percakapan sebelah pihak. Ini mengikut jenis yang pertama. Sementara jenis yang kedua pula ia berupa perkataan semata-mata. Ia tidak ada kaitan langsung dengan kontrak. Berdasarkan Kerja dan Tanggungjawab (Obligasi) dalam Kontrak 23 pengkelasan ini, jelaslah bahawa tindakan itu lebih umum daripada kontrak kerana kontrak adalah sebahagian daripada tindakan kerana ia semata-mata perkataan. Adapun tindakan (tasarruf), ia merangkumi kontrak dan selainnya, termasuklah ikatan persetiaan (ta‘ahhudat), obligasi dan penguguran sesuatu hak yang ia dilaksanakan terhadap orang yang melahirkannya tanpa berhajat kepada penerimaan orang lain seperti wakaf, talak, dan sebagainya. Maka setiap kontrak itu adalah tindakan dan tidak sebaliknya. Memandangkan kerja adalah satu tindakan dan tindak tanduk yang lahir daripada kontrak, maka ia adalah sebahagian daripada tasarruf tetapi bukan secara mutlak kerana ia hanyalah tasarruf yang berbentuk tindakan atau perbuatan yang dilakukan bagi memenuhi kewajipan dan menunaikan hak pihak yang berkontrak dengannya. Dengan ini, kerja adalah sebahagian daripada tasarruf yang berbentuk tindakan atau perbuatan. Berdasarkan definisi tasarruf, kerja yang merupakan sebahagian daripadanya juga merangkumi obligasi (iltizam) kerana obligasi ditakrifkan sebagai tindakan yang mengandungi keinginan mengadakan sesuatu hak atau menggugurkannya daripada mana-mana pihak tanpa ditentukan kesempurnaannya oleh pihak yang lain (Madkur 1963). Berdasarkan takrif ini obligasi mempunyai persamaan dengan tasarruf kerana beberapa ciri utama tasarruf sama dengan ciri-ciri obligasi atau iltizam antaranya, tindakan yang mesti dilakukan sebagai balasan kepada tanggungjawab daripada pihak lain seperti jual beli, sama dengan tindakan yang ditentukan kesempurnaannya oleh penerimaan daripada pihak yang satu lagi, juga sama dengan tindakan yang dihasilkan oleh sebelah pihak tanpa terhenti penentuannya oleh pihak yang lain, seperti dalam talak dan ia juga sama dengan tindakan yang mengandungi kehendak membentuk sesuatu hak, atau menggugurkannya atau menyelesaikannya. Walau bagaimanapun ia bersifat lebih khusus daripada tindakan dari segi ia tidak mengandungi tindakan yang tidak berbentuk perkaitan dengan pihak yang lain sebaliknya ia merupakan perkataan daripada pihak lain yang mengakibatkan sesuatu natijah daripadanya, seperti pendakwaan, pengakuan, sumpah dan ikrar. Obligasi juga sama dengan kontrak dengan makna yang umum yang merangkumi tindakan sebelah pihak, tetapi berbeza dengan makna khas kerana aqad secara khas mesti terbentuk dari dua belah pihak sedangkan obligasi boleh terjadi dengan pembentukan sesuatu hak dari sebelah pihak sahaja. Sebagai kesimpulannya, tindakan atau tasarruf itu lebih umum daripada kontrak dan juga obligasi. Kontrak mengikut definisinya yang umum dan obligasi adalah sama dan seerti, tetapi obligasi lebih umum jika dibandingkan dengan kontrak yang khusus. Jadi kontrak dengan makna ini adalah salah satu jenis daripada obligasi dan lebih khusus daripada kalimah tasarruf. Maka setiap kontrak itu adalah tasarruf 24 Isu Syariah & Undang-undang Siri 20 tetapi bukan setiap tasarruf itu kontrak. Perbezaan ketiga-tiga istilah wujud sekiranya kita menakrif kontrak dengan makna yang khusus, tetapi tidak dengan makna yang lebih umum. Obligasi kadang kala mengiringi kontrak itu sendiri iaitu implikasi yang telah disusun oleh syarak bagi asal kontrak itu sendiri. Dengan kata lain, kontrak itu sendiri yang membentuk obligasi tersebut. Contohnya tanggungjawab menyerahkan barang jualan, menjamin keaiban dan seumpamanya. Namun demikian, kadang kala obligasi dan tanggungjawab itu muncul melalui syarat yang dipersetujui oleh pihakpihak berkontrak untuk dimasukkan ke dalam kontrak seperti tanggungjawab menghantar barang jualan ke rumah pembeli dan seumpamanya. Dengan ini jelas kepada kita bahawa kerja adalah sebahagian daripada kontrak jika dilihat kepada kontrak kerja atau ijarat alashkhas dan ia juga merupakan implikasi asas kepada kontrak tersebut tetapi kerja juga merupakan implikasi sampingan kepada beberapa kontrak lain yang juga membentuk kerja tertentu walaupun bukan sebagai implikasi atau hukum asas kontrak. Kerja dalam bentuk terakhir ini juga adalah terangkum dalam tindakan dan sebahagian daripada obligasi kerana ia adalah tindakan dan obligasi, walaupun tidak semua tindakan dan obligasi itu adalah kerja. Kerja dan Penunaian Hak Istilah hak digunakan untuk dua makna; Pertama, hukum yang sejajar dengan realiti. Ia digunakan bagi menyatakan hukum perkataan/pandangan, akidah, agama dan mazhab kerana ia merangkumi kesemuanya. Lawannya adalah batil. Penggunaan kedua istilah hak adalah bermakna sesuatu kewajipan yang sabit. Ia terbahagi kepada dua, iaitu hak Allah SWT dan hak hamba. Namun demikian, penggunaan istilah hak mengikut fuqaha’ pada kebiasaannya merujuk kepada sesuatu yang perlu diperolehi oleh seseorang (Ibn Nujaym, t.th.). Kemudiannya, ia digunakan bagi pelbagai tujuan dan dalam pelbagai aspek. Antaranya adalah hak-hak berkaitan dengan obligasi dan tanggungjawab yang disusuli setelah pembentukan kontrak dan berkaitan dengan pelaksanaannya, tetapi bukan hukum asas kontrak. Dengan kata mudah, hak adalah pelbagai perkara yang harus kita perolehi daripada orang lain. Ia juga berkaitan dengan hak orang lain yang perlu kita sempurnakan melalui sesuatu sebab tertentu, seperti kontrak. Kita harus menghormati hak orang lain sebelum menagih apa yang menjadi hak kita. Kewajiban adalah segala sesuatu yang wajib/harus kita kerjakan. Biasanya kewajiban merupakan hak orang lain yang harus kita tunaikan. Segala bentuk kewajiban harus segera dilaksanakan, jika Kerja dan Tanggungjawab (Obligasi) dalam Kontrak 25 tidak dilaksanakan akan memberikan kesan buruk bagi diri sendiri ataupun orang lain. Kewajiban berasal daripada kata wajib yang bererti mesti, tidak boleh tidak. Dengan demikian kewajiban adalah segala sesuatu yang mesti dilakukan. Biasanya, kewajiban juga berkait rapat dengan sesuatu yang lain yang manfaatnya juga akan kembali pada kedua-duanya. Di situlah keduanya memiliki sebuah korelasi yang sangat kuat, hak dan kewajiban berdampingan antara satu sama lain, bahkan kadang-kadang terjadi tashabuh di antara keduanya. Apabila berkait dengan tashabuh tersebut, muncul pertanyaan apa yang mesti didahulukan, hak atau kewajiban? Sebelum dan sesudahnya, untuk menyelaraskan antara hak dan kewajiban kita, kita pun mesti menyedari apa-apa yang menjadi kewajiban kita sebelum menuntut hak kita. Memang kadang-kadang hak yang kita inginkan tidak sesuai dengan apa yang kita harapkan, atau tidak sesuai dengan kenyataan, tapi di sinilah kunci pahala yang kemudiannya akan kita perolehi kelak. Kerja dalam kontrak adalah sesuatu kewajipan yang mesti ditunaikan akibat persetujuan seseorang untuk menunaikannya melalui perjanjian atau kontrak yang dimeterai. Ia adalah hak pihak satu lagi untuk mendapatkannya. Persetujuan menunaikan kewajipan oleh pihak pertama juga disebabkan dia juga ingin mendapatkan haknya, iaitu upah atau ganjaran tertentu yang juga dipersetujui oleh pihak kedua untuk ditunaikan. Ini yang biasa berlaku dalam kontrak, terutamanya kontrak pertukaran atau mu‘awadah. Kerja dan tanggungjawab yang timbul daripada sesuatu kontrak bukanlah berkekalan, tetapi hanya sementara, boleh berakhir dengan sesuatu sebab tertentu, dan yang terpentingnya ialah pelaksanaan (altanfidh) atau penyempurnaan (al-ifa’). Dengan pelaksanaan tanggungjawab kerja tersebut, maka hak tertunai dan dengan sendirinya kontrak berakhir. Pelaksanaan adalah umum untuk semua jenis obligasi, tetapi obligasi kontrak mempunyai sebab-sebab khusus bagi menamatkannya, sama ada penamatan itu dilakukan sebelum atau semasa perlaksanaan kontrak, atau disebabkan tamat tempoh kontrak (Mahmasani 1983). Selain daripada itu kontrak juga boleh berakhir secara iqalah, fasakh sama ada disebabkan tabiat semulajadi kontrak atau kerana terdapat sesuatu khiyar, dan dengan terbatalnya sesuatu kontrak atau ia menjadi fasid. Implikasi Tidak Menunaikan Tanggungjawab Kerja Setelah selesai pembentukan kontrak, pihak-pihak yang berkontrak bertanggungjawab melaksanakan semua isi kandungan kontrak sama ada yang dipersyaratkan atau tuntutan asal. Pelaksanaan adalah sebab yang paling penting dalam menggugurkan semua obligasi, bukan sahaja kontrak. Ia melibatkan penunaian kandungan kontrak secara ainnya, tambahan pula ia adalah matlamat asal setiap kontrak yang dilakukan. 26 Isu Syariah & Undang-undang Siri 20 Pelaksanaan boleh diibaratkan sebagai satu kontrak, di mana orang yang bertanggungjawab menunaikan sesuatu yang perlu diberikan kepada pemberi hutang sebagai balasan terhadap kewajipan yang dia mesti laksanakan (Madkur 1963). Syariat Islam sangat menggalakkan penunaian semua jenis obligasi yang disyarakkan. Dalam kontrak yang melibatkan kerja, sama ada kerja itu menjadi matlamat asas kontrak atau implikasi sampingan, maka ia juga wajib ditunaikan kerana sama ada memenuhi tuntutan kontrak atau syarat yang dipersetujui. Kewajipan menunaikan tanggungjawab kerja ini jika berasaskan tuntutan kontrak telah dinyatakan oleh Allah SWT (alMa’idah, 5: 1): ﮊﮋﮌﮍﮎ Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Kewajipan menunaikan apa-apa bentuk tanggungjawab sama ada berbentuk kerja atau seumpamanya yang dipersetujui melalui syarat adalah berdasarkan Sabda Nabi SAW yang berbunyi (al-Albani, alIrwa’, 1985): Maksudnya: Setiap orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang dilakukan di antara mereka (melalui persetujuan bersama). Ayat dan hadis di atas adalah umum mengenai kewajipan menunaikan apa sahaja yang dipersyaratkan oleh seseorang ke atas dirinya sendiri selagi tidak ada dalil lain yang mengkhususkannya (alMawsu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 1404H-1427H). Sesuatu kontrak, apabila terbentuk secara sahih maka pihak-pihak terlibat hendaklah melaksanakan tanggungjawab yang dikenakan ke atasnya. Jika dalam kontrak melibatkan dua belah pihak, setiap pihak berkontrak mesti menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi melaksanakan hak setiap daripada mereka. Jika tidak dilaksanakan tanggungjawab tersebut, maka pihak terbabit tidak bebas, terikat kepada beberapa peruntukan hukum syarak. Dalam fiqh Islam, kaedah yang asas dalam perlaksanaan tanggungjawab adalah tidak ada perkaitan di antara dua obligasi atau tanggungjawab yang berlainan dalam kontrak yang mengikat kepada kedua-dua belah pihak. Setiap daripada pihak yang berkontrak mempunyai tanggungjawab masing-masing. Majikan bertanggungjawab memberi upah kepada pekarja sebagai balasan terhadap tanggungjawab pekerja melakukan kerja yang telah ditetapkan untuknya, maka tanggungjawab setiap daripada mereka adalah berasingan. Berasaskan kedudukan tersebut, keengganan pelaksanaan daripada pihak-pihak terlibat tidak membolehkan kontrak tersebut dibatalkan. Ini Kerja dan Tanggungjawab (Obligasi) dalam Kontrak 27 kerana dari segi prinsipnya, kontrak yang mengikat di kedua belah pihak, iaitu kontrak mu‘awadah tidak boleh dibatalkan dengan hanya salah satu pihak tidak melaksanakan tanggungjawab kontrak. Pihak majikan contohnya, tidak boleh menuntut daripada pekerja kecuali melaksanakan tugasan yang disepakati atau membayar gantirugi mengikut situasi dan keadaan. Dalam kontrak jual beli, jika pembeli tidak melakukan penunaian harga, maka penjual tidak boleh membatalkan jual beli, namun dia menuntut daripada pembeli agar menjelaskan harga dan jika barang telah diambil dan berlaku sebarang kerosakan, maka pihak pembeli mesti menggantirugi sama ada secara terus atau melalui mahkamah. Namun demikian, dalam keadaan tertentu terdapat pengecualian yang membenarkan kontrak itu dibatalkan jika tidak dilaksanakan. Secara umumnya hukum-hukum berikut diaplikasikan jika perlaksanaan tanggungjawab tidak dijalankan: 1. Mengarah agar pelaksanaan dilakukan: Keingkaran salah satu pihak untuk melaksanakannya membolehkan pihak yang satu lagi memaksanya melalui mahkamah untuk berbuat demikian. Hukum ini dikhususkan kepada yang lazim pada kedua belah pihak, terutamanya kontrak mu‘awadah, kerana perlu ada persamaan tanggungan dan hak pada kedua belah pihak. Pada prinsipnya, hak untuk meminta sesuatu obligasi supaya dilaksanakan bergantung kepada pemberi hutang dan empunya hak sahaja. Ia boleh juga dilakukan oleh wakil, wali, waris atau manamana orang yang diwasiatkan berbuat demikian (‘Ali Haydar, t.th.). Tuntutan boleh juga dibuat oleh salah seorang ahli syarikat dalam sesetengah jenis syarikat kerana ia mengandungi wakalah yang saling tukar menukar di antara ahlinya (Mahmasani 1983). 2. Menahan subjek kontrak: Mana-mana pihak yang berkontrak boleh untuk tidak melaksanakan obligasi tetapi pihak satu lagi hendaklah menahan balasan kontrak. Misalnya dalam kontrak sewaan, jika disyaratkan penyerahan sewaan secara tunai, pemberi sewa berhak untuk tidak menyerahkan barang sewaan dan meneruskan urusan sehinggalah penyewa menunaikan sewa (Mahmasani 1983). Dalam kontrak kerja pula pengambil upah secara khusus seperti penjawat awam berhak mendapat upah dengan hanya menghadirkan diri untuk memberikan perkhidmatan/kerja sama ada dia melakukan kerja atau tidak. Dia juga boleh mensyaratkan didahulukan upah sebelum melakukan kerja. Namun bagi pekerja umum, pekerja sendiri seperti tukang jahit, tukang kayu dan seumpamanya, maka dia berhak menahan barang (jika berbentuk sesuatu tertentu seperti baju) yang diupah sehingga pengupah membayar upah terlebih dahulu. Ini dibolehkan dalam keadaan tidak disyaratkan berlaku secara penangguhan. Jika perkara yang diupah tidak berlaku dalam bentuk zahir, seperti kerja 28 Isu Syariah & Undang-undang Siri 20 pemunggahan barang maka pekerja tidak berhak menahan subjek kontrak daripada diserahkan. Ini adalah berdasarkan mazhab Hanafi. Namun bagi mazhab Maliki, pekerja sama ada secara khusus atau umum berhak menahan subjek kontrak sehinggalah dia mendapat haknya. Sudah tentu ia dilakukan mengikut cara yang sesuai. 3. Tuntutan ganti rugi: Dalam keadaan hukum dan obligasi kontrak tidak laksanakan, maka pihak yang terlibat dikira telah melakukan pelanggaran kontrak, maka dikenakan pembayaran ganti rugi. Pada prinsipnya ganti rugi tidak sabit selagi pihak terbabit boleh melaksanakan mengikut bentuk asal tuntutan kontrak dan dia boleh dipaksa untuk berbuat demikian, tetapi ganti rugi akan sabit jika tidak berdaya menyempurnakan tuntutan kontrak dengan memberikan perkara yang disepakati (barang asal). Perlanggaran syarat-syarat yang dipersetujui dalam kontrak juga membolehkan adanya ganti rugi jika berlaku kerosakan. Untuk membentuk ganti rugi, unsur-unsur tidak sengaja, kemudaratan dan halangan luaran yang mempengaruhinya juga perlu diteliti. Secara umum, ganti rugi dilakukan dengan menghilangkan kemudaratan yang berlaku dengan mengembalikan kepada bentuk asal jika terdaya. Benda-benda berbentuk mithli (mempunyai bentuk yang hampir sama) mesti dijelaskan dengan benda seumpamanya, sebaliknya jika berbentuk qimi (mempunyai bentuk yang tidak sama) mengikut jumhur ulama, boleh ditunaikan dengan nilaian sebenar barang itu (Mat Noor Mat Zain 2005). 4. Fasakh: Dalam keadaan di mana salah satu pihak telah melaksanakan kewajipannya dan pihak yang satu lagi enggan berbuat sedemikian, mengikut jumhur fuqaha’, terutamanya mazhab Hanafi, fasakh boleh dilakukan oleh pihak yang telah melaksanakan, sekiranya telah disyaratkan sedemikian secara nyata semasa berkontrak. Keadaan ini dinamakan khiyar al-naqd, iaitu penjual mensyaratkan kepada pembeli menunaikan harga belian dalam tempoh masa tertentu, jika tidak, kontrak di antara mereka terbatal, atau penjual mensyaratkan jika dia memulangkan balik harga belian dalam tempoh tertentu, kontrak terbatal. Khiyar ini dibolehkan berdasarkan konsep istihsan dengan alasan menghalang keingkaran pembeli untuk menjelaskan harga. Sebaliknya menurut mazhab Shafi‘i dan Zufar, fasakh tidak sabit kerana mereka tidak membolehkan khiyar al-naqd tersebut (al-Sarakhsi 1989 ; al-Dardir, t.th.). Dalam keadaan khiyar al-naqd tidak disyaratkan dalam kontrak, undang-undang Islam tidak menentukan kedudukannya secara terperinci dan tidak mengiktiraf prinsip syarat fasakh secara tersirat. Walaupun demikian, terdapat keadaan tertentu yang membolehkan adanya fasakh, tetapi masih terdapat perselisihan pendapat di antara ulama (Mahmasani, Subhi 1983). Antara keadaan itu ialah: Kerja dan Tanggungjawab (Obligasi) dalam Kontrak 29 1. Apabila terdapat halangan semulajadi6 untuk melaksanakan kontrak, maka dalam keadaan ini membolehkan kontrak dibatalkan (Wahbah al-Zuhayli 1989).7 2. Hilangnya sesuatu sifat yang diingini dalam kontrak mu‘awadah apabila ia disyaratkan. Pihak yang mensyaratkannya itu mempunyai hak untuk membatalkan kontrak. Hak pembatalan dalam keadaan ini dinamakan khiyar al-wasf (al-Dardir t.th.; Mahmasani 1983)8 Namun demikian, dalam kontrak mu‘awadah yang mengikat (lazim), selain fasakh dalam keadaan kontrak tidak dilaksanakan kontrak, ia juga boleh dilakukan dengan sebab-sebab tertentu, antaranya ialah apabila kontrak menjadi fasid dan batal, ada sesuatu khiyar, secara iqalah, tamat tempoh kontrak, tidak mendapat keizinan dalam kontrak mawquf, dan kematian, terutamanya dalam kontrak sewaan mengikut mazhab Hanafi dan dalam kontrak muzara‘ah dan musaqah mengikut mazhab Hanafi dan juga Hanbali. Bentuk-bentuk Kerja dalam Kontrak Kontrak juga memestikan pelakunya melakukan sesuatu perbuatan atau kerja tertentu. Perbuatan yang dicetuskan melalui kontrak ini ada beberapa bentuk, antaranya ialah: 1. Melakukan sesuatu pekerjaan (‘amal maddi) tertentu: Pekerjaan yang dilakukan ini mungkin berupa khidmat atau selainnya seperti pekerjaan yang dilakukan oleh pekerja khas atau pekerja untuk umum dalam kontrak ijarah (‘Abd al-Latif t.th.). Pekerja khas tidak boleh mengerjakan selain apa yang ditentukan dalam tempoh kontrak, dan sekiranya dia bekerja kepada orang lain, upahnya dikurangkan berdasarkan kerjanya. Dia berhak memperoleh upah dengan menyerahkan dirinya semasa kontrak, sama ada dia bekerja atau tidak. Sebaliknya pekerja umum (mushtarak) tidak berhak melainkan setelah melakukan kerja (al-Sanhuri 1954). Dalam kontrak muzara‘ah, petani bertanggungjawab mengerjakan tanah pertanian dan semua kerja yang perlu untuk menyuburkannya. Ini adalah kerana kerja-kerja tersebut terangkum dalam kandungan kontrak itu (al-Kasani 1982). Dalam kontrak musaqah pula, sesuatu tanaman diserahkan kepada orang untuk dijaga dan disiramnya dengan dibalas dengan satu bahagian tertentu daripada buah yang dihasilkan. Berdasarkan tuntutan kontrak, kerja-kerja sebelum menghasikan buah dipikul oleh pekerja. Begitu juga apa-apa kerja bagi menjaga dan membanyakkan buah. 2. Penyerahan balasan setelah sesuatu kontrak terbentuk dengan sahih, adalah salah satu kerja yang dipertanggungjawabkan ke atas pelaku kontrak. Pemilikan diperuntukkan bukanlah hanya sekadar memiliki barang tetapi lebih daripada itu, iaitu untuk memanfaatkannya dan ia tidak boleh dicapai melainkan dengan adanya penyerahan dan penerimaan daripada pihak-pihak terlibat. Tambahan pula dalam 30 Isu Syariah & Undang-undang Siri 20 kontrak mu‘awadah, hakikat pertukaran dirasai dengan adanya penyerahan dan penerimaan (al-Kasani 1982; al-Rafi‘i, t.th.). Kontrak jual beli menuntut adanya penyerahan kedua-dua balasan dan dipertanggungjawabkan ke atas pihak-pihak terlibat. Penjual bertanggjungjawab menyerahkan barang kepada pembeli dan pembeli menyerahkan harga pembelian kepada penjual. Begitu juga dengan kontrak-kontrak lain. Cara penyerahan sesuatu benda berbeza mengikut perbezaan jenis-jenis benda itu sendiri sama ada ia berbentuk harta tak alih (‘aqar) atau sesuatu yang boleh alih (manqul). 3. Penjagaan: Sesetengah kontrak menuntut agar berlaku penjagaan sesuatu benda tertentu oleh pihak terlibat seperti berlaku dalam kontrak sewaan. Penyewa mesti menjaga barang sewaan sebagai mana dia menjaga hartanya sendiri dengan tidak memudaratkan dan merosakkannya. Penjagaan juga berlaku dalam kontrak musaqah dan muzara‘ah. Penjagaan juga kadang kala melibatkan kerja-kerja tertentu seperti menyapu, mengelap dan seumpamanya dalam kontrak sewaan. Dalam kontrak musaqah dan muzara‘ah juga melibatkan penyiraman, penggemburan tanah, merumput dan seumpamanya. Kontrak-kontrak Melibatkan Kerja Berdasarkan huraian di atas boleh disimpulkan bahawa kontrak-kontrak yang melibatkan kerja sama ada kerja itu sendiri menjadi matlamat asas kepada kontrak itu atau kerja dalam bentuk tindakan yang mesti dilakukan oleh pihak-pihak berkontrak berdasarkan tuntutan sampingan daripada kontrak itu, atau berdasarkan syarat yang dipersyaratkan adalah seperti berikut: 1. Kontrak kerja dengan pelbagai jenis kerjanya. Ia sama ada dilakukan oleh pekerja persendirian yang melibatkan pihak lain seperti tukang jahit, tukang kayu, pelukis dan sebagainya, atau pekerja yang bekerja secara khusus dan bergaji dengan pihak lain seperti pekerja dalam perkhidmatan awam, pekerja kilang, pekerja syarikat swasta dan seumpamanya. 2. Kontrak penjagaan pokok/kebun (al-musaqah) 3. Kontrak penanaman (al-muzara‘ah) 4. Kontrak perkongsian/syarikat (al-sharikah) 5. Kontrak al-mudarabah 6. Kontrak perwakilan (al-wakalah) 7. Semua bentuk kontrak yang disyaratkan adanya kerja atau tindakan dalam bentuk perbuatan tertentu. Kerja dan Tanggungjawab (Obligasi) dalam Kontrak 31 Kesimpulan Kerja adalah sesuatu tindakan dan usaha yang dilakukan oleh seseorang sama ada berasaskan tindakannya bersendirian atau melalui persetujuan dengan pihak lain melalui kontrak. Dengan ini, kerja juga adalah implikasi yang berbentuk tanggugjawab dan hak, hasil daripada terbentuknya sesuatu kontrak. Walaupun syarak menentukan hukum asas sesuatu kontrak tetapi implikasi sampingan dan obligasi boleh terbentuk sama ada ditentukan oleh syarak atau berdasarkan persyaratan pihak-pihak terhadap kontrak. Pihak-pihak yang bertanggungjawab menjalankan apa bentuk kerja sama ada ia menjadi asas kepada pembentukan kontrak atau implikasi susulannya mesti melakukan kerja tersebut dengan baik mungkin, berasaskan panduan yang digariskan oleh syarak dan berpandukan kepada adat setempat mengenainya. Begitu juga mesti mengikut peraturan dan sifat kerja yang dipersetujui oleh pihak-pihak berkontrak semasa memeterainya. Kegagalan pihak-pihak berkontrak untuk memenuhi tanggungjawab dan kerja yang diamanahkan dianggap telah melakukan kesalahan terhadap pihak yang satu lagi. Ini juga bermakna pihak tersebut telah melakukan dosa di sisi Allah SWT. Dia boleh dipaksa untuk melaksanakannya sama ada oleh pihak terbabit atau melalui undangundang. Dalam keadaan hukum dan obligasi kontrak tidak dilaksanakan juga, pihak yang terlibat dikira telah melakukan perlanggaran kontrak, maka boleh dikenakan pembayaran ganti rugi sesuai dengan situasi dan keadaan serta setelah memenuhi syarat-syaratnya. Kontrak juga boleh dibatalkan jika salah satu pihak telah melaksanakan kandungan kontrak tetapi satu pihak lagi tidak melaksanakannya. Nota Hujung 1. Menurut ‘Ali al-Khafif (1996), hukum juga digunakan terhadap sesuatu bentuk atau sifat berdasarkan tuntutan atau larangan syarak terhadap sesuatu perkara, iaitu hukum wajib, sunat, makruh atau haram. Ia juga digunakan bagi sesuatu bentuk atau sifat yang merujuk kepada sesuatu kontrak sama ada ia membentuk sesuatu kesan atau tidak, maka dikatakan kontrak itu sahih, batal atau tergantung, atau dari segi sejauh mana kekuatan kontrak mengikat pihak-pihak terlibat, maka dikatakan kontrak ini hukumnya lazim dan yang ini tidak lazim. 2. Penyerahan barangan dan jaminan sebarang keaiban tersembunyi pada barang itu adalah obligasi mesti yang terakru di atas penjual demi kemaslahatan pembeli. Sebaliknya obligasi pembeli pula hendaklah menunaikan harga dan menerima barangan. Semuanya ini adalah tanggungan yang mesti ditunaikan. 3. Contohnya, tidak melakukan sesuatu yang memudaratkan jiwa, keturunan, harta dan kehormatan orang lain. Dalam kontrak sewaan, penyewa hendaklah tidak menggunakan barang sewaan itu melebihi tahap kebiasaan. Ia merupakan tanggungjawab yang telah diwajibkan oleh syarak di atas setiap mukallaf (al-Zarqa’ 1967-1968). 4. Obligasi atau tanggungan juga berbeza dengan kontrak itu sendiri kerana obligasi adalah kesan dan kontrak adalah sumbernya (kesan). 32 Isu Syariah & Undang-undang Siri 20 5. Syarat-syarat ini ada yang diterima sebagai sah, maka boleh terbentuk selepas pembentukan kontrak dan ada yang tidak sah, tidak terbentuk. 6. Halangan semula jadi ialah sesuatu yang datangnya daripada Allah atau sesuatu kejadian yang tidak di bawah kekuasaan manusia atau dalam istilah undang-undang dikenali sebagai Act of God. (Lihat Ibn Qudamah 1405H). 7. Dalam kontrak jual beli, ia boleh terjadi jika berlaku kemusnahan barang jualan di tangan penjual, sebelum diserahkan dan dalam kontrak sewaan pula, ia terjadi jika terdapat sesuatu keuzuran di pihak pemberi sewa, penyewa atau pada barang sewaan. Ini mengikut pendapat mazhab Hanafi dan Shafi’i (Majallat al-Ahkam al‘Adliyyah, perkara 293-294; al-Khurashi t.th., 4: 67-69; Ibn Qudamah t.th., 4: 84; al-Rafi‘i. t.th., 8: 397-398). 8. Majallat al-Ahkam al-‘Adliyyah menyatakan, “Apabila kontrak istisna‘ telah diakadkan, mana-mana pihak yang berkontrak tidak boleh merujuk kembali. Tetapi jika barang yang berkenaan tidak mengikut sifat-sifat yang dijelaskan, orang yang menempah (mustasni‘) mempunyai hak khiyar.” Rujukan al-Quran. ‘Abd al-Latif Muhammad ‘Amir. T.th. al-Duyun wa Tawthiquha fi alFiqh al-Islami. Kaherah: Dar Marjan li al-Tiba‘ah. Abu Zahrah, Muhammad. 1397H/1976. al-Milkiyyah wa Nazariyyat al‘Aqd fi al-Shari‘ah al-Islamiyyah. T.Tp.: Dar al-Fikr al-‘Arabi. ‘Ali al-Khafif. 1417H/1996. Ahkam al-Mu‘amalat al-Shar‘iyyah. Kaherah: Dar al-Fikr al-‘Arabi. ‘Ali Haydar. T.th. Durar al-Hukkam Sharh Majallat al-Ahkam al‘Adliyyah. Beirut & Baghdad: Maktabat al-Nahdah. ‘Ali Qura‘ah. T.th. Ahkam al-‘Uqud fi al-Shari‘ah al-Islamiyyah. Mesir: Dar Misr li al-Tiba‘ah. al-Bayhaqi, Abu Bakr, Ahmad ibn al-Husayn ibn ‘Ali ibn Musa. 1994/1414H. Sunan al-Bayhaqi al-Kubra. Pnyt. Muhammad ‘Abd al-Qadir ‘Ata. Makkah: Maktabat Dar al-Bazz. al-Bukhari, Abu ‘Abdullah Muhammad ibn Isma‘il. 1989. Sahih alBukhari. Cet. bersama Fath al-Bari. T.tp.: Dar al-Fikr. al-Dardir, Abu al-Barakat Sayyidi Ahmad. T.th. al-Sharh al-Kabir. Cet. bersama Hashiyat al-Dusuqi. 4 jil. Kaherah: ‘Isa al-Halabi. al-Dusuqi, Muhammad ‘Urfah. T.th. Hashiyat al-Dusuqi ‘ala al-Sharh al-Kabir. Mesir: ‘Isa al-Babi al-Halabi wa Shurakah. Ibn ‘Abidin, Muhammad Amin. 1386H/1966. Hashiyat Radd alMuhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar. 8 jil. Mesir: Maktabat wa Matba‘at Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladuh. Ibn Manzur, Muhammad ibn Mukram al-Afriqi al-Misri. T.th. Lisan al‘Arab. Beirut: Dar Sadir. Ibn Nujaym, Zayn al-‘Abidin ibn Ibrahim ibn Nujaym. T.th. al-Bahr al-Ra’iq Sharh Kanz al-Daqa’iq. Beirut: Dar al-Kutub al‘Ilmiyyah. Kerja dan Tanggungjawab (Obligasi) dalam Kontrak 33 Ibrahim Mustafa, Ahmad al-Zayyad, Hamid ‘Abd al-Qadir & Muhammad al-Najjar. T.th. al-Mu‘jam al-Wasit. Kaherah: Majma‘ al-Lughat al-‘Arabiyyah wa Dar al-Da‘wah. al-Kasani, Abu Bakr ibn Mas‘ud. 1402H/1982. Bada’i‘ al-Sana’i‘ fi Tartib al-Shara’i‘. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi. Madkur, Muhammad Salam. 1963. al-Madkhal li al-Fiqh al-Islami. Mesir: Dar al-Nahdah al-‘Arabiyyah. Mahmasani, Subhi. 1983. al-Nazariyyah al-‘Ammah li al-Mujabat wa al-‘Uqud fi al-Shari‘ah al-Islamiyyah. Beirut: Dar al-‘Ilm li alMalayin. Mat Noor Mat Zain. 2005. Persyaratan Dalam Kontrak. Dalam Isu Syariah dan Undang-Undang, Siri 10, Cet. I, hlm 91-110. UKM: Jab. Syariah, Fakulti Pengajian Islam. al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah. 1404H-1427H. Kuwait: Wizarat al-Awqaf al-Kuwaytiyyah. Muhammad Yusuf Musa. 1372H/1952M. al-Amwal wa Nazariyyah alc Aqd fi al-Fiqh al-Islami. Mesir: Dar al-Kitab al-‘Arabi. Muhammad Yusuf Musa. 1377H/1958. al-Fiqh al-Islami - Madkhal li Dirasatihi wa Nuzum al-Mu‘amalat fih. Mesir: Matabi‘ Dar alKitab al-‘Arabi. al-Nafrawi, Ahmad ibn Ghunaym ibn Salim al-Maliki. 1415H. alFawakih al-Dawani ‘ala Risalat Ibn Abi Zayd al-Qayrawani. Beirut: Dar al-Fikr. al-Qabbani, Bakr. 1982. al-Khidmah al-Madaniyyah fi al-Mamlakah al-‘Arabiyyah al-Su‘udiyyah: Dirasah Nazariyyah Tatbiqiyyah Muqaranah. Riyad: Ma‘had al-Idarah al-‘Ammah. Qal‘ahji, Muhammad Rawwas & Qunaybi, Hamid Sadiq.1405H/1985. Mu‘jam Lughat al-Fuqaha’. Beirut: Dar al-Nafa’is. al-Rafi‘i, Abu al-Qasim ‘Abd al-Karim ibn Muhammad. T.th. Fath al‘Aziz Sharh al-Wajiz. Cet. bersama al-Majmu‘. Damsyik: Dar alFikr. al-Sanhuri, ‘Abd al-Razzaq. 1954. Masadir al-Haqq fi al-Fiqh alIslami. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. al-Sarakhsi, Abu Bakr Muhammad ibn Ahmad ibn Abi Sahl. 1989/1409H. al-Mabsut. Beirut: Dar al-Ma‘rifah. Shalabi, Muhammad Mustafa. 1403H/1983M. al-Madkhal fi al-Ta‘rif bi al-Fiqh al-Islami wa al-Qawa‘id al-Milkiyyah wa al-‘Uqud fih. Beirut: Dar al-Nahdah al-‘Arabiyyah. Sobri Salamon. 1992. Perniagaan Menurut Pandangan Islam. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri. al-Zarqa’, Mustafa Ahmad. 1967-1968. al-Madkhal al-Fiqhi al-‘Am. Damsyik: Matabi‘ Alif Ba’ al-Adib. 34 Isu Syariah & Undang-undang Siri 20 Zaydan, ‘Abd al-Baqi. 1984. ‘Ilm al-Ijtima‘ al-Islami. Kaherah: Maktabat Wahbah. Zaydan, ‘Abd al-Karim. 1407H/1986. al-Madkhal li Dirasat alShari‘ah al-Islamiyyah. Beirut: Maktabat al-Quds & Bagdhad: Mua’ssasat al-Risalah. al-Zuhayliyy, Wahbah. 1409H/1989M. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. Damsyik: Dar al-Fikr.