PEMBINAAN MODEL ZAKAT MIKRO KREDIT : SATU KAJIAN AWAL Nurul Ilyana Muhd Adnan Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia ABSTRAK Kertas kerja ini bertujuan meneroka model pemberian modal kerja untuk perniagaan melalui mikro kredit oleh institusi zakat di negara Islam dan aplikasinya di institusi zakat di Malaysia. Di Malaysia pada ketika ini modal kerja untuk perniagaan disediakan secara percuma. Persoalannya, apakah akan berlaku sekiranya suatu ketika kelak amaun pungutan zakat tahunan terjejas sedangkan golongan asnaf semakin bertambah? Apatah lagi pemberian modal kerja dalam bentuk mikro kredit yang ditawarkan ketika ini dikatakan tidak bebas daripada unsur-unsur riba. Dapatan daripada analisis kandungan berdasarkan data primer mempamerkan bahawa terdapat asas hukum yang membenarkan bantuan modal untuk perniagaan dalam bentuk mikro kredit yang dibiayai daripada dana zakat. Akan turut dihujahkan bahawa telah ada pemberian modal kerja dalam bentuk mikro kredit yang dibiayai daripada dana zakat di institusi zakat di negara Islam yang boleh dijadikan model untuk diaplikasikan di institusiinstitusi zakat di Malaysia. PENDAHULUAN Zakat memainkan peranan yang penting dalam memastikan setiap ahli masyarakat dapat memenuhi keperluan asas masing-masing. Zakat boleh membentuk kestabilan dalam persekitaran ekonomi di samping menjana permintaan khususnya daripada golongan berpendapatan rendah. Dengan kata lain, golongan miskin akan sentiasa terbela, manakala golongan kaya akan membantu dan prihatin. Hal ini secara langsung atau tidak langsung akan mewujudkan kestabilan ekonomi dan sosial kerana tiada pihak yang merasa tertindas (Patmawati Hj. Ibrahim, 2007). Konsep asas dalam agihan zakat adalah untuk membasmi kemiskinan. Pendekatan yang boleh dibuat adalah melalui pengagihan zakat produktif. Menurut Yusuf al-Qaradawi (1994), antara pendekatan adalah melalui penyediaan modal pusingan daripada dana zakat melalui pembiayaan mikro. Mustahiq dalam jangka masa tertentu, diharapkan mampu mengubah status daripada mustahiq kepada pembayar zakat. Islam membenarkan umatnya melakukan urusniaga mikro kredit yang tidak membebankan. Antaranya melalui kontrak qard al-hasan, murabahah dan mudarabah. Ulama’ kontemporari1 seperti Mustafa al-Zarqa’ (1987) dan Yusuf al-Qaradawi (1994) berpendapat bahawa pengagihan zakat melalui mikro kredit dalam bentuk akad qard al-hasan adalah dibenarkan. Hal ini menunjukkan zakat berpotensi untuk diagihkan dalam bentuk mikro kredit. Malah zakat juga berpotensi menjadi salah satu sumber bagi kewangan Islam Abdul Aziz (2010). 1 Ulama’ kontemporari bermaksud ulama’ masa kini bermula dari kurun ke 19 (www.zaharudddin.net, 2014) 592 SOROTAN KARYA Terdapat lapan golongan (asnaf lapan) yang layak menerima agihan zakat yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T dalam firmannya : 60. Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil Yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf Yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba Yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang Yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orangorang musafir (yang keputusan) Dalam perjalanan. (Ketetapan hukum Yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.(al-Taubah, 9:60). Zakat dikutip bertujuan untuk pembangunan asnaf zakat sama ada dalam bidang sosial, ekonomi, pendidikan dan rohani. Lazimnya zakat diagihkan dalam bentuk saraan bulanan dan bantuan khas. Namun begitu, dalam bidang ekonomi, kaedah yang digunapakai adalah pengagihan melalui zakat produktif. Isu pengagihan zakat produktif melalui penyediaan modal kerja telahpun dibahaskan oleh kalangan ulama’ Shafi’i dan ulama’ Hanbali. Mereka mengharuskan modal kerja diagihkan kepada asnaf. Imam An-Nawawi telah membahaskan secara khusus tentang modal kerja ini. Beliau merumuskan pertama ialah modal kerja boleh disediakan dalam bentuk peralatan ataupun tunai sesuai dengan kemahiran masing-masing. Peralatan pertukangan disediakan kepada tukang kayu dan modal perniagaan disediakan kepada peniaga atau pedagang. Kedua ialah amaun modal perniagaan pula diagihkan sesuai dengan bidang perniagaan yang diceburi. Peniaga sayur-sayuran dan buah-buahan misalnya sebanyak lima hingga dua puluh dinar. Peniaga minyak wangi sebanyak satu ribu dinar, penjual pakaian sebanyak dua ribu dinar, pengurup wang sebanyak lima ribu dinar dan perniagaan intan berlian sebanyak sepuluh ribu dinar.2 Ulama’ kontemporari seperti Mustafa al-Zarqa’3 dan Yusuf al-Qaradhawi4 berpendapat bahawa pengagihan dibolehkan dibuat dalam bentuk pelaburan dengan sedikit perubahan. Iaitu pemerintah dibolehkan membuat pelaburan dalam projek-projek perkilangan dan perladangan bagi pihak penerima zakat dengan syarat pelaburan tersebut dimiliki oleh penerima zakat. Hal ini disokong oleh Imam al-Nawawi. Mereka berpendapat pengagihan zakat dalam melalui pembiayaan mikro dalam bentuk aqad al-qard al-hasan, aqad mudarabah dan aqad murabahah adalah dibenarkan5. Ini kerana bayaran balik kepada pemerintah bukanlah bermakna dana zakat tersebut menjadi hak pemerintah. Bayaran balik itu sebenarnya dana 2 Al-Nawawi, vol VI, al-Majmu’ Sharh al-Muhadhdhab lil Shirazi, hal. 150 Mustafa al-Zarqa’, Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami, bil 3,vol. 1, hal. 404 4 Yusuf al-Qaradawi, Athar al-Zakat fi Afrad wa al-Mujtama’, Majallat Majma’ al-Fiqh al-Islami, 1984, hal.45 5 Yusuf al-Qaradhawi, Fiqh al-Zakat. 3 593 zakat yang diagihkan semula kepada penerima zakat yang lain yang hak mereka sebelum ini sedikit tertunda. Di sini kita dapat melihat bahawa pendapat ulama’ kontemporari tidak tersasar daripada ketetapan nas. Mereka hanya mengemaskini nas berdasarkan kepentingan semasa dan setempat sesuai dengan keperluan umat. Iaitu memberi kemaslahatan kepada umat dan menjauhkan dari kesukaran. Kemaslahatan ini tidak tersasar daripada teori maqasid al-syari’ah oleh al-Syatibi. Dengan kata lain, ulamak kontemporari melihat kapada maqasid kefarduan zakat itu sendiri. Ini bersesuaian dengan apa yang disebut oleh Ibn Qayyim al-Jauzi (1975) iaitu berubah dan berbezanya fatwa sesuai dengan perubahan tempat, masa, keadaan masyarakat, niat dan adat kebiasaan. Oleh sebab itu, pengagihan zakat dalam bentuk modal kerja melalui pembiayaan mikro tidak bertentangan dengan teori maqasid syariah yang ingin dicapai. Zakat yang diberikan melalui pembiayaan mikro kepada satu penerima zakat dalam jumlah tertentu adalah untuk memberi kesempatan kepada mereka untuk berusaha secara lebih maksimum dengan adanya modal kerja yang cukup. Dengan itu mereka mampu membebaskan diri daripada kemiskinan dan akhirnya akan menjadi pembayar zakat. Setiap penerima zakat yang telah menerima zakat produktif akan berusaha untuk berdikari sehingga ia tidak lagi bergantung kepada zakat. Apabila mereka mampu berdikari, maka mereka bebas daripada kemiskinan. Ini bererti, maqasid syariah seperti menjaga agama, jiwa dan kemuliaan tercapai dengan baik. Oleh yang demikian, pembiayaan mikro ini pastinya lebih bermanfaat berbanding agihan zakat dalam bentuk sara diri yang mengakibatkan selamanya mereka bergantung kepada pengagihan zakat. Penerima zakat tidak mungkin akan terkeluar dari putaran kemiskinan. Hal ini tidak akan menjejaskan maslahah individu penerima zakat lain. Sebab modal zakat produktif yang telah diberikan akan dikembalikan semula oleh penerima kepada institusi zakat untuk diagihkan kembali kepada penerima zakat lain. Ini kerana proses penentuan penerima zakat yang didahulukan untuk menerima zakat produktif adalah di bawah bidang kuasa penuh amil zakat yang telah diakui dalam Islam.6 Kesimpulannya agihan zakat melalui pembiayaan mikro merupakan salah satu mekanisme pelaburan secara langsung berkaitan dengan golongan fakir dan miskin. Amalan seperti ini tergolong dalam kelompok muamalah yang hukumnya tidak ditunjukkan secara eksplisit oleh nas bahkan diserahkan sepenuhnya kepada ijtihad para ulama’ untuk memenuhi keperluan dan hajat hidup manusia sepanjang zaman, tempat, situasi dan kondisi masyarakat demi untuk mewujudkan kemaslahatan penerima zakat khasnya masyarakat fakir miskin khususnya peniaga-peniaga kecil. HASIL KAJIAN Perkara ini bukanlah perkara baru bagi Baitul Mal Aceh. Usaha ke arah memperkasakan dana zakat dalam bentuk produktif dinyatakan di dalam Qanun Aceh No. 10/2007. Qanun Aceh No. 10/2007, fasal 29 menyatakan, penerima zakat dalam bentuk produktif mesti memenuhi tiga 6 Yusuf al-Qaradhawi, Fiqh al-Zakah. Hal ini turut boleh disokong dengan kaedah fiqhiyyah : يحتمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام, bermaksud, untuk menghalangi kemudaratan yang akan menimpa orang ramai, maka dibolehkan melakukan kemudaratan yang akan menimpa seseorang. Lihat Sayuti (tt: 117) di dalam tulisan beliau, Kitab Asybah wan Nadhair, Muassah al kutub al Tahgafiyyah. 594 syarat. Pertama, sudah mempunyai suatu jenis usaha produktif yang layak. Kedua, bersedia menerima petugas pendamping yang berfungsi sebagai pembimbing. Ketiga, bersedia menyampaikan laporan usaha secara berkala setiap enam bulan. Pembiayaan melalui modal kerja ini bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi hidup keluarga dan mendidik supaya rajin bekerja serta tidak mengharap bantuan daripada orang lain. Setiap pembiayaan yang diberikan mesti dibayar secara ansuran mengikut sektor masingmasing. Sektor perdagangan perlu membuat ansuran bulanan, manakala sektor pertanian dan penternakan pula perlu membuat ansuran mengikut kesesuaian penerimaan hasil untuk sektorsektor tersebut. Ansuran yang diterima itu akan digunakan untuk mikro kredit seterusnya kepada penerima zakat yang baru. Bagi memastikan penerima zakat berjaya dalam usaha masing-masing dan seterusnya mampu berubah menjadi pembayar zakat, Baitul Mal Aceh menetapkan beberapa kriteria. Antara kriteria tersebut ialah pertama, memiliki iman dan taqwa. Kedua, jujur dan amanah. Ketiga, daripada keluarga yang kurang mampu iaitu pendapatan lebih kecil daripada keperluan hidup harian. Pendapatan di bawah Rp.1,000,000 dengan mempunyai tanggungan minimum seramai 2 orang. Rumah yang didiami tidak kekal dan tidak layak diduduki. Keempat, memiliki tapak perniagaan yang tetap dengan barangan perniagaan yang jumlahnya sedikit. Kelima, tidak bekerja sebagai pegawai kerajaan atau pegawai syarikat milik kerajaan mahupun pegawai swasta. Namun semua data yang diberikan oleh penerima dan kelulusan untuk mikro kredit ini akan disahkan dan ditentukan oleh Timbalan Unit Pengelolaan Zakat Produktif di lapangan. Mikro kredit yang dilaksanakan di Baitul Mal Aceh melibat tiga sektor iaitu sektor perdagangan, sektor penternakan dan sektor pertanian.7 Mikro kredit untuk sektor perdagangan menggunakan al-qard al-hasan iaitu pemberian pinjaman tanpa dikenakan apa-apa bayaran tambahan. Namun mereka boleh dikenakan bayaran perkhidmatan. Bayaran itu mestilah kos sebenar untuk menyediakan perkhidmatan tersebut (Abdul Rahim Abdul Rahman, 2007). Ansuran bulanan mestilah dibuat sesuai dengan jumlah pembiayaan yang diterima untuk tempoh selama setahun. Setakat ini, mereka yang terlibat di sektor perdagangan mampu membuat bayaran balik pada tahap 79% daripada amaun modal kerja yang diambil. Ini suatu kejayaan yang membanggakan kerana bank konvensional yang diuruskan secara profesional dan sudah lama terlibat dengan program ini hanya mampu memungut bayaran balik pada tahap 60% daripada amaun yang diambil. Mikro kredit untuk sektor penternakan pula menggunakan aqad mudarabah iaitu satu bentuk kerjasama antara dua pihak di mana pemilik modal (shahibul amal) menyediakan sejumlah modal kepada pengusaha (mudarib). Perkongsian keuntungan antara mereka dibahagikan mengikut nisbah yang dipersetujui oleh pihak-pihak yang terlibat (Abdul Rahim Abdul Rahman, 2007). Modal kerja disediakan dalam bentuk haiwan ternakan. Ia melibatkan ternakan lembu dan kambing. Bagi ternakan lembu (penggemukan lembu) perkongsian keuntungan diperoleh apabila lembu tersebut dijual. Keuntungan dibahagikan mengikut aqad mudarabah antara 7 Untuk keterangan lanjut tentang zakat produktif khususnya untuk pembiayaan mikro di Baitul Mal Aceh, sila lihat Pengelolaan Zakat Produktif Pada Badan Baitul Mal Provinsi Nanggroe Aceh Darussalam, susunan Tim UPZP bagi tempoh September 2006 - Oktober 2007. 595 Baitul Mal Aceh dengan peternak dengan nisbah 50 : 50. Perternak mendapat bahagian 50% dari keuntungan bersih, manakala Baitul Mal Aceh memperoleh 50% dari keuntungan bersih bersama dengan modal yang dikeluarkan untuk pembelian ternakan berkenaan. Semasa pemeliharaan ternakan tersebut, Baitul Mal Aceh akan memantau perkembangan ternakan tersebut dari segi pengubatan dan pencegahan penyakit oleh pegawai haiwan. Mikro kredit untuk sektor pertanian diberikan kepada para petani di daerah-daerah miskin yang terpilih. Pembiayaan di sektor pertanian juga menggunakan al-qard al-hasan. Para peserta di sektor pertanian diagihkan zakat dalam bentuk sara hidup semasa menunggu hasil tanaman mereka dituai. Apabila hasil tanaman telah dituai, misalnya 40 untuk tanaman bayam atau 90 hari untuk tanaman kacang, maka ansuran modal kerja yang diambil perlulah dibayar sepenuhnya. Bagi mereka yang tidak mampu membayar sepenuhnya, maka ansuran dibuat bersesuaian dengan kemampuan masing-masing. Dengan mikro kredit ini, petani telah dapat memperluas kawasan pertanian mereka sehingga pendapatan dan taraf hidup mereka menjadi lebih baik daripada sebelumnya. KESIMPULAN Pengagihan zakat dalam bentuk modal kerja melalui pembiayaan mikro tidak bertentangan dengan teori maqasid syariah yang ingin dicapai. Dengan adanya modal kerja yang cukup, usahawan kecil akan mampu membebaskan diri daripada kemiskinan dan akhirnya akan menjadi pembayar zakat. Ini bererti, maqasid syariah seperti menjaga agama, jiwa dan kemuliaan tercapai dengan baik. Oleh yang demikian, pembiayaan mikro ini pastinya lebih bermanfaat berbanding agihan zakat dalam bentuk sara diri yang mengakibatkan selamanya mereka bergantung kepada pengagihan zakat. Penerima zakat tidak mungkin akan terkeluar dari putaran kemiskinan. Ini menunjukkan bahawa berasaskan maqasid Syariah, bantuan modal dalam bentuk kredit mikro daripada dana zakat adalah dibolehkan oleh Islam. Ini kerana akhirnya golongan yang menerima zakat akan bertukar menjadi pembayar zakat. Hal ini akan meningkatkan jumlah kutipan zakat dan mengurangkan jumlah golongan yang miskin. RUJUKAN Abdul Karim Zaidan, 1987. Al-Wajiz Fi Usul Fiqh, Baghdad. Abu Ubayd al-Qasim b. Salam, 2007. Kitab al-Amwal, Misr: Dar al-Huda al-Nabawi lil-Nashr wa-al-Tawzi'. AIM, 2007a. Kesinambungan Latihan untuk Tangani Perubahan, Jurnal IKHTIAR. AIM,2006a. Dua Dekad IKHTIAR Menjunjung Amanah. Jurnal IKHTIAR AIM,2006c. Cabaran dan Strategi Operasi AIM 2006. Jurnal IKHTIAR. AIM,2006d. AIM sebagai Model Program Basmi Kemiskinan. Jurnal IKHTIAR. Al-Nawawi, Muhyi al-Din abu Zakariya Yahya b. Sharf, (m 676H). Al-Majmu’ Sharh alMuhadhdhab lil Shirazi. Kaherah. Al- Matba’ah al- Muniriyyah. Al-Sayuti, Jalaluddin Abdul Rahman b. Abu Bakar. 1998. Kitab Asybah wan Nadhair fi Qawaid wa Furu’ Fiqh al-Shafi’i. Dar al- kutub al –Ilmiyyah. Beirut. Lubnan. 596 Al-Shatibi, Abi Ishak. 2005. Al-Muafaqat fi Usul al-Syariah. Dar al- kutub al –Ilmiyyah. Beirut. Lubnan. Chiara Segrado. 2005. Case Study : Islamic Microfinance and Socially Responsible Investments. University of Torino. edisi khas AIM 20 tahun. Fauzan, Salleh b. Muhammad.2005. Estithmar Amwal al-Zakah wa ma fi Hukmiha min alAmwal al-Wajibat Haqqan Lillahi Taala. al-Riyad :Kunuz Ishbiliya lil-Nashr wa-al-Tawzi'. Mohammed Siddique. 2009. Islamic Way of Microcredit the Best Way to Help the Poor : Basic Chief. Twocircles.net, submitted by salem khan – http://swachchhsandesh. blogspot.com/2009/03/blog-post_1527.html Muhammad Hisyam b. Mohamad. 2008. Menzahirkan Faham Kemanusiaan Menerusi Pinjaman Kecil Tanpa Faedah Wakaf Tunai. Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Mustafa al-Zarqa’. Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami. bil 3,vol. 1. Prof. Madya Dr. Mohd. Hassan Bin Mohd. Osman. 2007. Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Kejayaan Usahawan Kredit Mikro Di Negeri Johor, Fakulti Pengrusan Dan Pembangunan Sumber Manusia. Universiti Teknologi Malaysia. Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid. 2009. Zakat Untuk Graduan Menganggur Mulakan Perniagaan. MindaMuslim.com. Rosbi Abd.Rahman, Sanep Ahmad dan Hairunnizam Wahid. 2008. Perlaksanaan Bantuan Modal Zakat: Analisis Perbandingan. Seminar Kebangsaan Ekonomi Malaysia. Sabirin S. 2001. Pemanfaatan Kredit Mikro untuk Mendorong Pertumbuhan Ekonomi Rakyat di dalam Era Otonomi Daerah. Orasi Ilmiah Lustrum IX Universitas Andalas, Padang. Shaukat Hussain, 1990. Human Rights in Islam, New Delhi: Kitab Bhavan. Wilson R, 2007, Making Development Assistance Sustainable through Islamic Microfinance, IIUM International Conference on Islamic Banking and Finance. Kuala lumpur, Malaysia. Yusuf al-Qaradawi, 1994. Fiqh az-Zakat - Dirasah Muqaranah li Ahkamiha wa Falsafatiha fi Daw’ al-Quran wa al-Sunnah, al-Qaherah: Maktabat Wahbah. Yusuf al-Qaradawi. 1984. Athar al-Zakat fi Afrad wa al-Mujtama’, Majallat Majma’ al-Fiqh al-Islami. Yusuf Al-Qaradawi. 1994. ‘Awamil al-Si’ah wa al Murunah fi al-Shariah al-Islamiyah. Dar as-Sahwah. Kaherah. Yusuf al-Qaradhawi. 2002. Fiqh al-Zakat. Beirut. Muassasah al-Risalah. 597